BICARA FILEM: MURTAD BERLAKU DALAM PELBAGAI CARA


Terlalu memandang remeh perkara yang membabitkan hukum-hakam islam menyebabkan ramai dalam kalangan penggiat seni perfileman dan drama tidak menitikberatkan soal berkenaan dalam penghasilan sesebuah karya. Akibat mahu mengejar keuntungan semata-mata, golongan berkenaan di anggap mengambil mudah garis panduan yang di tetapkan dalam ajaran islam, tanpa memikirkan kebaikan dan keburukannya kepada khalayak.

Tindakan tidak mahu merujuk atau dianggap bersikap sombong terhadap pakar agama, mengakibatkan sesetengah karya yang dihasilkan menyimpang daripada landasan ajaran islam sebenar, seterusnya boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat. Menganggap industri seni juga terikat dengan peraturan agama, penceramah bebas, Ustaz Kazim Elias, berkata setiap penghasilan karya tidak boleh melampaui batas atau had ditetapkan oleh agama.


Susulan itu, beliau menyarankan pembikin filem atau drama melantik seseorang yang berpengalaman dalam agama sebagai tempat rujukan sesebelum sesebuah skrip atau karya dihasilkan. "Tolong buat filem yang menjadikan orang boleh berfikir dan membezakan antara baik dan jahat, mulia dan hina, halal dan haram serta perlu ada karektor yang mana pandai dan yang mana bodoh, selain kita tunjukkan dalam karya yang mana pahala dan yang itu pula dosa". 

"Kalau semua penggiat seni meletakkan lima perkara ini dalam naskhah mereka, inilah yang dikatakan seluruh produksi drama atau filem termasuk pelakon itu mendapat pahala dalam karya masing-masing, walaupun sudah meninggal dunia. Pahalanya masih berjalan selagi drama atau filem itu dimainkan", katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya bertajuk Islam dan Filem : Keperilakuan Halal Haram Dalam Filem, anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) di Dataran Karyawan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Studio Merdeka, di sini baru-baru ini.



Jangan Pandang remeh hukum agama.

Menganggap murtad boleh berlaku dalam pelbagai cara, ada sesetengah penggiat seni termasuk pelakon, memandang mudah soal berkenaan sehingga lupa kesan buruk yang bakal mereka hadapi pada hari akhirat kelak. Beliau berkata, ada pengarah seakan mempersendakan bab cerai, rujuk, kahwin, mati dan amalan bersentuhan dengan bukan muhrim bagi menggambarkan penceritaan yang ingin disampaikan.

"Banyak karya yang saya tengok, orang beragama islam berlakon menjadi orang bukan islam. Mereka tidak tahu kesannya cukup besar, bukan sekadar terhadap filem, sebaliknya kesan kepada akidah kita. Kamu orang islam, kenapa berpakaian orang bukan islam seperti Tok Sami?. Murtad itu boleh berlaku dengan pelbagai cara termasuk perkataan, perbuatan dan niat dalam hati. " Walaupun filem hanya rekaan atau cereka, sebenarnya ia hidup di sisi Tuhan. Meskipun babak bagi menggambarkan hubungan antara ibu dengan anak yang dilakonkan oleh pelakon bukan muhrim seperti menyentuh atau mencium si ibu, ia adalah realiti di sisi Allah S.W.T."

"Buatlah filem yang tidak perlu memegang dan mencium insan lain. Dalam soal rujuk dan nikah pula, sebagai contoh, bapa dan anak berlakon dalam satu babak yang mana ada seorang lelaki datang melamar anakanya dan si bapa bersetuju dengan hanya menyebut 'aku nikahkan kamu dengan anak aku'. Walaupun tanpa kadi, nikah itu sah sebab bapa atau datuk ialah wali", katanya. 


Tolak naskhah rosak akidah.

Kazim berkata, pelakon perlu meneliti sesebuah skrip terlebih dulu sebelum menerima sebarang tawaran kerana skrip yang merosakkan akidah boleh menjerumuskan pelakon terbabit kepada penentang peraturan agama. "Sebagai contoh, kalau didapati skripnya boleh merosakkan akidah, kamu boleh menarik diri. Bagi pelakon lelaki menjadi wanita dan sebaliknya, maka ketawa itu adalah dilarang. Menyerupai lelaki mahupun wanita adalah haram, dilaknat walaupun sekadar berlakon. 

"Islam sangat luas dan hebat, tak payah buka-bukaan atau sentuh-sentuhan, tetap boleh menang Festival Filem Cannes. Kadang-kadang, pengarah muda dan pelakon baharu tidak mahu belajar daripada orang lama mengenai makna sebenar seni. Dulu pelakon susah nak dapatkan watak, tetapi sekarang, apabila dapat sesuatu tawaran, semua benda ambil mudah", katanya.



Hebat tak bermakna perlu dedah aurat.

Meletakkan seni sebagai anugerah dikurniakan Allah kepada setiap penggiatnya, Kazim mengingatkan golongan terbabit termasuk penyanyi, agar tidak mengetepikan agama dalam kerjaya mereka. "Kalau semua penggiat seni memikirkan Islam itu sangat luas, mereka dapat melahirkan satu idea atau karya yang sangat hebat tanpa perlu mendedahkan aurat, pegang-pegangan, cium-ciuman dan tidur bersama. Kalau ini yang mereka lakukan, filem atau drama yang dihasilkan tiada masalah kerana setiap apa yang kita buat ini akan disoal kelak.

"Saya sangat teruja apabila melihat ramai artis kita sudah berubah. Saya juga seronok tengok pengarah filem menghasilkan karya berkualiti. Sebagai penceramah, saya mengambil isi filem sebagai sebahagian isi ceramah kerana semua orang tengok filem dan drama. Contohnya, filem arahan (Tan Sri) P.Ramlee, kata-kata yang dilafazkan pelakon dulu sampai dalam hati saya. Tetapi, filem sekarang tidak ada kata-kata yang saya dapat ambil sebab kadang-kadang ia tidak dekat dengan masyarakat dan hati manusia," katanya.


Minat terhadap bahan agama makin meluas. 

Memperbetulkan tanggapan serong sesetengah penggiat filem dan drama yang menganggap karya bercorak keagamaan tidak mempunyai pengikut, Kazim berkata, karya Islamik mempunyai prospek yang sangat tinggi. "Jangan ingat buat filem atau drama agama tidak mampu menarik penonton. Ia tanggapan yang silap. Sebagai contoh, Hafiz Hamidun hanya menghasilkan album Zikir Terapi dan terjual beratus ribu unit. Jangan cakap prospek agama sikit, sebab sekarang orang minat agama dan kenapa kita tidak sambut minat itu. 

"Mulai sekarang, bersenilah dan buat filem secara islam kerana jumlah penontonnya sangat tinggi. Insya-Allah, apabila kerja kita untuk agama, Allah akan memberikan rezeki dan kehebatan kepada kita. Buatlah filem terbaik yang mengajak orang ramai untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T," katanya.

Artikel ini diterbitkan Berita Harian pada 9 Mei 2014 secara bercetak, di mana tulisannya oleh Muhammad Fairoz Azizan (muhammadfairoz@bh.com.my)

*gambar dalam artikel ini adalah ilustrasi artikel. Tiada kena-mengena dengan artikel yang ditulis. Ia sekadar contoh. Harap maklum*

Catat Ulasan

0 Ulasan