AFFIN UNIVERSE UBAH WAJAH PERBANKAN

 Kumpulan AFFIN memperkenalkan alternatif baharu aktiviti hujung minggu menerusi penganjuran AFFIN Universe Anniversary Showcase, sebuah acara gaya hidup yang menghimpunkan hiburan, budaya dan pengalaman interaktif, bermula 7 dan 8 Februari ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Berlangsung selama dua hari, acara itu direka sebagai pengalaman menyeluruh sepanjang hari, sekali gus membezakan AFFIN Universe daripada pameran konvensional yang lazimnya tertumpu kepada produk semata-mata.

Pengunjung berpeluang menikmati gabungan persembahan secara langsung, penampilan selebriti, zon interaktif serta pameran berasaskan pengalaman yang menggalakkan penerokaan dan pembabitan bermakna dalam suasana santai serta mesra keluarga.

Acara berkenaan menampilkan kepelbagaian industri termasuk automotif, pelancongan, fesyen dan makanan yang disusun mengikut zon bertema, membolehkan pengunjung menikmati perjalanan gaya hidup kontemporari secara tersusun dari satu ruang ke satu ruang.

Program hujung minggu itu turut dimeriahkan dengan persembahan dan penampilan artis serta personaliti terkenal antaranya Hael Husaini, Marsha Milan, Mimifly, Dato’ Seri Aliff Syukri, Wani Kayrie, Afieq Shazwan, Puteri Khareeza, Imran Aqil, Atita Haris, Fiza Sabjahan, Fedtri Yahya, Fizi Ali, Dato’ Fazley serta Dr. Soo Winci.

Antara pengisian utama ialah segmen khas Let’s Talk’ yang dikendalikan oleh Sarimah Ibrahim bersama rakan strategik termasuk Marriott Bonvoy, selain siaran langsung yang menyatukan dua podcast kewangan tempatan, Financial Faiz dan Mr. Money TV.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata penganjuran AFFIN Universe mencerminkan komitmen kumpulan itu untuk mendekati komuniti di luar skop perkhidmatan perbankan.

Menurutnya, sebagai sebuah institusi kewangan, peranan AFFIN bukan sekadar menyediakan perkhidmatan perbankan, sebaliknya turut berfungsi menghubungkan perniagaan dengan peluang serta komuniti dengan pengalaman yang bermakna.

“Melalui AFFIN Universe, kami menghimpunkan rakan strategik dan usahawan dalam satu platform bagi mewujudkan persekitaran yang menggabungkan produk, idea dan individu secara lancar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, usahawan selebriti, Dato’ Seri Aliff Shukri, menyifatkan program selama dua hari itu sebagai platform yang menyatukan pelbagai generasi di bawah satu bumbung, sekali gus membuka ruang perkongsian rezeki dan peluang untuk mengembangkan jaringan perniagaan.

Beliau turut berkongsi pengalaman serta pandangannya mengenai erti kejayaan dan usaha memurahkan rezeki, sambil menegaskan bahawa kejayaan tidak datang tanpa usaha, selain menuntut sikap berfikiran positif.

Dianjurkan bersempena ulang tahun ke-50 AFFIN, acara itu mencerminkan usaha berterusan kumpulan berkenaan untuk berinteraksi lebih dekat dengan masyarakat. Walaupun pengunjung berpeluang meneroka tawaran terbaharu AFFIN di lokasi acara, penekanan tetap diberikan kepada aspek pengalaman, kreativiti dan hubungan, sekali gus menjadikan pameran itu terbuka serta relevan kepada semua lapisan masyarakat.

Catat Ulasan

0 Ulasan