MENYELAMI PEMIKIRAN MAMAT KHALID


DARI ARKIB: YANG TERSURAT DAN TERSIRAT DALAM FILEM-FILEM MAMAT KHALID
 
Nota Amy Ikram di blognya: Persatuan Pengguna-Pengguna Penyapu Lidi Wilayah Persekutuan, dengan sokongan Kelab Kelab Peminat Hassan Muthalib dan Hassan Muthalib Sendiri, dengan sukacitanya membawakan YANG TERSURAT DAN TERSIRAT DI DALAM FILEM-FILEM MAMAT KHALID tulisan Hassan Muthalib

Kalau aku bikin filem cerdik, aku perlukan audiens yang sama cerdik. - U-Wei Hajisaari 
Parodi adalah genre filem yang menjadi pilihan Mamat Khalid untuk berkarya. Parodi adalah pendekatan yang lucu dalam membuat kritikan terhadap sesuatu yang telah benar-benar berlaku atau pun yang berkait dengan seseorang atau sesuatu kumpulan. Maka semestinya ia memerlukan audiens yang sudah mengetahui apa yang berlaku atau pun kepada siapa ianya berlaku. Oleh yang demikian, karya-karya Mamat boleh dianggap sebagai sangat jujur kerana ia mengajak audiens untuk turut terlibat dalam penceritaannya.
Antara elemen-elemen yang sentiasa menjadi rujukan Mamat ialah sejarah, samada yang berkaitan dengan masyarakat, bangsa dan negara, mahu pun dengan filem. Jika menggunakan a historical approach ke atas filem-filem Mamat untuk tujuan melihat pemikirannya, maka akan ditemui nuances of meaning yang menjadi renungannya tentang sesuatu perkara. Dan subjek Mamat tidak lain dan tidak bukan, hanya tentang industri hiburan tanah air yang diceburinya. Maka dengan itu, filem-filem Mamat boleh dilihat sebagai satu autobiografi, sama seperti apa yang pernah dibuat oleh Datuk Syed Alwi, Mansor Puteh, Anuar Nor Arai dan U-Wei Haji Saari melalui beberapa karya mereka.
Mamat memilih genre parodi untuk membuat kritikan-kritikannya agar tidak menyakiti hati sesiapa. Hanya mereka yang jauhari akan mengetahui siapa dan apakah peristiwa-peristiwa yang menjadi sindiran tajam Mamat. Genre parodi mula diterokai dalam industri filem tempatan oleh P Ramlee melalui siri filem Labu dan Labi sekitar tahun 1960-an. P Ramlee juga menggunakan satira untuk menyampaikan sindirannya seperti dalam Musang Berjanggut dan Tiga Abdul.

Di milennia baru, muncul beberapa pengarah yang menggunakan satira dan parodi untuk menyampaikan kritikan mereka. Satira digunakan oleh Hishamuddin Rais dalam filem Dari Jemapoh ke Manchestee (2001); Amir Muhammad dan Naeim Ghalili dalam Susuk (2007), dan Chris Chong melalui Karaoke (2009). Genre parodi menjadi pilihan Ng Tian Hann dengan First Take, Final Cut (2004), Yeo Joon Han dengan $ell out!, James Lee dengan filem-filemnya, Sini Ada Hantu (2010) dan Tolong! Awek Aku Pontianak! (2011); Petaling Street Warriors (2012), dan Namewee dengan Nasi Lemak 2.0 (2011) dan Hantu Gangster (2012).
Genre parodi menjadi pilihan Mamat Khalid untuk kesemua filemnya. Berbeza dengan pengarah-pengarah lain, Mamat membawa gaya yang tersendiri, yang merujuk kepada sejarah, milieu dan alam Melayu. Mulai dari filem pertamanya, Lang Buana (2003) sehingga ke Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2012), watak-watak, milieu dan subjek Mamat merujuk kepada beberapa peristiwa dalam sejarah bangsa. Penelitian Mamat dapat dilihat di semua aspek produksinya, iaitu, dari pemilihan pelakon, kostum, set, kata bual dan musik. Dengan itu, karya-karya Mamat mampu dijadikan kajian tentang sesuatu zaman dalam sejarah negara oleh sejarawan, dan ahli antropologi dan sosiologi.
Sudah pasti, sebahagian besar filem-filemnya yang akan dianggap klasik satu hari kelak untuk melihat peralihan zaman, terutamanya dalam bidang hiburan. Mamat juga menyarankan supaya mengenali bakat-bakat baru yang mungkin mendahului zaman. Dalam Man Laksa, tiga penyanyi muda kampong (M Nasir, Ramli Sarip dan Loloq sewaktu kecil), mewakili generasi baru yang ingin membawa perubahan tetapi bakat mereka tidak diiktiraf kerana mereka menentang arus. Itulah nasib karyawan generasi baru. Yang dicari khalayak adalah lagu-lagu ala Hindustan (seperti yang dinyanyikan oleh Dato’ M Daud Kilau), berwatakkan fantasi, yang diturunkan dari langit dengan iringan kesan khas. 

Pengkarya-pengkarya di Malaysia sedar bahawa perjuangan mereka penuh dengan kesepian dan kesunyian tetapi apakan daya bangsa, negara dan tamadun Melayu akan rugi sekiranya naskah-naskah filem mereka sukar diterima oleh bangsa sendiri. Mungkin tidak ada anugerah atau pengiktirafan yang menunggu Mamat Khalid dan rakan seperjuangannya, tetapi jelas, kembara mereka tetap disaksi dan diabadikan oleh sejarah. Karya-karya Mamat tetap menghiburkan walaupun mempunyai pelbagai subteks yang berlapisan yang perlu dirungkai untuk memahami maksudnya.
Filem Lang Buana sudah mula menampakkan naratif dan stylistics (gaya pengarahan) yang menjadi trademark tersendiri Mamat. Milieu Lang Buana ialah zaman feudal di Perak. Tiga sahabat, yang sebenarnya hamba-hamba Orang Kaya, akhirnya menjadi wira yang tak dijangka (unlikely heroes). Dan di akhir cerita, Mamat menampakkan betapa mulia, bijak dan sopan tuanku sultan dibanding Residen British yang sombong dan licik, yang menggunakan Orang Kaya untuk tujuan memperdayakan orang-orang Melayu. Seperti kesemua filem-filemnya, subteks Mamat membawa kiasan tentang industri filem tempatan dan masalah-masalah yang melandanya. Tiga sahabat tadi perlu dilihat sebagai pembikin-pembikin filem yang jujur, manakala Orang Kaya dan Residen adalah para penerbit dan ahli korporat yang menghisap darah karyawan. Mereka hanya melihat produksi filem dari sudut bisnes sahaja atau pun menggunakan kaedah Ali Baba untuk terus bertapak dalam industri.
Dari filem terawal ini, Mamat juga menghadirkan bangsa-bangsa lain di Malaysia di dalam penceritaannya kerana menganggap, itulah realiti di tanahair yang tidak dapat dinafikan. Apakah petanda-petanda yang berulang dalam filem-filem Mamat Khalid yang menjadi petunjuk bahawa subjeknya ialah industri perfileman tempatan? Bukan hanya jauhari yang boleh mengenal manikam. Anda juga boleh tetapi perlu ada ilmu firasat (semiotik Melayu yang sudah lama berada dalam kosmologi Melayu dan digunakan sepenuhnya oleh P Ramlee dalam filem dan lagu-lagunya). Ilmu ini perlu disokong pula dengan ilmu tajalli, bukan hanya ilmu mantik.

Dalam Lang Buana, kampong yang didatangi tiga sahabat, Gunung, Daik dan Cabang, ialah metafora untuk pentas industri filem yang diceburi pelbagai bangsa dan jenis manusia. Terdapat yang miskin (tetapi meminati filem), yang kaya (hanya mengaut keuntungan), dan yang angkuh (yang menjadi taukeh kapitalis). Yang berloghat Jawa pun ada! (merujuk kepada mereka yang terlalu berpegang kepada adat dan cara lama). Satu perkara yang menarik adalah pemilihan dua pelakon, Hasnul Rahmat dan Bront Palarae, graduan Akademi Filem Malaysia yang mewakili karyawan generasi baharu. Di akhir cerita, watak yang dimainkan Hasnul, yang berkerja dengan Orang Kaya dan tidak menerima bayaran setimpal, tidak lagi mahu bersekongkol dengannya kerana mereka ini sudah menjadi pengkhianat bangsa.
Era rock dalam filem Rock (2005) adalah milieu industri perfileman di mana terdapat antara mereka yang terlibat yang tidak ada pemikiran baru, yang hanya mengejar glamor. Begitu juga dengan para promoter dan penerbit musik semasa itu yang sebenarnya tidak mengetahui apa-apa tentang musik rock. Lebih lucu lagi, para juri di peringkat awal dalam pertandingan musik rock juga terdiri dari manusia yang pelik-pelik. Salah seorangnya (dimainkan oleh Hamid Gurkha), mengatakan, ia sebenarnya diundang untuk pertandingan masak memasak tetapi diminta menjadi juri pertandingan musik rock! Ini adalah kritikan terhadap mereka yang salah memilih ahli panel juri untuk festival-festival filem di Malaysia. 
Filem Rock berkisar pada era rock di tahun 1980-an. Ramai remaja tergila-gila dengan gaya dan musik barat di zaman itu. Mamat juga tidak terlepas dari pengaruh itu. Sebagai seorang muda di waktu itu, dia juga menjadi sebahagian daripada sejarah rock di tanahair, namun tidak dikenali secara umum. Selepas dua puluh tahun, Mamat menjadi self-reflexive tentang era rock dan penglibatannya. Besar kemungkinan, dia tertawakan dirinya sendiri (dan rakan-rakannya) kerana terpengaruh dengan satu gaya yang begitu terasing dengan adat dan budaya bangsanya. Namun, semuanya itu sudah menjadi sejarah, dan kini menjadi inspirasi untuk Mamat berkarya. Filem Rock adalah antara filem tempatan yang wajar dianggap sebagai sebuah filem klasik dalam sinema Malaysia.
 Sinema Malaysia sudah berusia 80 tahun tetapi penggiat dalam seni hiburan masih belum mempunyai bangunan sendiri.
Mamat juga membuat komen tentang nasib seniman tempatan yang bertaruh nasib pada mereka yang menguasai tempat hiburan. Beberapa rocker berdiri merenung bangunan tersergam indah di mana mereka akan beraksi dalam pertandingan. Tetapi tempat itu adalah milik orang bukan sebangsa mereka. Remaja Melayu yang menjadi penonton tidak sedar tentang ini. Mamat menunjukkan mereka berlari dengan ghairah masuk melalui pintu dewan. Yang mereka inginkan ialah hiburan dan keseronokan.  

Rockers yang sentiasa dirundung malang. Pentas yang gelap; interior van yang gelap dan pulang dalam kegelapan. Bahasa filem yang mantap.


Melalui seni suntingan dan sinematografi, Mamat menampakkan betapa gelapnya masa depan kumpulan rock tanahair. Pentas dan audiens berada dalam kegelapan. Aksi rocker di pertandingan pula tidak ditunjukkan. Seterusnya mereka berada di dalam van untuk pulang. Hanya sebahagian muka mereka kelihatan dalam kegelapan. Dan di akhir cerita, rupa rocker-rocker ini berubah menjadi seperti ‘manusia biasa’ dan bermain music ’biasa’ di majlis perkahwinan salah seorang ahli mereka. Ternyata, musik rock tidak membawa mereka ke mana-mana pun.
Pendekatan parodi Mamat tentang kumpulan rock dibawa ke dalam filemnya, Zombi Kampung Pisang (2008). Empat ahli kumpulan rock tersesat di Kampung Pisang dan berhadapan dengan manusia zombi. Jika dilihat dari kostum dan solekan, tiada perbezaan di antara rocker dan zombi! (Malah, rupa kumpulan rock, Malaikat Maut, dalam filem Rock sudah awal-awal lagi menyerupai zombi.) Mungkin persoalan Mamat ialah: Orang Melayu mempunyai adab dan budaya yang begitu tinggi. Mengapa harus ikut budaya asing sehingga wajah pun tidak lagi semacam manusia?
Motif-motif yang berulang. Betapa audiens hari ini hanya menyukai hiburan kosong (dalam Man Laksa). Dalam Zombi Kilang Biskut, para pelajar di sebuah universiti juga tidak boleh diharap kerana diajari ilmu songsang mengenai filem (foto kiri). Maka universiti itu tidak ubah seperti sebuah kilang biskut. (Kanan) Para pensyarah juga sama-sama teresat.


Filem Man Laksa (2006) adalah parodi tentang industri musik dan filem tempatan. Dalam pada itu, Mamat menampakkan kegemilangan beberapa penyanyi 1970 dan 80-an seperti M Daud Kilau (yang mewakili budaya popular), dan Saloma dan Ahmad Jais, yang jelas dikagumi Mamat. Lirik lagu Ahmad Jais seakan pantun dan sangat Melayu, manakala lirik lagu Saloma penuh makna, yang ada kaitan dengan isu dibawa dalam Man Laksa

Kasih yang dulu kini berganti. Kasih yang baru simpan di hati. 
 
Kata-kata ini amat signifikan, ia itu, gaya lama (filem hiburan semata-mata) mesti ditinggalkan; gaya yang baru (filem alternatif) mesti diterima dengan hati yang terbuka. M Nasir, Ramli Sarip dan Loloq sewaktu kecil, mewakili generasi baru yang ingin membawa perubahan tetapi tidak diiktiraf. Inilah dilema yang dihadapi karyawan filem generasi baharu. Inilah dilema yang dihadapi karyawan filem generasi baharu. Di akhir cerita, melalui adegan pengadilan Pertandingan Ratu Kebaya, Mamat menyindir festival-festival filem di Malaysia di mana ada ahli panel juri yang mempunyai kepentingan peribadi sehingga membuat keputusan yang menguntungkan kroni dan bukan bakat-bakat yang sedang meningkat.
Kala Malam Bulan Mengambang (2008) juga merupakan parodi tentang industri filem. Mamat merujuk kepada genre film noir dan elemen gothic dalam filem-filem Hollywood serta sejarah awal sinema Malaysia dengan menggunakan medium hitam putih. Gaya dan teknik persembahan seakan seperti tahun 1950-an yang tidak lagi sesuai masakini. Penggunaan hitam putih dalami filem adalah petanda tentang sesuatu keburukan atau tragedi. Di sini, ia menjadi petunjuk tentang industri perfileman masakini yang sedang berundur ke belakang dengan pengisian yang lemah serta ghairah dengan cerita-cerita tahyol picisan.
Lambang keris dan bulan adalah petunjuk kepada mereka yang mempunyai kuasa politik untuk mengubah keadaan tetapi tidak mampu membawa perubahan yang sewajarnya. Watak Kuswadinata mewakili seorang veteran dalm industri yang diutuskan untuk membantu sinema Malaysia. Sebaliknya, dia membawa idea-ide yang lapok (dilihat pada kostum Kuswadinata, yang biasanya terlihat dalam pementasan sandiwara). Lihat bagaimana Kuswadinata memandang pada kamera dan menunjukkkan jari hantunya yang disarung cincin besar dan mahal. Ini petanda bahawa ia hanya telah mengkayakan diri sendiri dan tidak mempedulikan industri. Adegan ini mungkin mencipta sejarah di dalam sinema Malaysia di mana isyarat lucah (up yours), tidak dipotong oleh penapis!
Filem Estet juga mengenai industri perfileman tempatan. Watak-wataknya mewakili para penglibat dalam idustri. Potret penulis berfungsi sebagai seorang pengkritik filem yang sedang memerhati ketemberangan para penggiat dengan karya mereka.
Filem Estet (2010) adalah parodi tentang milieu dan (kononnya) perpaduan pelbagai kaum di Malaysia yang hanya berlaku pada Hari Kebangsaan. Ini diperlihatkan melalui adegan tari menari pelbagai kaum dengan rentangan kain pelbagai warna di akhir filem. Ini juga satu parodi tentang filem-filem Tamil yang terlalu over dalam lakonan dan dialog, di samping memparodikan industri filem tempatan dan program televisyen yang bertaraf sama. Filem Hantu Kak Limah Balik ke Rumah (2010) menjadi sindiran tentang keghairahan dengan filem-filem hantu yang menjadi kegilaan penerbit dan audiens. Jika bomoh yang menghalau hantu bermaharajalela di dalam filem-filem tempatan, Mamat menjadikan bomoh dalam filem Hantu Kak Limah sendiri memerlukan seorang bomoh untuk memulihkannya!
Isu dan subjek tentang perfileman dibawa lagi melalui Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2012). Filem ini menjadi kesinambungan kritikan Mamat tentang industri filem tempatan yang masih berseronok dengan cerita-cerita fantasi dan tahyol. Warung Munawir dalam Zombi Kampong Pisang adalah representasi gelanggang industri filem, dan zombi-zombi itu adalah penggiatnya. Sesiapa yang masuk dan memakan kuah daging, akan menjadi zombi (maksudnya: berada dalam arena perfileman tetapi tidak mampu melahirkan ide-ide baru dan terus merosakkan otak audiens dengan karya picisan).
Watak-watak dan lokasi mewakili para penggiat seni tempatan dan milieu mereka yang amat menyedihkan.
 
Warung Pak Jabit dalam Jin Pakai Toncit merujuk kepada gelanggang penggiat filem. Pada rupa pengunjung ke warung, dapatlah dilihat wajah penggiat filem yang sudah ketinggalan zaman. Pak Abu adalah representasi pengarah-pengarah lama yang merapu, yang mengulangi cerita-cerita lapok tetapi terus diminati pengunjung ke warung yang asyik dengan cerita-ceritanya. Mon adalah representasi filem Melayu yang tulen tetapi yang telah ‘dirosakkan’ oleh filem-filem yang memaparkan cerita hantu, toyol dan pontianak picisan yang hanya begantung kepada teknik suntingan dan kesan bunyi. Husin tetap menyintai Mon sehingga rela menelan mee ‘berkerang’. Husin yang menyintai Mon sebenarnya mewakili Mamat Khalid yang menyintainya sinema Melayu. Adegan santapan di sungai digambarkan seakan sebuah set di dalam filem dan dilakukan dengan penuh ketelitian untuk visualkan perasaan Husin terhadap Mon. 
  
Siapakah manusia ini yang diberi jawatan, gelaran, kekayaan dan kuasa tetapi tidak melakukan apa yang sepatuttnya dilakukan untuk industri?

Niat Mamat untuk menyelamatkan sinema Malaysia juga dapat dilihat dalam Kala Malam. Puteh (Umie Aida) adalah representasi filem Melayu yang tulen, yang kini sudah bertukar menjadi hantu, pontianak, dan toyol. Watak Saleh (yang mewakili Mamat Khalid) menyiasat tentang sebab-sebab Puteh menjadi hantu dan bertindak mengurungnya untuk sewaktu. Watak yang dimainkan Kuswadinata muncul semula di dalam Jin Pakai Toncit melalui watak Dr Shamsuddin (dimainkan oleh Rashidi Ishak). Mamat memparodikan seorang veteran dalam industri yang telah disebutkan sebelum ini, yang dipertanggungjawabkan untuk membantu mengangkat martabat industri tetapi tidak berbuat apa-apa. Di awal filem, Husin tiba dari Singapura dan di akhir cerita, dia kembali semula ke Singapura. Keadaan sinema Malaysia tetap tidak berubah. 
Filem-filem tahyol masih menghantui sinema Malaysia. Bilakah masa ia akan dikuburkan?

Bagi Mamat Khalid, sinema Malaysia sukar diselamatkan. Visual istana (ia itu, martabat filem Melayu) diperlihatkan dari jauh (maksudnya, terasing). Namun, ia setia menunggu cahaya harapan di hujung terowong. Filem Jin Pakai Toncit berakhir dalam suasana suram. Saki baki hantu di Kampong Pisang masih belum dihalau sepenuhnya walau pun Dr Shamsuddin sudah tiada. Hantu-hantu ini terapung di udara, menunggu peluang untuk terus melakukan kerosakkan. Filem-filem tahyol yang picisan masih ‘berkeliaran’ di pawagam dan masih diminati audiens tempatan.
Persoalan dari Mamat ialah: Apakah kesudahannya? Apakah sinema Malaysia dapat diselamatkan?
Karya yang baik kebanyakannya datang dari pengalaman hidup seseorang pengkarya. Sejarah penglibatan Mamat dalam era rock menjadi rujukan baginya untuk dialih ke medium filem. Walaupun Mamat tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang filem, namun dia tetap berkarya dengan bersandarkan ilmu filem. Pendekatan yang digunakannya datang dari penelitiannya terhadap B Movies di Hollywood dan genre film noir serta juga musik Barat. Ini membuatkan kemahiran berparodi Mamat diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kala Malam Bulan Mengambang dan Zombi Kampung Pisang dipilih menyertai festival filem Udine di Itali dan beberapa festival yang lain di seluruh dunia.
Hantu Kak Limah memperolehi kutipan box-office yang luar biasa. Mamat Khalid sudah pun diiktiraf di negara sendiri sebagai seorang penghibur. Tetapi yang lebih penting, beliau perlu dilihat sebagai perakam sejarah bangsa dan negara yang akan menjadi rujukan satu hari nanti. Mamat Khalid adalah seorang nasionalis tetapi bukan termasuk dalam golongan yang mengetuk gendang, mengibar bendera dan berdeklamasi puisi untuk menunjukkan nasionalisme mereka.

Merenung nasib sinema Melayu - dan audiensnya yang semakin tidak matang.....

Mamat juga bukan seorang sejarawan. Dia hanya seorang penglipur lara yang menyintai filem, sejarah, bangsa, budaya dan negaranya. Sekaligus beliau juga akan menjadi sebahagian daripada sejarah yang ditafsirkannya.

oleh: Hassan Abdul Muthalib, Pegkritik Filem. 
  2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. 

Catat Ulasan

0 Ulasan