Festival Filem atau Fashion Show?.


Jumaat lepas ( 28 hb November 2008 ) , selepas Majlis Pelancaran Dinner Night KLIFF 08 di Kompleks Kraftangan, ada teman saya mengirimkan sms pada saya yang berbunyi, 'malam nie pertunjukkan fesyen ker malam festival filem?' Saya cuma tersenyum kerana tema pada malam tue ialah 'Keperbagaian Budaya'.. Ada yang cakap Dinner Night malam tue seumpama pertunjukkan fesyen, apatah lagi melihatkan ramai model perempuan 'catwalk' di atas pentas dengan busana yang cukup seksi dan menggiurkan... apatah lagi di adakan di dalam majlis yang dihadiri tetamu vip seperti menteri. commontlah.. itu pun korang nak persoalkan... ye la kan.. selepas habis rakaman MCP yang saya bertugas pada malam tue sebagai krew MCP, saya tertanya-tanya jugak.. grand jugak event yang diorang buat malam tue... ala-ala fesyen show gitu... tapi perlukah terlalu lama pertunjukkan tue sampai tersasar matlamat asal.. so apa komen korang dalam hal ini?.

Petikal asal artikel ...

Oleh ABD. AZIZ ITAR

MESKIPUN tahun ini merupakan tahun kedua Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) dianjurkan, tetapi ramai yang melihat malam pembukaan dan perasmian festival itu baru-baru ini, tidak semeriah tahun lalu.

Malam perasmian dan pembukaan KLIFF 2008 yang dianjurkan bersama oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan KLIFF Sdn. Bhd. itu seakan-akan tersasar daripada pengisian program asalnya iaitu yang berkisar tentang dunia perfileman.

Ini kerana, lebih separuh daripada pengisian malam pembukaan KLIFF 2008 itu bukan sahaja tidak diisi dengan acara-acara yang berkaitan industri perfileman, tetapi ia seolah-olah sebuah festival ataupun pertunjukkan fesyen pakaian!

Persoalan yang timbul di benak fikiran para hadirin ialah, adakah malam pembukaan KLIFF 2008 itu sebuah festival filem atau pertunjukkan fesyen?

Hampir 10 model lelaki dan wanita yang mengambil bahagian silih bertukar ganti pakaian-pakaian yang berteraskan seni fesyen batik dan juga pakaian-pakaian tradisional kaum Melayu, Cina, India dan pribumi yang lain, telah diperagakan kepada para hadirin.

Pendekatan itu meresahkan para penonton dan wakil-wakil media massa kerana mulai 8 malam majlis bermula sehinggalah tiga per empat acara yang berlangsung selama hampir tiga jam itu, ia lebih banyak diselitkan dengan acara-acara pertunjukan fesyen, nyanyian dan tarian-tarian kebudayaan tempatan.

Sedikit terlencong

Memang benar KLIFF bertemakan ‘Raikan Kepelbagaian Budaya’ tetapi yang hendak diraikan di sini ialah kepelbagaian budaya menerusi filem, dokumentari atau animasi, tetapi bukannya melalui persembahan pertunjukan fesyen semata-mata.

Sepatutnya, pada malam pembukaan itu KLIFF memperkenalkan kalangan peserta dari 45 negara terbabit, karya-karya mereka dan juga fokus kepada calon-calon yang terbabit dalam festival tersebut.

Selepas memfokuskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan industri perfileman semasa barulah ia diselang-selikan dengan acara-acara lain termasuklah pertunjukan fesyen, nyanyian, kebudayaan dan sebagainya.

Majlis pada malam itu hanya benar-benar memperlihatkan pengisiannya seperti sebuah festival filem pada 30 minit sebelum ia berakhir apabila diumumkan pemenang bagi kategori Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik dan Dokumentari Terbaik.

Tidak dinafikan pihak penganjur memilih Kompleks Budaya Kraf di Kuala Lumpur sebagai tempat penganjuran malam perasmian KLIFF 2008 itu dengan harapan bagi mempromosikan barangan kraftangan tempatan terutamanya kepada para delegasi dari luar negara.

Sayangnya, akibat terlalu mahu menjadikan festival itu sebagai ‘serampang pelbagai mata’ telah menyebabkan matlamat serta penganjurannya sedikit terlencong daripada matlamat asalnya.

Semua faham bahawa KLIFF memang dianjurkan bukan setakat mahu mengangkat nama negara sebagai lokasi pembikinan dan kegiatan perfileman hingga ke peringkat antarabangsa, tetapi ia juga bertujuan mempromosikan sektor pelancongan negara.

Namun, janganlah sampai festival yang sepatutnya bermatlamat untuk mempromosikan industri perfileman termasuklah para karyawannya itu seakan-akan bertukar pula menjadi sebuah acara yang berteraskan pertunjukkan fesyen.

Tidak seperti tahun lalu, KLIFF 2007 yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor telah berlangsung dalam suasana yang sederhana, tetapi tetap meriah biarpun tidak ramai para penggiat tempatan yang hadir bagi memberi sokongan.

Pada majlis malam pembukaan KLIFF 2007 pada tahun lalu, acara-acara persembahan tarian kebudayaan yang ditampilkan tidaklah terlalu meleret-leret hingga menenggelamkan acara penganugerahan tiga kategori pertamanya iaitu Filem Pendek, Dokumentari dan Animasi.

Suasana dan tempat pembukaan KLIFF 2008 yang diadakan amphitheatre Kompleks Kraf juga dilihat kurang selesa kerana ia tidak seperti menyaksikan sebuah festival filem.

Sebaliknya, ia lebih persis menonton persembahan-persembahan kebudayaan pelbagai kaum di Panggung Anniversary di Tasik Perdana, Kuala Lumpur, pada era tahun-tahun 1980-an.

Malah, KLIFF 2008 yang dianjurkan oleh penganjur utamanya iaitu Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) itu tidak ketinggalan menampilkan acara-acara nyanyian yang disampaikan oleh barisan penyanyi kurang popular.

Bukan setakat tidak popular di kalangan delegasi luar negara, malah ramai penonton tempatan termasuklah media massa juga tidak mengenali barisan penyanyi yang mengadakan persembahan pada malam itu, kecuali Jaclyn Victor.

Seleksi lagu-lagu yang disampaikan oleh para penyanyi pembuka tirai pada malam itu juga dilihat kurang sesuai kerana ia langsung tidak boleh dikaitkan dengan dunia perfileman.

Kalaulah benar mahu menampilkan persembahan nyanyian, pihak penganjur sepatutnya menjemput penyanyi-penyanyi yang popular dan pilihan lagu-lagu pula elok berdasarkan lagu-lagu yang dipetik daripada filem-filem lama atau baru.

Mengambil iktibar

Jangan dijadikan alasan tidak cukup bajet dan sebagainya kerana difahamkan KPKKW telah memperuntukkan bajet berjumlah RM600,000 kepada pihak penganjur untuk menganjurkan KLIFF pada setiap tahun.

Pihak penganjur seharusnya sudah mengadakan persiapan sejak dari tahun lalu dengan cara mencari sendiri penaja bagi menambah lagi perbelanjaan jika benar mereka tidak mempunyai bajet yang mencukupi untuk menganjurkan festival tersebut.

Mungkin ada logiknya ketidakcukupan bajet penganjuran KLIFF kerana difahamkan juga pihak penganjur antaranya terpaksa menanggung perbelanjaan termasuklah hotel penginapan para delegasi luar negara yang menyertainya.

Apa pun pihak penganjur haruslah mengambil iktibar, teliti dan peka sebelum menganjurkan acara-acara dalam majlis seperti malam pembukaan KLIFF 2008 itu kerana ia mampu memberi impak gambaran awal kemeriahan festival itu sebelum malam kemuncaknya diadakan.

Pada malam pembukaan KLIFF 2008 itu, Menteri KPKKW, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah menyampaikan anugerah kepada pemenang kategori Filem Pendek Terbaik iaitu Saw Tiong Guan dari Malaysia menerusi filem arahannya dengan berjudul G16 G17 yang menggondol wang tunai RM3,000 dan trofi.

Bagi kategori Filem Animasi dimenangi oleh filem Memory Lost arahan Gloria Chia-Chi Kao dari Taiwan dan Dokumentari Terbaik pula menerusi judul Under The Ice arahan Alix Francois Meier dari Kanada di mana masing-masing menerima wang tunai RM3,000 serta trofi.

Sementara itu, kategori-kategori lain yang dipertandingkan pada KLIFF 2008 telah disampaikan pada malam kemuncaknya di Dewan Perdana, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.


Catat Ulasan

0 Ulasan