HIJJAZ RAI 3 DEKAD PERJALANAN SENI DI ISTANA BUDAYA

Kumpulan nasyid popular tanah air, Hijjaz, bakal meraikan tiga dekad perjalanan seni mereka menerusi Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah yang dijadual berlangsung pada 16 dan 17 Oktober ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Inteam Records, konsert berkenaan menjadi wadah untuk menghargai perjalanan seni, karya dan perjuangan Hijjaz yang sekian lama mewarnai industri nasyid tempatan menerusi lagu-lagu berteraskan dakwah serta nilai kerohanian.

Penganjuran itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Istana Budaya serta Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Menurut Pengarah Program, Hazamin Inteam, pemilihan Istana Budaya sebagai lokasi persembahan memberikan makna tersendiri dalam meraikan pencapaian Hijjaz sepanjang 30 tahun berkarya.

Beliau berkata, kemudahan serta kepakaran teknikal yang tersedia di institusi seni negara itu membolehkan perjalanan Hijjaz diraikan menerusi sebuah produksi yang lebih besar dan bermutu.

“Kami sangat menghargai kesudian pihak Istana Budaya untuk bersama-sama menjayakan Rindu Sumayyah. Istana Budaya bukan sekadar sebuah lokasi persembahan, tetapi sebuah institusi seni negara dengan prasarana, kepakaran teknikal dan fasiliti persembahan yang berprestij serta bertaraf antarabangsa.

“Bagi kami, membawa perjalanan tiga dekad Hijjaz ke pentas Istana Budaya adalah sesuatu yang cukup bermakna,” katanya.

Konsert berkenaan turut menampilkan Orkestra Simfoni Kebangsaan yang akan mengiringi Hijjaz bersama barisan pemuzik dan band, sekali gus memberikan pendekatan muzik berbeza kepada karya-karya yang sinonim dengan kumpulan itu.

Hazamin berkata, pihaknya mahu penonton bukan sahaja menikmati lagu-lagu popular Hijjaz, malah menghayati mesej dan emosi yang terkandung dalam setiap karya.

“Kita mahu penonton bukan sekadar mendengar semula lagu-lagu Hijjaz yang mereka kenali, tetapi merasai kembali perjalanan, mesej dan emosi di sebalik karya-karya tersebut dalam sebuah pengalaman persembahan yang lebih besar,” katanya.

Konsert Rindu Sumayyah menghimpunkan Orkestra Simfoni Kebangsaan dan barisan artis nasyid, dengan hanya lima peratus tiket dilaporkan masih berbaki.

WARISAN HIJJAZ MERENTASI GENERASI

Sepanjang tiga dekad berkarya, Hijjaz terus membawa mesej kerohanian, pendidikan dan nilai positif menerusi muzik nasyid, meskipun industri muzik mengalami pelbagai perubahan dari segi teknologi dan cita rasa pendengar.

Lagu Sumayyah yang menjadi inspirasi kepada nama konsert itu turut membawa mesej perjuangan serta keteguhan iman yang terus dekat dengan pendengar merentasi generasi.

Selain sumbangan menerusi karya muzik, Hijjaz turut memainkan peranan dalam membimbing dan membuka ruang kepada kemunculan generasi baharu penggiat nasyid.

Menurut Hazamin, Rindu Sumayyah bukan sekadar persembahan untuk mengimbau kenangan, sebaliknya turut menghargai sumbangan Hijjaz dalam membentuk kesinambungan industri berkenaan.

“Rindu Sumayyah bukan semata-mata sebuah konsert nostalgia. Ia adalah penghargaan kepada perjalanan, karya, persahabatan, perjuangan dan legasi Hijjaz selama tiga dekad.

“Antara legasi terbesar Hijjaz ialah mereka bukan sekadar menghasilkan karya, tetapi turut membuka jalan dan membimbing generasi selepas mereka. Sebahagian daripada generasi itu juga akan berada bersama-sama di atas pentas Rindu Sumayyah,” katanya.

Sehubungan itu, konsert berkenaan bakal menampilkan Inteam, UNIC, Mestica dan Aeman, selain penampilan istimewa anak-anak Hijjaz.

Penglibatan barisan artis berkenaan memperlihatkan hubungan antara generasi dalam meneruskan perjalanan seni nasyid yang telah dibina sejak sekian lama.

TIKET BERBAKI LIMA PERATUS

Menjelang penganjurannya, Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah menerima sambutan menggalakkan apabila hanya sekitar lima peratus tiket dilaporkan masih berbaki bagi dua malam persembahan.

Hazamin menyifatkan sambutan tersebut sebagai petanda positif terhadap penerimaan masyarakat terhadap muzik nasyid dan lagu-lagu Islamik.

“Bagi kami, sambutan ini bukan sekadar mengenai angka jualan tiket. Ia memberikan satu mesej bahawa nasyid dan lagu-lagu Islamik yang berkualiti masih mempunyai tempat yang kuat di hati masyarakat.

“Kami sangat berterima kasih kepada semua peminat yang memberikan kepercayaan dan memilih untuk bersama-sama meraikan perjalanan 30 tahun Hijjaz ini,” katanya.

Peminat yang ingin menyaksikan persembahan itu boleh mendapatkan tiket menerusi MyTicketEmpire.com, tertakluk pada ketersediaan.

SOUQ RINDU SUMAYYAH TAMPILKAN GALERI HIJJAZ

Selain persembahan utama, penganjur turut menyediakan Souq Rindu Sumayyah di ruang lobi Istana Budaya bagi memberikan pengalaman tambahan kepada pengunjung.

Ruang berkenaan akan menampilkan pelbagai aktiviti dan reruai, termasuk Galeri Hijjaz yang menghimpunkan koleksi kenangan, memorabilia serta bahan berkaitan perjalanan seni kumpulan itu sepanjang tiga dekad.

Turut diadakan ialah mini showcase Nasheed GenZ yang berperanan sebagai platform memperkenalkan bakat baharu dalam muzik nasyid. Pengunjung juga berpeluang mengikuti pengisian ringkas bersama Ustaz ZulRamli, Pengerusi Noble.

Hazamin berkata, pengisian berkenaan mencerminkan komitmen penganjur untuk bukan sahaja menghargai perjalanan Hijjaz, malah memberi perhatian kepada masa depan industri nasyid.

“Di dalam panggung, kita meraikan 30 tahun perjalanan Hijjaz. Di ruang Souq pula, kita mahu melihat ke hadapan dan memberi ruang kepada generasi baharu.

“Kalau Hijjaz telah membawa perjuangan ini selama 30 tahun, kita juga perlu memikirkan siapakah yang akan membawanya untuk 30 tahun akan datang. Sebab itu kami melihat Nasheed GenZ sebagai sebahagian daripada semangat Rindu Sumayyah,” jelasnya.

Pemegang tiket turut digalakkan hadir lebih awal bagi menikmati aktiviti di Souq Rindu Sumayyah dan Galeri Hijjaz sebelum konsert bermula.

IKIMHUB TAWARKAN TAYANGAN VOD

Bagi peminat yang tidak berkesempatan hadir ke Istana Budaya, konsert berkenaan turut boleh ditonton menerusi tayangan Video-On-Demand (VOD) di IKIMHub bermula 31 Oktober 2026.

Kemudahan itu membolehkan peminat di seluruh negara menikmati persembahan berkenaan secara dalam talian melalui pembelian tiket VOD.

Hazamin berkata, kerjasama dengan IKIMHub diharap dapat meluaskan capaian konsert tersebut kepada peminat yang tidak dapat hadir secara fizikal.

“Kami faham tidak semua peminat Hijjaz berpeluang berada bersama-sama kita di Istana Budaya. Sebab itu, melalui kerjasama dengan IKIMHub, kita mahu membuka ruang supaya pengalaman Rindu Sumayyah dapat dinikmati oleh khalayak yang lebih luas.

“Insya-Allah, bermula 31 Oktober 2026, mereka boleh mendapatkan tiket VOD dan menonton konsert ini secara dalam talian melalui IKIMHub,” katanya.

SOKONGAN PENJAJA DAN RAKAN SINERGI

Penganjuran konsert itu turut mendapat sokongan Peduli Insan selaku penaja, Santapan Catering bagi tajaan makanan dan Teedo Hotel bagi tajaan penginapan.

IKIMfm, IKIMHub dan TV IKIM bertindak sebagai media rasmi, manakala MyTicketEmpire.com menjadi platform pembelian tiket.

Antara rakan sinergi yang turut menjayakan penganjuran berkenaan ialah Bank Islam, iCaffe, iKoko, Munif Hijjaz, NK Age Reverse, Pondoku, Minaz, Impian Event, KGM Event, LC Creative dan Global One Venture.

Hazamin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan bagi memastikan konsert berkenaan dapat direalisasikan.

“Sebuah konsert seperti ini tidak mungkin dapat direalisasikan oleh satu pihak sahaja. Ia memerlukan kepercayaan dan sinergi daripada begitu ramai pihak.

“Terima kasih kepada semua penaja, media rasmi dan rakan sinergi yang memilih untuk menjadi sebahagian daripada sejarah 30 tahun Hijjaz ini,” ujarnya.

Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah diharapkan menjadi sebuah persembahan yang menghimpunkan peminat untuk meraikan perjalanan seni dan dakwah Hijjaz, di samping mengetengahkan kesinambungan legasi nasyid kepada generasi seterusnya.

Dengan gabungan Hijjaz, Orkestra Simfoni Kebangsaan dan barisan artis jemputan, dua malam di Istana Budaya itu bakal menjadi ruang untuk memperingati karya yang telah mewarnai industri nasyid tanah air sepanjang tiga dekad.

INFO KONSERT

  • ·         Acara: Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah
  •           Tarikh: 16 dan 17 Oktober 2026
  •           Lokasi: Istana Budaya, Kuala Lumpur
  •           Penganjur: Inteam Record
  •          Tiket: MyTicketEmpire.com
  •          Tayangan VOD: IKIMHub, bermula 31 Oktober 2026

Catat Ulasan

0 Ulasan