'Perlu wujudkan FINAS sebagai Suruhanjaya Perfileman Negara' - Ahmad Puad Onah

Sebuah artikel menarik tentang FINAS yang ura-uranya akan di ambil oleh Kementerian Penerangan Malaysia. Terus terang saya katakan di sini bahawa, 'saya tidak bersetuju jika FINAS beralih kementerian!', kerana jika dilihat apakah yang sudah dikecapi oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Penerangan?. FINAS sudah mencapai tahap sebuah badan seperti suruhanjaya. Bak kata Ahmad Puad Onah 'FINAS perlu dijadikan sebagai sebuah Suruhanjaya Perfileman Negara'. Wah.. okay jugak kiranya kan, jika macam tuelah FINAS akan bertambah lagi mantap dari semasa ke semasa. Ada juga teman di kalangan industri, yang mengatakan FINAS macam-macam. Itu lah ini lah.. tapi bagi saya, 'FINAS telah mencapai tahap perkembangannya sebagai sebuah badan perfileman yang terunggul di rantau asia dalam memartabatkan industri perfileman negara sehingga ke pelusuk dunia. tahniah beb!! apatah lagi ucapan pengerusinya, Datuk Razali semalam di sidang media di FINAS.. nampak sangat very-very the intelektual.. Di harapkan tahun ini, FINAS akan berjaya lagi.. Jangan lupa, 31 hb Januari 2009 dan 1 Februari 2009, anda semua di jemput hadir ke Hari Terbuka FINAS sekaligus perasmian Dolby Sound Mixstage FINAS akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri. Ramai juga artis yang akan membuat persembahan. Dan khabarnya satu video sempena pelancaran ini akan dipersembahkan pada umum. Saya dah tengok masa penggambaran video ini di Dengkil. Gempaq sangat...

petikan dari Berita Harian hari ini

JANGAN GANGGU FINAS!!!

Oleh Zainuri Misfar

Kementerian Penerangan dicadangkan naik taraf peranan Filem Negara supaya boleh terbitkan filem cereka

APABILA kerajaan meletakkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam Kementerian Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KPKKW) ia dianggap keputusan tepat kerana filem adalah sebahagian daripada seni dan warisan negara yang perlu dipelihara.

Dan, sejak lebih lima tahun di bawah KPKKW, banyak pembaharuan dan perubahan dilakukan terhadap Finas seperti kemudahan prasarana untuk penggiat filem sehinggalah kepada penstrukturan semula kakitangannya untuk memastikan kecekapan operasi perbadanan itu dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

Bagi pengamal industri perfileman dan media hiburan, suasana itu berbeza apabila Finas berada di bawah kementerian sebelumnya selama hampir 12 tahun apabila perbadanan ini seolah-olah dipinggirkan sehingga sukar untuk mereka melakukan pelbagai program pembangunan, pemasaran, promosi dan pengurusan perfileman tanah air.

Apabila timbul ura-ura beberapa pegawai atasan di Kementerian Penerangan sedang menyiapkan kertas kerja untuk membawa balik Finas di bawah kementerian ini menyebabkan banyak pihak terutama penggiat filem tertanya-tanya sebenarnya yang boleh mereka lakukan ke atas industri perfileman tanah air.

Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah berkata, walaupun masih ada beberapa kelemahan yang perlu di atasi, tetapi Finas sejak berada di bawah KPKKW sekarang secara keseluruhannya sudah melakukan pelbagai usaha terbaik terhadap kegiatan perfileman tanah air.

Menurutnya, sebaik saja kerajaan mengumumkan Finas dalam KPKKW, menterinya pada waktu itu, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyediakan peruntukan yang besar untuk menstruktur semula perbadanan itu seperti meningkatkan kecekapan kakitangan, peralatan pasca produksi dan menyediakan pelbagai teknologi penerbitan untuk kemudahan penerbit filem tempatan.

“Saya rasa beliau (Dr Rais) sudah menyalurkan hampir RM100 juta dalam tempoh lima tahun Finas di bawah kementerian ini sebelum ditukarkan menjadi Menteri Luar.

“Kesinambungan itu diteruskan oleh Datuk Seri Mohd Shapie Apdal. Beliau juga bersungguh-sungguh memajukan industri perfileman tanah air menerusi Finas. Filem adalah warisan negara. Filem juga sebahagian daripada seni dan budaya. Warisan negara adalah warisan rakyat. Jadi, sudah betul kedudukannya Finas berada di bawah kementerian sekarang.

“Kami tidak faham mengapa timbul ura-ura Kementerian Penerangan bersungguh-sungguh hendak membawa balik Finas di bawah mereka. Kita berpendapat hala tuju dua kementerian ini sangat berbeza,” katanya kepada Hip untuk mengulas laporan mengenai ura-ura bahawa Kementerian Penerangan bercadang untuk mengambil semula Finas di bawah kementerian ini.

Ahmad Puad yang juga Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) berkata, Kementerian Penerangan patut lebih fokus kepada soal penerangan dan penyiaran, bukan kepada aktiviti perfileman.

Menurutnya lagi, sekiranya kementerian ini teringin sangat terbabit dalam sektor perfileman mereka boleh menaik taraf peranan Filem Negara Malaysia (FNM) daripada sekadar menjadi arkib filem atau menerbitkan filem dokumentari negara kepada penghasilan filem-filem cereka.

“Lagipun peranan Filem Negara kurang relevan. Dulu kita tidak ada stesen TV kecuali RTM. Tapi sekarang sudah ada banyak stesen TV dan masing-masing sudah ada arkibnya sendiri, kecuali untuk tempoh sebelum kemunculan stesen TV swasta,” katanya.

Beliau berkata, pegawai di Kementerian Penerangan sepatutnya membuat kertas cadangan bagaimana hendak menjadikan FNM boleh terbabit dalam aktiviti perfileman tanah air secara lebih aktif kerana itu adalah lebih berbanding daripada ‘mengganggu’ Finas.

Menurutnya, antara yang boleh dilakukan oleh Kementerian Penerangan ialah menyediakan sejumlah dana yang besar bagi membolehkan FNM secara khusus menerbitkan filem bercorak kenegaraan, sejarah atau patriotik.

“Ketika Finas di bawah Kementerian Penerangan, mereka boleh memperuntukkan RM12 juta setahun untuk menerbitkan filem cereka. Perkara yang sama boleh dilakukan tetapi kali ini disalurkan kepada FNM. Biar FNM menerbitkan filem bercorak kenegaraan kerana ia bersesuaian dengan peranan kementerian Penerangan.

“Lagipun saya rasa agak janggal bagi sebuah kementerian yang bertanggungjawab menghebahkan dasar-dasar kerajaan tetapi turut terbabit dalam perfileman,” katanya.

Syor wujudkan Suruhanjaya Perfileman Negara



KATANYA lagi, medium filem tidak diperlukan oleh Kementerian Penerangan untuk menghebahkan dasar-dasar kerajaan kerana kementerian itu sudah mempunyai pelbagai agensi atau jabatan yang mencukupi.

“Kementerian ini sudah ada Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Bernama dan untuk filem pula sudah ada Filem Negara. Jadi tidak perlulah kedudukan Finas yang sudah lancar di bawah kementerian sekarang hendak diganggu pula.

“Lebih daripada itu, pegawai di Kementerian Penerangan juga boleh bertindak memasarkan kandungan atau content yang mereka miliki ke pasaran luar negara,” jelasnya.

Malahan Ahmad Puad menegaskan Finas tidak sepatutnya berada di bawah mana-mana kementerian sebaliknya berperanan sebagai sebuah suruhanjaya dengan setiap kegiatan dan bidang tugasnya dilaporkan terus ke Parlimen.

Katanya, peranan kerajaan masih diperlukan tetapi pada masa biarlah industri perfileman tanah air ini dimajukan dan ditadbir oleh mereka yang arif dan menyintai serta meminati aktiviti berkaitan perfileman.

“Bagi saya mentadbir filem tidak semestinya dari kalangan pembikin filem juga. Ia memadai kalau mereka cekap dan memahami selain mempunyai minat mendalam terhadap hal ehwal berkaitan perfileman.

“Ini kerana pembikin filem atau karyawan filem yang baik tidak \bermakna mereka juga bagus sebagai pentadbir yang baik dan cekap untuk menguruskan sesebuah institusi perfileman,” katanya.


P/S: Nantikan juga kemunculan sebuah iklan Anti Cetak Rompak terbitan FINAS di semua pawagam tanah air... so apa komen anda pada isu di atas ini..


Catat Ulasan

0 Ulasan