Lambakkan Filem Seram : Skim Wajib Tayang FINAS perlu ambil perhatian..

'Lambakkan Filem Seram', bermaksud kuantiti filem yang bergenre seram menguasai pawagam tempatan dalam satu jangka masa tertentu ; ia memberi fokus kepada puluhan karya seram yang dihasilkan pembikin filem tempatan. Penghasilan pelbagai judul karya termasuk seram dalam industri perfileman tempatan, disebabkan kehendak pasaran yang memerlukan pelbagai genre filem untuk diketengahkan. Penayangan filem tempatan dipawagam diselaraskan melalui skim wajib tayang, dibawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Apabila dalam satu atau dua bulan, ada 4 buah filem seram ditayangkan sekaligus di pawagam, ia bukan salah penerbit atau pembikin filem tetapi proses penentuan sesebuah filem yang ditayangkan di pawagam ditentukan melalui barisan panel Skim Wajib Tayang.

Skim Wajib Tayang yang diperkenalkan Finas berkuatkuasa pada 2005, merupakan satu skim yang membolehkan sesebuah filem tempatan yang dihasilkan penerbit filem tempatan, ditayangkan dalam tempoh tertentu oleh pemamer. Penayangan ini bertujuan membantu karyawan filem tempatan menayangkan filem mereka secara wajib tanpa gangguan mana-mana pihak di beberapa lokasi pawagam seluruh Malaysia dalam jangkamasa 14 hari berturut-turut. Apabila isu Lambakkan Filem Seram menjadi perbualan panas, maka penyelarasan tarikh filem bagi setiap bulan oleh pihak wajib tayang, perlu dibuat bagi membolehkan semua genre filem ditayangkan secara adil agar tiada isu melibatkan naskhah filem tempatan dipersoalkan lagi.
Isu tarikh dan kesesuaian sesebuah filem memasuki pawagam tempatan perlu dibuat secara adil. Ini merujuk kepada pelbagai genre filem yang dihasilkan karyawan filem. Misalnya, dalam sebulan dan tiap-tiap bulan, Pihak Wajib Tayang melalui Skim Wajib Tayang perlulah menyelaraskan kuantiti filem mengikut genre. 'Romantik, Komedi, Seram dan Thriller', antara genre popular yang diketengahkan pembikin filem tempatan. Dalam soal ini, Skim Wajib Tayang boleh meletakkan setiap genre filem (kepelbagaian genre mengikut cerita) pada setiap bulan, agar isu 'lambakkan filem mengikut satu genre', tidak akan timbul. Misalnya untuk bulan Oktober, Skim Wajib Tayang boleh meletakkan filem Gerimis Mengundang ( love story), Al HIjab (Seram), Alamak Toyol ( Komedi) dan Upin Ipin ( Animasi). Jika kepelbagaian genre ini diutamakan, penerbit filem harus akur dan kemungkinan besar isu 'lambakkan' itu tidak akan timbul.

'Lambakkan satu genre' misalnya Seram dalam industri perfileman tempatan, bukan bermakna kita tiada genre lain untuk diketengahkan. Jika ada pun, mungkin penerbit tidak mahu bersaing dengan filem Box Office lain ( ada filem yang telah dipilih tarikhnya, tetapi penerbit menarik diri sebab isu persaingan). Kebanjiran filem luar negara antara penyebab saingan yang kuat bagi filem tempatan yang agak rendah tarikan penontonnya. Namun, dalam perkara ini, Skim Wajib Tayang perlu meneliti setiap naskhah yang dihantar penerbit untuk mendapat tarikh tayangan di pawagam, dengan menyelaraskan pelbagai genre agar apa jua isu tidak akan timbul, sekaligus menangkis tanggapan negatif yang boleh mewujudkan polimek dalam dunia hiburan dan filem tempatan.

'Hantu Kak Limah Balik Rumah, Khurafat, Seru, Al Hijab, dan Hantu Bonceng' antara genre seram yang mendapat pulangan tinggi apabila ditayangkan di pawagam. Kutipan yang agak memberangsangkan dari setiap genre yang diketengahkan, menandakan aras baru dalam pencapaian sektor perfileman negara. Penerimaan penonton menandakan keseluruhan pawagam dibanjiri dengan puluhan penonton sekaligus membuktikan karya seram tempatan masih relevan untuk dihasilkan. Apabila isu filem seram ditimbulkan oleh Tun Dr. Mahathir, kita tidak perlu melatah atau menuding jari menyalahkan sesiapa ; padahal kita boleh duduk berbincang, bekerjasama antara satu sama lain serta bertanyakan pada diri kita 'apa, kenapa dan mengapa'..

Jika dikatakan filem seram tempatan melahirkan bangsa Malaysia yang tidak produktif, saya sukar menerima pendapat sedemikian. Mengapa?. Sebabnya tidak semua karya seram itu memesongkan akidah ; ada yang dihasilkan bertujuan untuk kritikan postif ( Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan ada juga yang dibikin untuk hiburan, komedi dan sebagainya. Filem Seram tempatan banyak menunjukkan elemen kemelayuan berdasarkan cara hidup, agama dan budaya. Jika dibandingkan dengan genre yang lain, keaslian filem melayu itu tidak akan wujud. Perhatikan filem cinta - ia memaparkan elemen budaya barat yang jelas ketara pada setiap babak, walaupun mempunyai elemen islam pada plot penceritaannya. Namun, dalam perkara ini, saya tidak mahu membandingkan setiap genre yang dihasilkan dengan genre seram, tetapi apa yang penting ialah 'cara kita berfikir, menilai dan meletakkan sesuatu naskhah filem itu' agar diterima atau sebaliknya...

Justeru, tiada kata secantik bahasa melainkan perubahan kepada struktur tayangan oleh Skim Wajib Tayang. Mungkin untuk tahun 2012.. kita berubah meletakkan setiap genre pada setiap bulan.. agar semua karya boleh ditayangkan tanpa ada rasa prejudis.. Tepuk dada Tanya Selera..

Catat Ulasan

0 Ulasan