Kritikan Pedas Terhadap Filem Mualaff....... Adakah ia sekadar kritikan bertujuan promosi?


Semalam, saya sempat melayari laman google.com, dengan menaip istilah 'filem muallaf', yang bertujuan untuk mencari beberapa artikel atau kritikan terhadap filem ini yang telah membuka lembarannya di Kota Singapura, beberapa minggu lepas. 'Fuh... banyak betul yang tertera di situ', bisik hatiku. Dalam banyak-banyak artikel yang terpampang nama tajuknya, saya cuma tertarik dengan tajuk 'Yasmin Ahmad: Apa tujuan dia?', Tetapi artikel itu ditulis bertujuan bersifat peribadi yang mahukan Muallaf diharamkan tayangannya di Malaysia. Bagi saya, ia tidak adil kerana ia bukan sebuah filem propaganda. Cuma kelewatan tayangannya adalah disebabkan filem itu tersangkut di LPF, dan pihak penapisan tersebut bukan mudah atau sewenang-wenangnya mahu melepaskan Muallaf ditayangkan di Malaysia, sekiranya pemikiran penonton lebih prejudis terhadap filem-filem arahan Yasmin Ahmad. Bagi saya, seandainya Muallaf tidak dapat ditayangkan di Malaysia, ini bermakna industri kita lebih hipokrit terhadap filem-filem luar yang lebih rosak pemikirannya berbanding filem Muallaf. Cuma, saya tidak boleh memberikan komen terhadap naratif filem ini, kerana saya belum berkesempatan untuk menonton karya Yasmin ini, dan saya mengharapkan Muallaf terlepas jua daripada sebarang sekatan LPF, kerana Muallaf bukannya karya bersifat propaganda atau provokatif dan nilaikanlah sesuatu filem itu bukan hanya mendengar ulasan atau kritikan pihak tertentu, dan pengkritik yang bagus akan merencanakan sesebuah komentar itu secara positif, bukannya menghangatkan sesuatu yang sudah diiktiraf oleh kebanyakkan pembikin.


Selain itu, dalam artikel itu penulis rencana tersebut juga ada membuat perbandingan terhadap filem saya, comolot dengan Muallaf, kononnya filem yang sealiran sebegitu cuba mengajak masyarakat mempengaruhinya. Astafirullah... inilah cara penulis itu memancing pembaca agar isu yang sedang panas, bertambah lagi panas dengan komen sebegitu. Saya tidak boleh menyalahkan para penulis itu, kerana antara banyak-banyak ulasan dan kritikan yang saya baca, tiada seorang pun yang berani mengupas 3 konsep yang saya utarakan 'apakah, kenapakah dan mengapakah' sesebuah filem memaparkan sesebuah perkara atau isu, yakni kenapa sesebuah filem itu merencanakan pemikiran sedemikian?. Yang banyaknya ialah, komen negatif yang mengeluarkan pelbagai fatwa dan hadis, yakni 'itu salah dan ini salah'.. Jadi.... anda sorang je lah yang betul kan? So, ingatlah bahawa 'cermin diri kita dulu, sebelum diri orang lain dicerminkan'...


Wallahuallam..


PETIKAN ARTIKEL DARI SEBUAH LAMAN WEB


Yasmin Ahmad apa tujuan dia?
Analisis Kumbang..


Kritikan demi kritikan dilemparkan pada Yasmin Ahmad kerana menerbitkan filem kontroversi’ ‘Muallaf ‘ ini. Yasmin Ahmad juga dilaporkan memuji Singapura kerana cepat meluluskan tayangan berbanding Malaysia. Mungkin Yasmin Ahmad menjadikan Singapura sebagai contoh dan sehingga sanggup menerbitkan filem kontroversi yang antara tidak, filem ini seakan-akan menyuruh penonton memahami bahawa semua agama adalah sama.
Inilah fahaman yang terkandung dalam Islam Liberal yang dibawa oleh seorang ahli politik Malaysia… Anda nak tahu siapa buka blog ini http://anwaribrahimdotcom.blogspot.com/ . Apa-apa pun usaha untuk menyamakan semua agama adalah salah, kerana sifat sesuatu agama itu unik. Terutamanya Islam! Kumbang tak mahu mengulas panjang isu ini. Tapi jika anda tahu perkara ini, mengapa dibuat lagi filem ini. Seperti filem pendek gay, Comolot. Anda tahu homoseksual itu haram, kenapa dibuat filem itu lagi dan seperti mempromosikan budaya gay di negara ini. Mungkin ada maksud yang sukar dimengerti dibawa oleh Yasmin, tetapi apa pun kita perlu menganalisis terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu filem, negara ini bukan Singapura. Agama rasmi kita Islam, kenapa sekian kali mahu menongkah arus. Hormat menghormati sesama agama sudah cukup. Kenapa mahu disamakan?
Pendapat anda?


P/S: Kumbang juga meminati filem Yasmin, Sepet dan Muhsin. Tetapi Gubra dan Muallaf agak kontroversi kerana ada maksud yang mendalam(usaha menyamakan agama?). Bukannya semua buruk pada Yasmin, cuma yang salah tetap salah dan yang benar sudah tentu benar.
http://analisisringan.blogspot.com/


Muallaf menyinggung orang Islam?
Oleh KAMIL MASLIH dan ARIF NIZAM ABDULLAH(Yang menonton Muallaf di Singapura baru-baru ini)

"MEMANG patut tak lepas di Malaysia," komen spontan sebaik kami selesai menonton filem Muallaf di The Picturehouse, The Cathay Singapura semasa hari pertama tayangannya pada 29 November lalu.
Muallaf, filem kelima arahan Yasmin Ahmad belum ditayangkan di negara ini tetapi sudah dapat ditonton di negara itu.

Sehingga hari ini, filem arahan pengarah kontroversi itu terus tersadai di Lembaga Penapisan Filem (LPF) atau dalam bahasa halus tidak diluluskan tayangannya di Malaysia.
Ini kerana Yasmin dikatakan enggan mematuhi arahan badan penapis itu supaya memotong beberapa adegan penting yang boleh mencetuskan sensitiviti agama di negara ini.
Peliknya, sambutan di Singapura begitu memberangsangkan apabila tayangan hari pertama penuh sesak sehinggakan penonton perlu membuat tempahan awal bagi mengelak kehabisan tiket.
Barangkali bagi penonton di sana, tarikan utama Muallaf adalah kerana hampir keseluruhan dialog dalam filem itu menggunakan bahasa Inggeris.
Sepanjang menonton filem ini, kami mencari kewajaran di mana letaknya kekhilafan Muallaf hingga dihukum sedemikian.
Jawapannya ditemui cukup mudah. Menerusi Muallaf, Yasmin semakin berani menongkah arus untuk mengangkat isu agama sebagai lambang perjuangannya dalam bidang seni.
Persoalan itu timbul berikutan sejauh mana sensitiviti agama diusik Yasmin yang memang terkenal dengan filem-filemnya yang melangkau budaya masyarakat Melayu seperti Sepet dan Gubra.

Bukan tidak pernah persoalan mengenai toleransi serta keterbukaan antara agama ditonjolkan di layar perak seperti Ridley Scott dalam filem berjudul Kingdom of Heaven. Nilai kemanusiaan merupakan keutamaan pengarah British itu berbanding perjuangan agama kerana kesudahannya, manusia sendiri yang akan mencorakkan perjalanan agama yang didukung mereka.
Dengan mengambil situasi peperangan yang mana berlaku konflik antara agama, Scott meletakkan harapan kepada kedamaian bersandarkan rasa toleransi manusia.
Menarik mengenai Muallaf pula, Yasmin tidak mengambil latar peperangan ataupun konflik yang sedia menjadi kelaziman untuk sesebuah filem yang ingin menegakkan perjuangan.
Pengarah kelahiran Muar, Johor itu memilih sebuah bandar raya Ipoh yang tenang dan kaya dengan keindahan landskap bangunan kolonial.
Dia juga memaparkan sikap masyarakat yang langsung tiada berbalah semata-mata mencintai kedamaian.

Dalam Muallaf, Yasmin menempatkan masyarakat berbilang agama dapat hidup dengan saling toleransi. Suntikan realiti yang diberikan pastinya memberi kesan namun persoalan samar yang diwujudkan terlalu halus sehingga mengguris hati dan sensiviti masyarakat khususnya Islam yang menjadi majoriti di negara ini.
Hampir semua watak utama di dalam filem Muallaf dilihat mahu mencari serta menegakkan kebenaran menerusi agama masing-masing.
Watak Rohana yang dibawa Sharifah Amani dan watak Rohani yang dibawa adiknya, Sharifah Alesha, masing-masing ingin mencari kebenaran daripada agama Islam yang menjadi junjungan mereka.

Mereka berpegang teguh terhadap agama Islam namun mereka juga mengeluh kerana jiwa mereka kosong dalam pengisiannya. Mereka berdua bagaimanapun dapat bersahabat baik dengan watak-watak lain dalam cerita ini yang berbeza agama terutamanya Brian dan Brother Anthony (paderi).
Perbincangan agama yang dirungkai mungkin terlalu ironi sehingga Rohani yang masih bersekolah dapat berhujah dengan menghafal ayah-ayat dari kitab Injil.
Yasmin memang menyusun baik kisahnya namun kewajaran daripada adegan serta dialog yang dipaparkan pasti menimbulkan kekeliruan bagi mereka yang cetek mengenai agama.
Hala tuju dari filem Muallaf ini pasti bertunjangkan kepada watak Brian yang dilihat sebagai insan yang paling kosong dalam jiwanya. Dia yang pernah mengalami trauma sewaktu kecil adalah titik tumpu kepada perjalanan filem ini.
Kecenderungannya adalah pada agama Islam namun dia datang daripada keluarga yang berpegang kuat kepada agama Kristian Katolik.

Keindahan Islam yang dilihat Brian, begitupun tidak datang terlalu menjurus kepada bentuk agama Islam itu sendiri, namun lebih kepada nilai kemanusiaan daripada Rohana dan Rohani.
Tidak dapat dinafikan, Yasmin telah memberikan hasil karya seninya yang terbaik menerusi Muallaf. Susunan plot filemnya itu seperti biasa adalah terlalu tenang berbanding sensitiviti ataupun kisah tersirat yang cuba dibawanya. Muallaf tidak boleh dikatakan sebagai filem dramatik, kerana unsur- unsur drama telah disunting dengan pantas.
Malah adegan Sharifah Amani yang terpaksa dibotakkan rambutnya hingga menjadi bahan sensasi pihak media boleh dikatakan tidak lebih daripada subplot semata-mata dan langsung tidak memberi kesan yang besar terhadap Muallaf.

Kebijaksanaan Yasmin adalah kepada ketelitian terhadap perkara-perkara yang orang sentiasa terlepas pandang dan kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya dalam Muallaf. Malah setiap watak walaupun berperanan kecil tetap memberi kesan kepada perjalanan cerita Muallaf.
Dialog-dialog yang diberikan adalah tajam dan mampu memberi kesan di atas mesejnya yang tersurat dan tersirat. Mengambil daripada realiti dengan melontarkan pandangan mengenainya, Muallaf hanya memberikan persoalan bersama jawapan yang masih belum selesai.
Dari segi kemanusiaan, Muallaf adalah sebuah filem yang cukup indah kerana penuh nilai kasih sayang dan rasa saling memahami. Keinsafan adalah pada setiap manusia mengenai perkara ini, namun dukungan liberal yang terlampau halus dan mendalam inilah yang mengakibatkan garis terang yang memisahkan setiap agama bagai terkabur.
Sebagai seorang muslim, Yasmin gagal memberi keindahan sebenar mengenai wajah agama Islam yang menuntut jalan yang lurus. Imej Muallaf yang dilontarkannya adalah terlalu mengecewakan. Ini kerana terlalu banyak perkara yang diambil ringan maksudnya berbanding kesannya terhadap agama Islam.

Sewajarnya difahami, subjek agama yang diangkat dalam Muallaf tidak sepatutnya diletakkan dalam medium seni yang tidak pernah begitu jelas justifikasinya.
Semua pengarah melakukan kesilapan dan kesilapan Yasmin cuba menunjukkan semua agama menyuruh melakukan kebaikan dan dia mahu menyamaratakan semua agama untuk kelangsungan hidup. Realitinya, Islam tidak pernah sama dengan mana-mana agama!

Catat Ulasan

5 Ulasan

Tanpa Nama berkata…
salaam, amy

i may be brave, but i'm still a muslim. and as a muslim, obviously i don't believe that all religions are the same! kalau tidak, sia-sia saja saya mengerjakan solat lima kali sehari, kan?

those utusan reporters did not bother to find out what were the numbers the girls in the film kept repeating, and they assumed they were identifying verses from the bible. the truth is, they were verses from the holy quran!

in fact, at one point, the younger girl said to her fierce non-muslim arts teacher, "109:6". that is the last ayat in surah al-kafiroon, and it says, "unto you your religion, and unto me my religion".

masalahnya, those utusan reporters were too lazy to find out the origin of the numbers the girls kept saying every time they were upset.

nasib baik the singaporean viewers, and japanese viewers in tokyo, were more rajin. they watch muallaf dua tiga kali just to jot down the numbers and find out their meaning from al-quran.

if you go to the muallaf page on facebook, you will jumpa ramai orang discuss the beauty of those quranic phrases. muslims AND non-muslims!

alhamdulillah.
Amy Ikram berkata…
tu la yasmin... reporter memang macam tue.. bukan sebab diorang malas.. apabila menulis pasal muallaf atau filem yasmin.. pastinya mereka akan mencari sudut kontroversi untuk ditulis, sebab ia tarikan pembaca..

apapun yasmin... go head.. teruskan perjuangan ok... good luck and all the best
fadz berkata…
Lagi satu kesilapan wartawan itu ialah, mereka tidak memahami situasi dramatik yg dialami dua adik beradik itu. Mereka intelek, mereka dahagakan guru (dinyatakan banyak2 kali dlm filem tu) dan mereka perlukan bimbingan. yasmin mahu menunjuk bagaimana dua adik yang "jahil" sebenarnya berjaya menawan seorang yang bukan Islam mengenali Islam atas dasar kemanusian mereka. Inilah pengajaran sufi yang terlembut, inilah sebenarnya kuasa hati, dan Yasmin dapat menggambarkan idea ini dalam Muallaf.

Comolot pun sempat ditendang ya?
Ajami Hashim berkata…
bakar! bakar! bakar!

*gua tgh tunggu filem MAUT (asalnya Malaikat Maut) ahaks!
wie berkata…
btol la nabi pun pernah kata, satu masa nanti, sesuatu bidang tu akan dipegang oleh orang yg bukan dari bidang itu sndri... sigh!

setakat satu phrase dalam quran... org lain kaji bagai nak rak