BAHASA FILEM DALAM PEMBIKINAN SINEMA

Sesebuah karya yang dianggap sebagai karya filem mestilah mempunyai 3 komponen penting dalam pembikinannya. Iaitu 'menghiburkan (hiburan), mempunyai makna yang memperdebatkan sesuatu perkara (Bahasa Filem) dan penghasilannya mestilah dibuat atau dibikin penuh semiotik dan mempunyai falsafah serta pendekatannya tersendiri. Filem yang benar-benar boleh dilabelkan sebagai naskhah 'filem tulen' hanya terdapat pada sesetengah filem yang bermain dengan sesuatu isu, dimana penghasilannya penuh semiotik dan mempunyai bahasa filemnya. Dalam pembikinan sinema tempatan, kita kekurangan pengarah, penulis skrip dan pengarah sinematografi yang tahu nahu dan bahasa filemnya. Cuma yang ada hanya segelintir sahaja, itupun mereka membikin filem yang lari dari arus perdana dan bukan filem komersial.

'Yasmin Ahmad, Mamat Khalid, Amir Muhammad' dan yang terbaru 'Khairil M.Bahar, Khir Rahman dan Namewee' antara contoh pembikin filem yang menghasilkan sesebuah filem bermain dengan satu isu - berkembang mewujudkan plot dan bahasa filem yang tidak terfikir dek akal. 'Bahasa Filem', dalam filem-filem Yasmin Ahmad cukup indah ; kebanyakkannya tertumpu kepada isu serta permasalahan hidup dan sosial masyarakat yang cuba digambarkan. Apabila Yasmin meninggalkan kita dengan sejuta kenangan, maka apa yang kita harapkan akan ada lebih ramai pembikin filem yang menghasilkan sesebuah karya filem akan tahu bahasa visual dan plot naratifnya. Tetapi, apa yang diharapkan rupanya hujan ditengahari.


Mamat Khalid, antara pengarah filem yang banyak menghasilkan naskhah filem yang boleh dilihat dari sudut satira politik dan padori sosial. Misalnya filem Zombi Kampung Pisang ; filem ini mengupas tentang permasalahan yang dialami dalam industri filem tempatan. Kejatuhan sinema tempatan dari sudut naskhah bahasanya berpunca daripada mainan wayang anak-anak seni, maka Zombi yang digambarkan dalam filem tersebut adalah mewakili penggiat dan karyawan tempatan. Manakala 'Otak' yang diburu zombi itu adalah minda dan jiwa penonton tempatan. Maka kesudahan Zombi Kampung Pisang itu merupakan kesedihan Mamat Khalid terhadap pembikinan Sinema di Malaysia. Namun, ia bukan tertumpu kepada satu isu, tetapi kebanyakkan karya Mamat Khalid lebih kepada unsur kritikan tajam terhadap sinema dan sistem politik di Malaysia.

Amir Muhammad ( Susuk), Khairil M.Bahar ( Ciplak & Relationship Status), Khir Rahman ( ...Dalam Botol) dan Namewee ( Nasi Lemak 2.0) antara contoh yang boleh diperkatakan. Susuk ditangan Amir Muhammad merupakan dilema kepada persoalan dan permasalahan hidup yang di alami beberapa individu popular (artis dan selebriti wanita) yang menggunakan nikmat suntikan kecantikkan untuk pergi jauh dalam industri hiburan dan filem tempatan tanpa memiliki bakat semulajadi. Khairil M.Bahar menerusi Relationship Status ; mengupas persoalan tentang hidup, cinta, persahabatan dan impian segelintir manusia yang menjadikan dunia maya sebagai teman mencari hidup ; adakalanya menyalahgunakan kemudahan yang diberi.


... Dalam Botol hasil karya Raja Azmi yang diadaptasi dari sebuah kisah benar ( patut menang cerita asal terbaik, tapi juri tak pandang sebab dia tak faham filem ni - depa suka filem komersial dan ada nyanyi nyanyi dan sepak takraw) merupakan filem pertama Khir Rahman yang mendapat perhatian pembikin filem seluruh dunia - melalui isu gender dan cinta sesama jenis (gay). ...Dalam Botol bukan sebuah filem gay, tetapi pengkisahannya mengutuk cinta sesama jenis antara Rubee dan Ghaus. Dalam filem ini, Khir Rahman merupakan pengarah filem yang berbakat besar dalam bahasa filemnya, kerana ...dalam botol jika dikaji dari sudut mentaliti dan nahunya, ia cuba menyelongkar dua sisi kehidupan iaitu di bandar (penuh kerosakkan) - melalui imej malam, jalan sekitar Bukit Bintang dengan gambaran visual di sebuah kampung ( ada watak Dina dan ibunya Mak Cik Sherry - aman dan harmoni tetapi telah dirosakkan oleh Rubee dan Ghaus.. Cinta sesama mereka mengubah persepsi Rubee mahu menjadi wanita dan melarikan diri dari perkahwinan yang dirancang. This is a great movie.. loved it..

Namewee, satu nama yang cukup kontroversi dalam dunia politik tempatan. Ia bermula dengan klip negaraku dan beberapa klip yang agak sensasi, namun berbekalkan semangat kental yang tinggi, 'Nasi Lemak 2.0', garapan pertama Namewee di anggap satira politik yang amat tajam. Ia suatu naskhah yang memperdebatkan pelbagai isu tentang keharmonian masyarakat berbilang kaum, isu hubungan persaudaraan dan masalah kerjaya yang akhirnya membantut rasa berdasarkan kisah realiti yang berlaku disekelilingnya.

Bahasa Filem dalam kebanyakkan filem tempatan memang tidak ada. Mereka (pengarah filem dan produser filem) kebanyakkannya membikin filem berdasarkan kuantiti dan keuntungan tanpa memikirkan kualiti terbaik dalam garapannya. Yang ada cuma segelintir itupun dikatakan karya yang agak membosankan.. Walaupun biasa tetapi mampu menggoncang dunia sehingga ke persada antarabangsa.

Tepuk dada.. tanya selera..
Wallahuallam

p/s: Apa yang anda faham tentang 'Bahasa Filem Dalam Pembikinan Sinema'? Diskusi berkenaan Bahasa Filem akan dianjurkan tidak lama lagi.. Tunggu ye..

Catat Ulasan

1 Ulasan

kaz berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.