Filem Pendek: Idea dan Keberanian


**Ada orang bertanya pada saya, apakah yang dimaksudkan dengan Filem Pendek. Di sini saya sertakan artikel terpilih daripada saudara A.Wahab Hamzah berkaitan filem pendek. Jika anda ada pandangan lain mengenai filem pendek, kemukakan pandangan anda di sini okay.. Sebarang pandangan berunsur negatif akan di padam oleh pengarang....**


Filem pendek bukanlah jenis filem yang popular di kalangan penonton filem biasa, kecualilah kepada pelajar filem, pembikin filem dan peminat filem yang serius. Menonton filem pendek juga bukanlah tradisi di kalangan penonton di negara ini.

Filem-filem pendek selalunya ditayangkan di festival, sesi apresiasi khusus atau di sekolah-sekolah filem. Biarpun filem pendek terhad penayangannya, tetapi di kalangan pembikin, pelajar dan pencinta filem, filem pendek mempunyai keistimewaan, kepentingan dan keperluannya yang tersendiri.

Filem pendek selalunya tidak memerlukan dana yang besar untuk menghasilkannya. Sebab itu kewujudannya adalah untuk pembikin yang tidak mempunyai sumber dana yang cukup banyak untuk menghasilkan sebuah filem cereka.

Maka, filem pendek sebenarnya memberikan peluang dan ruang kepada pembikin filem dalam dunia ini yang mampu bercerita atau berkongsi pengalaman kerja kreatif dalam lingkungan masa yang relatif pendek, antara masa 5 ke 10 minit.

Filem pendek menyediakan ruang untuk menemukan dan mempromosikan pembikin filem yang berbakat, kreatif dan visi yang unik. Sebenarnya filem pendek merupakan wadah untuk pembikin filem muda sebelum mereka melangkah ke arena yang lebih besar dan mencabar.

Melalui filem inilah mereka mencuba idea, visi, bentuk dan stail filem mereka. Filem pendek adalah filem anak muda. Keberanian mengemukakan idea merupakan aspek yang penting dalam pembikinan sesebuah filem pendek. Kerana itu filem pendek selalunya dihubungkan dengan karya-karya eksperimental dan selalunya juga bersifat personal.

Pada 18 dan 25 September yang lepas Alumni Akademi Filem Malaysia telah mengadakan festival tayangan filem-filem pendek yang telah mereka hasilkan. Sebanyak lima belas buah filem pendek telah dipilih untuk tayangan daripada sejumlah lebih daripada 20 filem pendek yang mereka hasilkan. Melihat pada filem-filem yang ditayangkan itu di festival tersebut, saya mempunyai keyakinan terhadap mereka.

Mereka mempunyai idea, stail dan yang penting berani bereksperimen. Dengan peruntukan dalam lingkungan kurang daripada RM3,000 mereka berjaya menghasilkan filem-filem pendek yang cukup menarik dengan kreativiti yang mengagumkan. Ini yang memungkinkan mereka menjadi pembikin filem Malaysia masa depan.

Filem-filem ini merangkumi pelbagai persoalan anak muda yang dilihat dari sentuhan anak muda yang kasar, ikhlas, dan personal. Sebagai filem hasilan pelajar maka filem-filem ini juga tidak lepas daripada beberapa kelemahan, yang menonjol seperti ketidakupayaan mengolah naratif dengan baik, memahami subjek dengan meyakinkan dan tidak mampu membuat penamat atau kesimpulan naratif yang berkesan. Namun yang lebih penting filem-filem ini juga memperlihatkan potensi yang besar kepada beberapa anak muda ini sebagai pembikin filem dan pengarah fotografi yang berbakat.

Daripada lima belas filem-filem tersebut terdapat lima buah yang menonjol dari segi idea dan stail pendekatannya. Angel In The Mask yang mengemukakan masalah jurang komunikasi dalam satu keluarga antara dua generasi.

Pembukaan filem ini mungkin memperlihatkan pengaruh filem pendek yang pernah dihasilkan oleh Martin Scorsese iaitu The Big Shave, tetapi kemudian filem ini menyelami persoalan sebenar secara cukup sensitif. Idea yang simple, tetapi diarahkan dengan dengan baik dan dibantu oleh kerja fotografi yang cemerlang.

Filem Memoir To Bonda Ju oleh Sabinas menggunakan pendekatan dokumentari yang merakamkan kerinduan seorang anak kepada ibunya yang sudah tua dan sakit. Watak si ibu dirakamkan dalam bentuk frem untuk memberikan kesan slaid, dan Raja Mukriz sebagi pengarah fotografi telah memberikan mood yang cukup baik melalui kawalan cahaya asli.

Hasilnya sebuah filem yang secara emosionalnya berkesan. Manakala filem Sister Yurika and I oleh Sean memperlihatkan reaksi seorang adik lelaki yang sedang mencari teman wanita tetapi mengetahui kakaknya yang lesbian (mempunyai temanita) selepas enam tahun tinggal di Jepun.

Sean cuba mendekati persoalan sejujur mungkin di sebalik halangan tradisi dan budaya tanpa berprasangka. Hasilnya sebuah filem yang cuba memahami persoalannya dengan pendekatan yang sensitif.

Kopi yang diarahkan oleh Aisyah mengemukakan insiden yang berlaku akibat kesibukan seorang yang ibu hingga terlalai melayan anaknya. Subjeknya biasa, tetapi yang menarik memperlihatkan keupayaan pengarah menggarap subjeknya dalam masa enam minit hingga menjadi naratif yang berkesan disamping berupaya meninggalkan kesan suspens yang sewajarnya.

Selain filem-filem tersebut, tiga buah filem lain yang menarik untuk diperkatakan ialah Amok, Separuh Bumi dan RIP Studio Merdeka. Tiga buah filem dengan pendekatan ekspresionis yang menarik. Amok memperlihatkan sikap dan protes anak muda yang dipaparkan melalui kumpulan punk dan skinhead.

Dihasilkan dalam pendekatan dadaism, tanpa struktur naratif yang konvensional, sekuen yang disunting tanpa hubungan dan imej-imej yang surrealis. Apa yang dipaparkan adalah suasana tanpa fokus cerita yang nyata. Manakala Separuh Bumi adalah esei visual yang menunjukkan ekspressi diri yang menghadapi masalah emosi kesan daripada perkembangan sosial di sekelilingnya yang dirasakan tidak selamat baginya.

Hasilnya watak utama kembali merujuk kepada zaman silamnya, bermain dengan fantasi silam daripada percikkan filem-filem lama dan kembali merasa selamat di alam kanak-kanaknya. Filem RIP Studio Merdeka oleh Raja Mukriz adalah percubaan yang berani dan menarik. Dengan satu syot panjang dan mainan lensa Mukriz memperlihat kesan yang dihadapi oleh industri filem Melayu yang pernah dilalui oleh Studio Merdeka. Satu nostalgia tetapi juga penuh cerita duka dan kecewa yang dipaparkan melalui suara-suara daripada filem lama.

Catat Ulasan

0 Ulasan