ALARM SUBUH: DI MANAKAH ADAB KITA?

Dalam realiti kehidupan hari ini, manusia semakin mudah meluahkan rasa tidak puas hati melalui kata-kata yang keras dan menyakitkan. Budaya memaki hamun, mencela dan meninggikan suara seolah-olah telah dinormalisasikan atas nama kejujuran, keberanian bersuara atau sekadar melepaskan emosi. Lebih mendukacitakan, sikap ini turut muncul dalam perkara yang berkait rapat dengan ibadah, termasuk perbahasan tentang cara mengurus persiapan bangun untuk solat Subuh yang sering mencetuskan ketegangan sesama manusia. Hakikatnya, Islam tidak pernah memisahkan hubungan dengan Allah SWT daripada adab dan akhlak terhadap sesama insan.

Islam meletakkan adab sebagai asas dalam kehidupan bermasyarakat. Lisan bukan sekadar alat untuk menyampaikan pandangan, tetapi amanah yang akan dipersoalkan. Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.” (Surah al-Ahzab, ayat 70). Ayat ini menegaskan bahawa keimanan seseorang bukan hanya diukur melalui ibadah zahir, tetapi turut tercermin melalui tutur kata yang sopan, benar dan berhemah. Kata-kata yang dilafazkan tanpa kawalan bukan sahaja melukakan hati orang lain, malah mengeraskan hati sendiri.

Rasulullah SAW menegaskan bahawa seorang mukmin bukanlah individu yang suka mencela, melaknat atau berkata keji. Baginda bersabda, “Bukanlah seorang mukmin itu orang yang suka mencela, melaknat, berkata keji dan kotor.” (Riwayat al-Tirmizi). Hadis ini memberi peringatan jelas bahawa budaya memaki hamun bukan cerminan keperibadian orang beriman, walaupun dilakukan dalam keadaan marah atau ketika merasakan diri berada di pihak yang benar. Apabila perbuatan mencaci dianggap biasa, sensitiviti terhadap adab akan semakin pudar dan kekasaran akhirnya diterima sebagai kebiasaan.

Menormalkan budaya memaki hamun sebenarnya merosakkan jiwa dan hubungan sesama manusia. Ia mematikan empati serta menghakis nilai kasih sayang yang menjadi teras ajaran Islam. Rasulullah SAW mengingatkan, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Diam dalam Islam bukan tanda kelemahan, sebaliknya lambang kebijaksanaan dan kemampuan mengawal emosi. Tidak semua perkara perlu dibalas dengan kata-kata, dan tidak semua perbezaan pandangan perlu diselesaikan dengan nada yang menyakitkan.

Dalam konteks kehidupan seharian, tidak jarang berlaku situasi di mana alarm dari telefon berbunyi untuk mengejutkan diri bagi menunaikan solat Subuh, namun keadaan tersebut dibalas dengan maki hamun, herdikan atau tengkingan terhadap orang lain. Persoalannya, adakah Islam membenarkan amalan memaki hamun terhadap sesama manusia atas alasan terganggu atau tidak selesa. Walaupun seseorang itu sendiri tidak terbangun untuk solat Subuh, Islam tetap mengajar agar adab dan akhlak didahulukan. Ketidakselesaan tidak menghalalkan kata-kata kesat, dan perasaan marah bukan alasan untuk meninggikan suara atau merendahkan orang lain. Bukankah lebih indah sekiranya teguran disampaikan dengan bahasa yang baik dan beradab.

Allah SWT mengingatkan, “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku agar mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan menimbulkan perselisihan di antara mereka.” (Surah al-Isra’, ayat 53). Ayat ini menjelaskan bahawa kata-kata yang tidak dijaga boleh menjadi pintu perpecahan dan permusuhan, sedangkan Islam hadir untuk menenangkan jiwa dan menyatukan hati manusia.

Perbincangan mengenai disiplin menunaikan solat Subuh dalam ruang kehidupan bersama seharusnya dilihat dengan kaca mata adab dan toleransi. Tidak dapat dinafikan bahawa solat Subuh adalah kewajipan yang telah ditetapkan waktunya ke atas orang-orang yang beriman. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.” (Surah al-Nisa’, ayat 103). Setiap Muslim bertanggungjawab memastikan dirinya bangun dan menunaikan solat, namun dalam masa yang sama Islam menegaskan agar seseorang tidak menyakiti orang lain.

Rasulullah SAW bersabda, “Seorang Muslim itu ialah orang yang kaum Muslimin selamat daripada gangguan lisan dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Prinsip ini menjadi asas bahawa ibadah tidak seharusnya melahirkan konflik, sebaliknya membentuk akhlak yang menenangkan dan memelihara keharmonian.

Cara menegur dalam hal berkaitan persiapan solat Subuh menuntut hikmah dan kebijaksanaan. Teguran yang disampaikan dengan makian dan emosi hanya akan menimbulkan kebencian, bukan kesedaran. Allah SWT berfirman, “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125). Ayat ini menjadi panduan bahawa setiap seruan kepada kebaikan mesti disampaikan dengan kelembutan dan adab, kerana hati manusia lebih mudah menerima nasihat yang disampaikan dengan kasih sayang.

Kesimpulannya, ibadah tanpa adab adalah satu kepincangan dalam penghayatan agama. Solat yang dijaga tetapi lidah yang tidak terkawal menandakan ketidakseimbangan antara amalan zahir dan akhlak batin. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat al-Tirmizi).

Oleh itu, marilah kita kembali kepada ruh Islam yang sebenar dengan menjaga adab dalam pertuturan, menegur dengan hikmah, berbeza pandangan tanpa menghina dan melaksanakan ibadah tanpa menzalimi orang lain. Selamat Menyambut Bulan Ramadan. Jaga lisan, adab dan toleransi. Sesungguhnya adab sesama manusia adalah cermin keimanan, dan akhlak yang baik merupakan jalan yang mendekatkan kita kepada keredaan Allah SWT.

Catat Ulasan

0 Ulasan