AIM25 BAKAL GEGARKAN SARAWAK

Buat julung kalinya dibawa ke bumi Kenyalang, Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bukan sekadar menjanjikan malam penuh pengiktirafan, malah bakal menghimpunkan deretan nama besar industri muzik tanah air dalam satu pentas gilang-gemilang!

Sempena sambutan Jubli Perak, malam kemuncak AIM25 yang bakal berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September ini, dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan tahun ini.

Lebih mengujakan, malam berprestij itu akan dikendalikan oleh gandingan pasangan selebriti popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya, bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur.

Dengan gabungan pengacara popular, persembahan artis ternama dan kemunculan pelbagai personaliti industri hiburan, AIM25 tahun ini jelas tampil dengan skala lebih besar dan istimewa, apatah lagi ia menjadi edisi ke-25 sejak penganjurannya diperkenalkan.

Siti Nurhaliza, HUJAN & Hafiz Suip antara nama besar bakal menghiburkan

Pentas utama AIM25 bakal menjadi medan pertemuan barisan artis daripada pelbagai genre dan generasi.

Antara yang bakal membuat persembahan ialah Biduanita Negara Dato' Sri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi bersama anak sulungnya, Anggrek, Akim Ahmad, Alena Murang, Amir Masdi, Azlan Typewriter, Bunga, Estranged, Fajar Noor, Firdhaus, Hael Husaini, Hafiz Suip, HUJAN, Luqman Podolski, Marsha Milan dan Mimifly.

Bukan itu sahaja, kehadiran penyanyi Indonesia, Fajar Noor, turut memberi warna tersendiri kepada malam AIM25, sekali gus membawa sentuhan serantau ke pentas anugerah muzik paling berprestij di Malaysia itu.

Peminat juga pastinya tidak sabar menantikan kemunculan beberapa nama besar seperti Siti Nurhaliza, Hafiz Suip, Hael Husaini dan HUJAN, selain persembahan daripada barisan artis yang masing-masing memiliki kekuatan serta identiti muzik tersendiri.

Adira dan Anggrek tarik perhatian

Antara penampilan yang dijangka mencuri perhatian pastinya persembahan Adira Suhaimi bersama anak sulungnya, Anggrek.

Kemunculan mereka di pentas AIM25 dijangka menjadi antara momen istimewa yang bakal dinantikan peminat, selain membuktikan pentas berprestij itu bukan hanya menghimpunkan nama-nama besar, malah turut memberi ruang kepada bakat daripada generasi berbeza.

Dalam masa sama, empat finalis kategori Artis Baharu Terbaik, iaitu Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim, turut bakal diberi peluang mempersembahkan bakat masing-masing di hadapan khalayak.

Peluang itu pastinya cukup bermakna buat mereka kerana dapat beraksi di pentas yang pernah menjadi saksi kepada perjalanan pelbagai nama besar industri muzik negara.



Awal dan Scha kembali bergandingan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, berkata pemilihan barisan pengacara, penyampai anugerah serta artis yang bakal membuat persembahan dilakukan secara bersama dengan TVS selaku rakan penyiar dan penganjur bersama AIM25.

Menurutnya, pemilihan Awal dan Scha sebagai pengacara juga diyakini mampu memberikan keserasian terbaik pada malam berprestij itu.

“Untuk pemilihan hos, penyampai anugerah dan juga artis yang membuat persembahan, semuanya dipilih bersama dengan pihak TVS.

“Kami percaya gandingan Scha Alyahya dan Awal Ashaari akan memberikan gandingan terbaik,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media AIM25 di Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Turut bakal memeriahkan acara ialah barisan penyampai anugerah yang terdiri daripada artis dan personaliti terkenal seperti Amir Jahari, Wany Hasrita, Nisa Kasnon, Anggrek, Azeva, Fattah Boli, Salam, Aina Abdul, Kaka Azraff, Yonnyboii, Melissa Francis, Luqman, Iman Troye, HUJAN, Noraniza Idris, Lah Ahmad, Hazama, Dr Soo Wincci, Rabbit Mac, Handy Gui, Stacy dan Mila Jirin.

Kehadiran mereka pastinya menjadikan perjalanan sepanjang malam AIM25 lebih meriah dan tidak hanya tertumpu kepada pengumuman pemenang semata-mata.

RM1 juta untuk bawa AIM ke Sarawak

Penganjuran AIM25 di Sarawak juga mendapat sokongan padu daripada kerajaan dan pelbagai rakan strategik.

Bagi menjayakan penganjuran edisi bersejarah itu, AIM25 menerima Geran Acara Pelancongan berjumlah RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Selain itu, RM950,000 turut diperuntukkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang akan disalurkan kepada 16 pemenang AIM25 melalui MyCreative Ventures (MyCV).

Antara penaja rasmi yang turut menjayakan AIM25 ialah AirAsia selaku syarikat penerbangan rasmi, Orkid sebagai air minuman rasmi dan BCCK sebagai lokasi rasmi.

AIM25 juga mendapat sokongan daripada beberapa rakan strategik termasuk AirBorneo, Kuala Cola, Maxim, Grand Margherita Hotel, Riverside Majestic Hotel, Riverside Majestic Astana Wing dan Sheraton Kuching.

Bagi memastikan sambutan AIM25 sampai kepada lebih ramai peminat, ERA, HITZ, MY FM dan RAAGA di bawah Astro Radio, selain CATS FM, turut menjadi Rakan Radio Rasmi.

Bersedia untuk malam paling besar AIM25?

Malam kemuncak AIM25 bakal berlangsung pada Sabtu, 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, bermula jam 9 malam.

Sebelum itu, tumpuan bakal diberikan kepada segmen karpet merah yang bermula seawal jam 8 malam, dengan kehadiran pelbagai artis, selebriti dan penggiat industri muzik tanah air.

Lebih menarik, peminat yang tidak dapat hadir ke Kuching masih berpeluang mengikuti malam bersejarah itu menerusi siaran langsung TVS Saluran 122 dan TVS Inspire.

Dengan nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza, Hafiz Suip, Hael Husaini, HUJAN dan ramai lagi, selain sambutan Jubli Perak yang cukup signifikan, AIM25 kali ini bukan sekadar sebuah malam anugerah.

Ia adalah sebuah perayaan besar untuk muzik Malaysia dan kali ini, pesta itu berlangsung di bumi Kenyalang! 

Jumpa anda di sana!. 

Catat Ulasan

0 Ulasan