Sebut sahaja filem pendek, banyak pihak yang tertanya-tanya dan ada juga yang tidak mengerti bahawa dalam industri filem di Malaysia mahupun di peringkat dunia terutama dalam industri perfileman, filem pendeklah yang menjadi portfolio atau gerak kerja pertama seseorang karyawan filem untuk berada di dalam industri perfileman. Di luar negara, filem pendek seringkali dijadikan bahan antonasi pemikiran karyawan dalam menerapkan falsafah atau kreativiti mereka dalam berkarya dengan menjadikan beberapa subjek kepada visual untuk tontonan segelintir peminat filem atau pengkaji filem. Filem Pendek sebenarnya membenarkan seseorang karyawan melakukan kebebasan dalam berkarya terutama dalam menyampaikan sesuatu mesej melalui susunan plot penceritaan lalu diterjemahkan kepada visual untuk diadaptasikan ke bentuk layar skrin buat segenap penonton yang mencintai dunia perfileman.
Di Malaysia, kenyataan sedemikian cuba dijadikan realiti oleh kebanyakkan karyawan filem muda yang mempunyai ratusan idea untuk diolah melalui gerak pemikiran dalam erti kata naratif penceritaan, sehingga ada yang terlampau atas dasar penceritaan tetapi ini disangkal oleh sesetengah pihak yang kononnya gah, agung dan tercipta yang mahukan idea pemikiran yang terlalu menghormati, dan takutkan elemen yang kontroversi. Pernyataan 'takut pada istilah kontroversi'tidak perlu dijadikan sesuatu isu sekiranya anda ingin berkarya. Apabila sesuatu isu dalam sesebuah filem pendek diperdebatkan hebat atas nama 'kebebasan berkarya', banyak pihak mula menjadikan ia sebagai isu agama dengan ratusan penterjemahan atau komentar yang bertujuan meraih simpati pembaca untuk menghentam segelintir karyawan yang bertapak atas nama 'perfileman;, barangkali ada sesetengahnya tidak mahu kononnya digelar pencemar budaya, bahkan mereka amat hipokrit dalam sesuatu hal. Soal 'Maruah' dan 'budaya', seringkali dijadikan bahan oleh sesetengah pihak dalam menilai sesuatu filem dengan mensasarkan filem 'bebas' adalah filem tidak bermaruah dan kononnya 'filem bebas filem yang tidak beragama' sedangkan masyarakat kita lebih meruntuhkan agama dan budayanya, tetapi atas dasar politik terpaksa dikaburinya melalui pemikiran jelek sesetengah manusia, adalah kerna tidak ingin masyarakat menudingnya, lantaran karyawan lah dipersalahkan.
Apabila bercakap mengenai 'hak penyiaran' dalam sesebuah filem pendek, terutamanya penggiat filem pendek lahir daripada sekolah filem di Malaysia amnya, khabarnya tidak dibenarkan menyiarkan produk mereka tanpa kebenaran sekolah atau institusi pendidikan perfileman, kononnya ini boleh meruntuhkan institusi pendidikan perfileman?. Adakah ia wajar dan boleh diterima atau sekadar undang-undang baru yang dibuat mengikut Akta sendiri. Jika filem pendek yang dibikin tanpa sebarang publisiti, mana pergi silibus atau subjek yang menjurus kepada promosi?. Adakah subjek ini sekadar subjek dan tidak boleh diadaptasikan?. Itulah pemikiran sesetengah daripada kita yang tidak mahu memperkembangkan diri dengan alasan 'karya anda terlalu sensitif'.Itulah risiko yang perlu dihadapi oleh sesetengah karyawan muda lulusan kolej atau universiti tempatan, melainkan kolej luar negara yang lebih mementingkan promosi para pelajarnya untuk mengetengahkan bakatnya. Sekiranya kita menghasilkan filem pendek dan disimpan di dalam almari kaca kononnya filem pelajar yang dikeluarkan bajet produksi pelajar itu sendiri dan pihak kolej hanya membantu dari segi penajaan alat-alat teknikal, adakah 'hak penyiaran' itu milik kolej tersebut, sedangkan para pelajar itu yang bertungkus lumus mempromosikan dan menghasilkan karya tersebut?. Dan sekiranya kita ingin bercakap filem pendek adalah 100& milik kolej tersebut memang tidak adil, kerana yang mempopularkan kolej tersebut adalah idea dan pemikiran pelajar bukannya kolej tersebut.
Justeru inilah ragam yang perlu kita hadapi apabila kita membikin filem pendek di Malaysia dan wajarkan kita menghasilkan filem pendek seperti drama TV? Dan kita tidak boleh beresperimentasi terhadap sesuatu watak dan perkara negatif tidak dibenarkan. Adakah ini adil apabila kita disekat memperkembangkan sesuatu watak atau karektor dengan alasan 'pencemar budaya'. Sekiranya kita tidak mampu mengambil sebarang risiko, tariklah diri dari industri perfileman kerana filem pendek memerlukan suara berani pengkaryanya, dan jangan anggap membikin filem pendek seperti menulis novel.. Tepuk dada tanya selera.
0 Ulasan