'Kisah Cinta Yang Klise', Filem Sayang You Can Dance.. Enjoy atau tidak?


'Tarian dan Muzik', seumpama dua perkara yang tidak boleh dipisahkan dari jiwa anak-anak remaja belasan tahun tidak kira darjat dan keturunan, agama serta budaya. Impian bergelar bintang sememangnya paling diimpikan oleh segenap anak muda tidak kira diceruk mana sekalipun, tetap mengimpikan sesuatu perkara yang dapat menaikkan nama masing-masing walaupun terpaksa bersaing dengan persekitaran, keturunan, kekayaan mahupun kekuasaan. Faktor sebeginilah menjadi rencah utama penceritaan 'Sayang.. You Can Dance', sebuah filem muzikal romantik arahan Bjarne Wong yang akan menemui penonton di semua pawagam terpilih seluruh negara bermula esok, 12 Mac 2009. Filem yang mengisahkan dua kehidupan yang berbeza antara Mia (Sharifah Armani) dan Reimi ( Sameul Rizal), dua sahabat yang bercita-cita untuk menjadi koreografer @ penari terkenal terpaksa bersaing dengan beberapa individu lain walaupun bergerak dalam satu kumpulan. Persaingan tersebut lantas mewujudkan satu perasaan cinta, kasih dan sayang antara Mia dan Reimi yang menyintai antara satu sama lain, walaupun akhirnya mendapat tentangan hebat daripada keluarga Mia yang mementingkan darjat, keturunan dan kekayaan. Tentangan ataupun konflik ini sememangnya banyak dilihat dalam karya-karya cinta di kaca tv mahupun di layar sinema yang boleh dikatakan agak 'klise' kerana plotnya berkembang kepada unsur dramatik yang mewujudkan pertelingkahan rasa dan perasaan antara berlainan darjat 'miskin dan kaya', sememangnya menjadi point utama kepada perkembangan naratif filem ini. Lakonan bersahaja daripada Sameul Rizal dan Sharifah Armani yang di bantu oleh Dafi, Ebi dan Alam banyak membantu pergerakkan cerita filem ini di samping muka-muka baru yang adakalanya mencacatkan dan menjadi hambar. Apakah di Malaysia tidak ada pelakon professional yang boleh memegang watak Ibu dan Bapa kepada Mia (Sharifah Armani)?. Jika ia di beri kepada pelakon seperti Fauziah Nawi dan Datuk Rahim Razali sebagai bapa kepada Mia, nescaya filem ini akan mempunyai kekuatan plot terutama pada adegan bapa Mia dengan Reimi di ruang tamu, membicarakan soal maruah, kekayaan dan keturunan. Tetapi, dengan muka-muka baru tersebut, sedikit sebanyak mencacatkan perjalanan filem ini walaupun dramatiknya agak memuncak. Penampilan Yasmin Ahmad ; sekadar fotonya diletakkan di kamar Reimi (Sameul Rizal) nyata mengelirukan khalayak pada permulaannya, kerana ramai memperkatakan 'apakah hubungan Sameul Rizal dengan Yasmin Ahmad?. Tetapi, apabila plotnya bergerak ke adegan seterusnya, nyata persoalan ini terjawab kerana Yasmin adalah ibu kandung kepada Reimi. Akan tetapi, sekiranya Bjarne Wong memaparkan adegan antara Samuel Rizal semasa kecil dengan Yasmin, nyata filem ini akan menjadi agak menarik barangkali.

Jika dilihat pada keseluruhan filem ini, saya percaya filem Sayang You Can Dance boleh mengutip pulangan yang agak berbaloi kerana plot filem ini ialah 'dance' dan heronya adalah jejaka kacak 'Sameul Rizal'. Barangkali, ramai penonton di luar sana tidak sabar untuk menyaksikan adegan penuh seksi yang memaparkan susuk tubuh Sameul Rizal di layar sinema ini. Mungkin?. Anda sendiri mampu merungkai persoalan ini. Walaupun seindah mana paparan visual sesebuah filem itu, jika diteliti ke semua aspeknya, maka kekurangan sesebuah filem itu dapat di lihat. Sayang You Can Dance sebuah filem yang menggunakan 5 dialek bahasa iaitu, Malay, English, Chinese, Sarawak dan Indonesia sememangnya agak menarik tetapi ia tidak dibantu dengan sarikatanya (Subtitled). Apakah filem ini hanya untuk penonton berbangsa Cina dan Sarawak sahaja?. Bukan ingin mempersoalkan kekurangan yang ada pada filem ini lagi, tetapi para produser filem ini perlulah memikirkan bahawa filem adalah medium penceritaan untuk tontonan semua bangsa di Malaysia mahupun di luar negara. Jadi, subtitled perlulah ada pada filem ini walaupun hanya sarikata English, cukup memadai kerana bukan semua manusia boleh memahami setiap bahasa ataupun dialek yang dituturkan oleh seseorang individu. Justeru, sarikata itu penting bagi penonton memahami sesetengah percakapan para pelakonnya.

Oleh itu, Sayang You Can Dance adalah sebuah filem muzikal romantik untuk remaja dan ia sememangnya boleh diperbaiki lagi untuk masa akan datang, kerana bagi saya keseluruhan filem ini agak sederhana sahaja. Justeru, kesimpulannya filem ini tidak mengecewakan dan bagi anda yang meminati genre 'dance', filem ini mungkin sesuai untuk anda, tetapi jika anda datang ingin menyaksikan ia dari sudut lakonan, agak mengecewakan sedikit. Tepuk dada tanya selera.

gambar-gambar menarik Amy Ikram di Gala Premier Night 'Sayang You Can Dance' at GSC Pavillion, KL 6 Mac 2009.




i

p/s: Gambar sekadar hiasan

Catat Ulasan

0 Ulasan