APA YANG DICARI DI DALAM FILEM?


oleh : Hassan Abdul Muthalib

Apa yang diperkatakan oleh Ku Seman Ku Hussain tentang wacana atau idea dalam filem melalui ruangannya, Gementar Seni(Mingguan Malaysia, 19 Disember, 2011) adalah tepat sekali. Wacana atau idea menjadi asas dalam pembikinan sebuah filem yang baik, dan ini jugalah yang dicari dan diteliti oleh juri di mana-mana festival filem.

Kadangkala, idea dalam filem menjadi komen, sindirian atau pun persoalan terhadap sesuatu tetapi tidak sekali-kali dibuat untuk menyampaikan ’mesej’.

Para karyawan hanya tukang cerita yang mempunyai sesuatu untuk dikongsikan dengan khalayak. Semuanya lahir dari renungan dan ia merupakan perspektif mereka tentang keadaan sosio-budaya atau politik di sesuatu masa yang menyentuh perasaan dan akal fikiran mereka. Penulis skrip akan menyandarkan sesuatu idea kepada subjek dan tema filem. Subjek dijadikan cerita dan cerita distrukturkan menjadi lakon layar. Melalui kebijaksanaan penulis, idea atau wacana ’disembunyikan’ di tempat-tempat tertentu dalam lakon layar. Pengarah seterusnya akan memperlihatkannya dengan susun atur visual yang akan “meninggalkan kesan dan persoalan berpanjangan” sebagaimana yang dihujahkan oleh Ku Seman.

Idea atau wacana sebenarnya pernah dilontarkan melalui filem di era kegemilangan sinema Melayu. Dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959), misalnya, Tan Sri P. Ramlee menyampaikan banyak ideanya secara tersirat. Antara hujahnya ialah: tidak salah bagi orang dewasa belajar membaca dan menulis, juga tidak salah kalau kaum wanita menjadi guru dan mengajar mereka yang dewasa. P. Ramlee melihat kedaifan bangsanya kerana kebanyakkan dari mereka tidak ada pendidikan formal yang membolehkan mereka menangani zaman moden. Yang sudah mempunyai pendidikan pula bersikap angkuh dan terlupa nilai-nilai tradisi masyarakat orang-orang Melayu. Begitu juga dalam Seniman Bujang Lapok (1961). P. Ramlee membandingkan tiga bujang lapok dengan tiga orang yang berstatus tinggi (pengurus studio, pengarah filem dan doktor) yang bertutur dengan bahasa kasar. Maka lahirlah kata-kata keramat, ”Bahasa menunjukkan bangsa” yang sesuai digunakan sehingga ke hari ini.


Era Baru Sinema Malaysia

Perubahan sosio-budaya, ekonomi dan politik dan kesannya ke atas masyarakat akan tercermin dalam karya-karya seni yang baik, apa lagi dalam dunia pascamoden di mana milieu dan perwatakan manusia menjadi lebih kompleks. Filem-filem tahun 1980-an mula lari dari melodrama, komedi dan fantasi klise demi menyahut cabaran untuk mengemukakan idea-idea yang belum pernah diteroka sebelum itu.

Rahim Razali (Dato’) memulakan era baru filem arus perdana Malaysia dengan melontarkan beberapa idea dalam Abang (1981) dan Matinya Seorang Patriot.(1984). Rahim memaparkan wajah Melayu baru yang sudah berjaya dalam bidang bisnes dan politik. Namun mereka ini berdepan dengan pelbagai dugaan seperti penyelewengan dan perebutan kuasa yang membawa kepada pembunuhan serta konfrontasi di antara adik beradik. Dalam Tsu-Feh Sofia (1986), Rahim melontarkan soalan: di saat seorang perempuan Cina mahu memeluk Islam, mengapakah orang-orang Islam tergamak kafir mengkafir sesama sendiri? Melalui filem Seman (1987), Mansor Puteh juga memperkata-kan tentang kemajuan dalam negara, tetapi mengapakah masih ada manusia yang cetek ilmu dan suka berpura-pura? Mansor turut mempersoalkan nasib karyawan yang berilmu tetapi tidak diberi peluang untuk berkarya. Perkara yang sama diperkatakan oleh Anuar Nor Arai melalui Johnny Bikin Filem (2008) dan oleh Dain Said Iskandar melalui telemovienya, Senandung Malam (2009).


Gelombang Baru

Tahun 1990-an membawa tanda-tanda bahawa sinema Malaysia sudah pun bergerak seiring dengan sinema dunia. Idea-idea yang relevan dengan zaman diperlihatkan dalam filem-filem beberapa karyawan baru yang berpendidikan filem. Karya-karya mereka ini bermain dengan pelbagai wacana. Maka tidak hairanlah apabila filem-filem mereka diundang ke festival filem antarabangsa dan ada yang memenangi anugerah di sana. Di antaranya ialah Selubung (1992) di mana Shuhaimi Baba (Datuk Paduka) berbicara tentang kesan fundamentalisme Islam ke atas mahasiswa-mahasiswi yang dikemukakan dalam konteks global. Isteri, Perempuan dan ,,,,,(1993) diinspirasikan oleh adegan akhir dalam filem Sri Mersing (Salleh Ghani, 1960). U-Wei Haji Saari bermain dengan idea yang menjadi premis bagi filemnya, iaitu: apa akan berlaku sekiranya (dalam Sri Mersing), bakal suami bertembung dengan bakal isterinya yang lari bersama lelaki pilihannya.

Abad ke-21 membawa pelbagai isu yang lebih mencabar dan bersifat global. Bagi Hishamuddin Rais dalam Dari Jemapoh ke Manchestee (2004), masanya sudah tiba untuk remaja Melayu membebaskan diri dari apa saja yang menghalang kemajuan mereka. Yasmin Ahmad melontarkan idea-idea mengenai keluarga, kasih sayang, perhubungan antara kaum dan penghayatan pelbagai budaya melalui Sepet(2005), Gubra (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009).


Perubahan Budaya

Perubahan budaya di kalangan orang-orang Melayu turut diperkatakan dalam beberapa filem. Bagi Shadan Hashim dalam Haru Biru(2007), sejahat-jahat remaja di milenia baru, ada manusia-manusia dewasa, yang tidak jelas wajah mereka, yang lebih jahat. Begitu juga dalam Susuk (2008), sebuah satira politik arahan Amir Muhammad dan Naeim Ghalili yang bercakap tentang ’kengerian’ pemerintahan di sesuatu waktu. Dalam Budak Kelantan (2008), Wan Azli Wan Jusoh merenung kelakuan dan hala tuju remaja di zamannya dan mempersoalkan keberkesanan agama dalam membentuk akhlak mulia.

Bagi Khir Rahman dalam filemnya …Dalam Botol (2011), budaya gay dilihat sebagai sesuatu yang membawa kemusnahan kepada individu, keluarga dan komuniti. Isu dan idea ini disampaikan oleh Khir dengan gaya bahasa filem yang jarang sekali dilihat dalam sinema Malaysia. Melaui Wayang (2008), Hatta Azad Khan mempersoalkan masa depan seni wayang kulit: apakah ia dapat terus hidup dalam zaman di mana budaya popular dipromosi kerana membawa keuntungan dan diminati pula oleh khalayak yang mengetepikan karya yang berisi.


Hiburan dan Wacana

Di tangan Mamat Khalid, lahir filem-filem parodi yang sarat dengan renungan tajam tentang industri hiburan dan para penglibatnya. Ini dapat dilihat dalam Man Laksa (2006), Zombi Kampong Pisang (2007) dan Kala Malam Bulan Mengambang (2008). James Lee juga mengambil pendekatan yang sama melalui Sini Ada Hantu (2011) dengan menyindir golongan yang taksub dengan cerita-cerita seram. Songlap (Effendee Mazlan/Fariza Isahak, 2011) dan Relationship Status (Khairil M Bahar, 2011), dua filem yang berbeza subjeknya, namun membawa persoalan yang sama tentang manusia-manusia dan persekitaran mereka.

Kata Ku Seman lagi, filem ”tidak sekadar ditonton tetapi dibaca”, yang sepatutnya melampaui apa yang dipapar pada layar. Penonton perlu ”membaca sistem tanda atau semiotik. Tanda-tanda yang mempunyai makna yang lebih besar daripada yang terpancar di layar.” Sekolah-sekolah perfileman tempatan sudah melahirkan begitu ramai karyawan filem yang berkebolehan untuk melontarkan idea-idea yang bermakna melalui karya mereka. Apakah kita mempunyai penonton filem dan sang penilai yang mampu membaca segala-galanya?


teouk dada tanya selera.


Catat Ulasan

0 Ulasan