Penyanyi dan komposer popular tanah air, Tomok, membuka tirai seni tahun 2026 dengan pelancaran single terbaharu berjudul Buah Hati, sebuah karya bernuansa kekeluargaan yang sarat dengan keikhlasan emosi, kasih sayang serta pengorbanan tanpa syarat.
Dicipta oleh Tomok bersama Barr Hadif dengan lirik hasil sentuhan Fedtri Yahya, Buah Hati menyelami makna cinta ibu bapa yang tulus dalam melindungi, membimbing dan berkorban demi kebahagiaan anak-anak, disertai doa agar mereka membesar dengan baik, kuat dan sejahtera. Gabungan melodi yang lembut serta mesej yang menyentuh perasaan menjadikan lagu ini dekat dengan realiti kehidupan dan pengalaman kebanyakan pendengar.
Menambah nilai sentimental terhadap karya berkenaan, Tomok turut menampilkan video lirik rasmi yang memaparkan foto-foto peminat bersama insan tersayang, yang dihantar sendiri oleh para penyokong. Pendekatan istimewa ini bukan sahaja memperkukuh hubungan emosi antara artis dan peminat, malah secara simbolik meraikan nilai kebersamaan dan kasih sayang yang menjadi teras lagu Buah Hati.
Pemilik nama sebenar Shah Indrawan ini memulakan kerjaya seni seawal usia 15 tahun bersama kumpulan New Boyz pada 1999. Kejayaannya menjuarai program realiti One In A Million kemudiannya mengukuhkan kedudukan Tomok sebagai antara figura penting industri hiburan tempatan sehingga hari ini.
Sebelum pelancaran Buah Hati, Tomok turut meraih sambutan positif menerusi beberapa rilisan terbaharu, termasuk kolaborasi bersama Siti Nordiana menerusi lagu Memori Mungkin Berulang dan Gelora Jiwa Meronta Asmara, yang mendapat perhatian peminat serta penggiat industri.
Selain aktif sebagai penyanyi dan komposer, Tomok juga mengembangkan peranannya sebagai usahawan seni menerusi penubuhan Popsicle Records pada 2018. Label itu berjaya menganjurkan konsert di dalam dan luar negara sepanjang 2023 dan 2024, selain menerbitkan karya muzik pelbagai artis ternama. Tomok juga pernah menghasilkan lagu untuk beberapa nama besar, termasuk sebuah karya dalam album Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Single Buah Hati diterbitkan oleh Popsicle Records dan diedarkan secara digital di bawah Luncai Emas, yang turut mentadbir hak cipta lagu dan lirik. Tomok merupakan komposer eksklusif di bawah syarikat berkenaan.
Single ini kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama, manakala video lirik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Popsicle Records. Para pengamal media serta peminat dijemput menghayati karya terbaharu ini yang meraikan nilai cinta, keluarga dan kebersamaan secara menyeluruh.
.png)
.png)
.png)


0 Ulasan