BUNOHAN MENGHIBURKAN!

Koleksi Ulasan BUNOHAN dari Utusan Malaysia, 25 Mac 2012.

BUNOHAN bukanlah sebuah filem berat dan serius, jauh sekali dapat dianggap sebagai "filem seni". Filem ini mempunyai dua period masa yang tidak berjalan seiring. Period pertama ialah masa kini yang terus berjalan manakala period kedua ialah masa lalu yang muncul sebagai montaj sahaja. Naratifnya berlegar di sebalik kedatangan pembangunan di kampung Bunohan sebuah desa terpencil yang masih terpelihara flora dan faunanya.

Bakar pulang ke Kampung Bunohan selepas lima tahun di Kuala Lumpur berhasrat membawa keluarganya dan mahu Anna bekerja di cawangan bank di situ sebagaimana dialog ringkas antara Bakar dengan ayahnya. Wajah Bakar yang bersih, berkaca mata, berbaju jenama asing dan berkasut kulit. Ironis dengan misainya yang kasar, riak wajah serius dan bernafsu besar terhadap tanah 30 ekar tepi pantai milik ayahnya yang bakal berpindah ke tangan Adil. Lembaran rancangan pembangunan tanah dan wang. Cita-citanya menukar karier daripada guru kepada ahli perniagaan menukar imej Bakar menjadi "pelesit kapitalis" bersosok manusia. Kaitan dialog antara penukaran imej Bakar ini menyatakan skema kapitalisme iaitu bank sebagai pemodal dan tanah sebagai aset yang sedang diusahakan memilikinya.

Bakar pulang ke kampung kononnya mahu menjaga ayah berlakon menjadi baik, menyediakan makanan dan menyuapkan ubat. Sebaliknya Adil Bunga Lalang, 23 tahun peninju di sempadan Kelantan-Siam membiarkan ayahnya sendirian di rumah. Berpendidikan tinggi tidak bermakna seseorang itu sudah menjadi manusia. Manakala tidak pula Ilham (Faizal Hussein), Deng (Siam) Muski, Pok Eng, Pok Wah, Jing, 'Cina burung', Mek Ani dan Mek Yah adalah watak kampung yang bersih atau jahat sepenuhnya. Masing-masing ada ceritanya tersendiri merupakan pecahan naratif Bunohan.

Terjerat dengan sistem kapitalisme, Talib atau Jolok menjadi penghubung ketamakan Bakar sebagai simbol pintu masuknya kroni kapitalisme ke kampung Bunohan. Jolok orang kampung yang mungkin satu-satunya memiliki Mercedes Hitam-sehitam warna kopi. Sehitam panjang rambut. Selebar senyuman melakukan konspirasi dengan kerjasama Bakar yang memiliki wang dan projek pembangunan. Gelanggang tinju (kelab) Pok Wah yang diuruskan Awang Sonar dihimpit hutang menjadi taruhan yang kebetulan kelab itu didirikan di atas tanah Pok Eng, pintu masuk ke tanah 30 ekar tersebut.

Konspirasi Jolok-Bakar ke atas Awang Sonar memenangkan Adil semata kerana wang, dan mematikan Adil untuk perlawanan akhir kerana mahu mendapatkan tanah. Tumbangnya Adil menandakan tumbangnya kelab tersebut maka terbuka luaslah jalan pembangunan. Apakah nilainya pembangunan? Muski yang mulanya menyelamat Adil sewaktu kalah bertinju di gelanggang Siam dan membawa Adil pulang ke Bunohan sebenarnya budak upahan Bakar. Muski hanya hamba abdi pelesit kapitalis.

Gabungan sinematografi, pameran alam tempatan yang menakjubkan, sungai cetek mengujakan, hutan lalang terbentang dan paya bakau yang unik menjadikan setiap babak bersuara menghantar makna kewujudan ke pelbagai aras kehidupan dijamin menghiburkan. Hal ini kerana itulah kampung halaman kita. Buaya sebagai binatang di sungai Bunohan melambangkan sifat Jolok dan watak pelesit kapitalis lainnya. Namun Jolok dengan takbur menyatakan hanya ada dua buaya iaitu pertama dirinya dan kedua ialah kakinya. Kakinya merujuk Gasi dan Ketot dan juga kasutnya berkulit buaya. Dan fitrah alam kekal wujud. Air lambang kehidupan juga lambang hakikat roh insan. Dalam kosmologi tasawuf, ombak air, sungai, langit, awan dan tanah mewakili hakikat kejadian manusia dan hakikat ketuhanan.

Pok Eng adalah dalang wayang kulit memantulkan ciri naratif Bunohan. Bakar lahir daripada cerita wayang Pok Eng. Sama ada ia muncul sebagai bayang lembaga hitam di jendela atau menjelma sebagai 'bayang di kelir wayang ayah.' Bakar kemudiannya menjadi dalang kejahatan. Pendidikan dan kerjaya mulia tidak berguna. Bakar menjual tanah pusakanya malah menjadi iblis membunuh ayahnya. Bakar dibiarkan hidup dan tarafnya dibiarkan lebih hina daripada Ilham yang menyelamatkan rangka manusia yang dibuang di hutan lalang. Ilham adalah pembunuh upahan, namun dalam ruang naratif Bunohan, Ilham membunuh manusia iblis yang bersekongkol dengan kapitalis sebelum Ilham dibunuh di sungai cetek dan mayatnya bagai diapungkan air melambangkan kesucian sesudah enggan membunuh adiknya dan menamatkan kerjayanya.

Adegan Mek Yah yang menjelma berkata-kata dengan Adik hologram Pok Eng (budak dipanggil adik) paling mengesankan. Selepas Kassim Selamat mengucapkan dialog yang paling diingati sepanjang sejarah, "mengapakah kau diciptakan Allah menjadi manusia…kan lebih baik kau menjadi haiwan." Sebaliknya Mek Yah mengatakan "Lihatlah Yah ini, dimamah dikoyak tetap ada. Tetap setia cinta (di bumi ini) walaupun terpaksa merangkak seperti binatang atas tanah sekalipun." Haiwan bahasa halus manakala binatang pula bahasa kasar, jika dihitung Ibu Mertuaku (1962) kepada Bunohan (2012) masanya ialah 50 tahun Melayu berhadapan dengan kapitalisme!

Montaj Mek Yah berlatarbelakang piramid, pasir yang membentuk batang tubuh buaya dan sungai Bunohan yang dipenuhi bangkai buaya cuba menghantar pesan yang kasar namun jelas iaitu kewajipan dalam menjaga jatidiri. Mek Yah bukan wanita yang sempurna namun dia telah kembali ke tanah, imej buaya hanya mainan bahasa filem untuk menghantar mesej secara mencapah selaku imej kejahatan diwakili buaya kapitalisme dan sifat nafsu Mek Yah dan Pok Eng sendiri bersekududukan walau sesudah bercerai sehingga melahirkan Adil.

Bahasa filem ini bersuara, bertutur dan bernyanyi sepuas-puasnya. Ia mengajak kita menilik teliti pembangunan yang berlaku di sekitar kita dari bandar hingga ke desa terpencil sama ada ia menguntungkan atau menghapuskan kita?

Catat Ulasan

1 Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Kau kata-
"bla S bla A bla M bla P bla A bla H bla !"
Aku kata-
"Bunohan is an art movie"