PERTARUHKAN 14 FILEM TERBAIK SINEMA JEPUN, JFF 2026 KEMBALI!

Keindahan dan kehebatan sinema Jepun kembali menyerikan layar sinema di Malaysia apabila Festival Filem Jepun (JFF) 2026 tampil menerusi edisi ke-22 dengan membawakan 14 karya pilihan daripada pelbagai genre, termasuk anime, kabuki, drama, suspens, komedi serta filem klasik yang dipulihkan dalam format 4K.

Dianjurkan oleh The Japan Foundation, Kuala Lumpur (JFKL), festival yang dinanti-nantikan peminat sinema itu bukan sekadar meraikan kepelbagaian karya dari Jepun, malah terus berperanan sebagai jambatan budaya yang menghubungkan Malaysia dan Jepun menerusi keajaiban serta kekuatan sesebuah penceritaan.

Tahun ini, JFF 2026 membawa penonton menyelami pelbagai kisah tentang kehidupan, keluarga, cinta, kehilangan, perjuangan dan kemanusiaan menerusi karya yang merentasi batas bahasa serta budaya.

Sejak diperkenalkan lebih dua dekad lalu, JFF di Malaysia telah menarik lebih 200,000 pengunjung, menayangkan sebanyak 215 filem serta memperkenalkan lebih 128 pengarah dan wakil industri filem Jepun kepada penonton tempatan. Festival itu terus mendapat sambutan menggalakkan apabila edisi 2025 sahaja merekodkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Raikan Legasi YAMADA Yoji

Antara sorotan utama JFF 2026 ialah program khas YAMADA Yoji Retrospective yang meraikan perjalanan seni dan legasi salah seorang pembikin filem paling berpengaruh di Jepun. Program berkenaan turut dianjurkan bersempena ulang tahun ke-95 YAMADA Yoji, selain memperingati 65 tahun sejak beliau memulakan kerjaya sebagai pengarah.

Dikenali menerusi karya yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan gambaran kehidupan seharian, YAMADA telah mengabdikan lebih enam dekad daripada hidupnya dalam dunia perfileman Jepun. Karya-karyanya yang penuh kehangatan serta dekat dengan kehidupan manusia terus mendapat tempat dalam kalangan penonton daripada pelbagai generasi.

Filem terbaharunya, Tokyo Taxi menjadi antara karya utama dalam program retrospektif tersebut. Filem itu mengisahkan seorang pemandu teksi, Koji, yang berdepan tekanan kewangan dan ditugaskan membawa seorang penumpang warga emas, Sumire, dari Tokyo ke sebuah rumah penjagaan di Kanagawa.

Hubungan yang pada awalnya agak dingin perlahan-lahan berubah apabila perjalanan itu membuka ruang kepada kedua-duanya untuk berkongsi kisah kehidupan dan membina hubungan yang lebih bermakna.

Selain Tokyo Taxi, program retrospektif itu turut menampilkan A Distant Cry From Spring, Tora-San's Many Splintered  Love  serta tayangan terhad Renjishi (The Father and Son Shishi Lions).

Kisah Kekuatan Wanita Jadi Tumpuan

JFF 2026 turut menampilkan program khas Girl Power yang menghimpunkan beberapa karya dengan watak wanita sebagai teras utama penceritaan. Program berkenaan mengetengahkan perjalanan wanita dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup, pencarian jati diri serta kekuatan untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka sendiri.

Walaupun pemilihan filem untuk program tersebut tidak dirancang sejak awal berdasarkan satu tema khusus, karya yang terpilih akhirnya membentuk sebuah himpunan cerita yang memperlihatkan kekuatan wanita daripada pelbagai latar kehidupan.

Antara filem yang ditampilkan ialah Fujiko, Purehearted  dan Hula Girls - 4K Remastered. Ketiga-tiga karya itu menawarkan pengalaman dan perspektif berbeza mengenai kehidupan wanita menerusi penceritaan yang menyentuh emosi serta memberi inspirasi. 

14 Filem Pilihan Pelbagai Genre

Selain program khas YAMADA Yoji Retrospective dan Girl Power, JFF 2026 turut menawarkan pelbagai karya menarik untuk memenuhi cita rasa peminat sinema Jepun.

Antara filem yang ditayangkan ialah Bring Him Down to A Portable Size, sebuah drama yang menyentuh mengenai keluarga, kehilangan dan kemaafan.

Peminat anime pula boleh menikmati Chimney Town: Frozen in Time, manakala One Last Love Letter mengangkat kisah cinta dan kenangan silam yang kembali menghantui kehidupan seseorang selepas lebih dua dekad.

JFF 2026 turut menampilkan Samurai Vengeance, sebuah kisah aksi dan misteri yang berlatarbelakangkan zaman Edo. Turut menjadi pilihan ialah Suzuki=Bakudan, sebuah filem suspens yang membawa penonton menyelami misteri di sebalik siri kejadian letupan yang menggemparkan Tokyo.

Bagi penonton yang gemarkan karya unik, You are the Film pula menawarkan gabungan fiksyen sains dan komedi. 

Peminat filem klasik juga tidak ketinggalan apabila JFF 2026 mempersembahkan dua karya yang dipulihkan dalam format 4K Remastered, termasuk filem arahan pengarah legenda Jepun, Kurosawa Akira, berjudul Throne of Blood.

Ia sekali gus memberi peluang kepada generasi baharu untuk menikmati semula karya klasik Jepun dalam kualiti visual yang lebih baik.

JFF 2026 turut mengadakan tayangan khas Kokuho, manakala peminat siri klasik Tora-san pula berpeluang menyaksikan Tora-san, Our Lovable Tramp menerusi tayangan pra-festival.

Sinema Sebagai Jambatan Budaya

Pengarah The Japan Foundation, Kuala Lumpur, Tsukamoto Norihisa, berkata JFF terus berkembang sebagai sebuah platform penting dalam memperkukuhkan pertukaran budaya dan pengetahuan antara Malaysia dan Jepun.

Menurut beliau, festival itu membantu membina hubungan serta persefahaman yang lebih mendalam antara masyarakat kedua-dua negara menerusi kekuatan filem dan penceritaan. 

Ketua Bahagian Pameran Golden Screen Cinemas (GSC), Pan Vui Shang, pula berkata filem-filem yang ditampilkan meneroka pelbagai tema universal yang mampu merentasi sempadan budaya.

Menurutnya, karya yang dipilih mengetengahkan kisah keluarga, hubungan, cinta, kehilangan dan kehidupan seharian yang memperlihatkan banyak persamaan antara manusia walaupun datang daripada latar budaya berbeza.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato' Azmir Saifuddin Mutalib, menyifatkan JFF sebagai lebih daripada sekadar sebuah platform untuk memperkenalkan filem asing kepada penonton tempatan.

Sebaliknya, beliau melihat sinema sebagai medium yang mampu merentasi batas bahasa dan geografi, sekali gus membuka peluang kepada penonton untuk mengenali sejarah, nilai serta perspektif yang berbeza. 

Beliau turut menyifatkan festival berkenaan sebagai jambatan penting dalam menghubungkan budaya, persefahaman dan persahabatan antara Malaysia dan Jepun.

Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, turut menekankan peranan JFF dalam membawa karya-karya Jepun yang mungkin tidak mendapat edaran komersial kepada penonton di Malaysia.

Menurutnya, filem merupakan bahasa universal yang mampu membuka ruang kepada penonton untuk memahami masyarakat dan budaya lain menerusi kekuatan sesebuah penceritaan.

Beliau berharap JFF terus menjadi platform yang membolehkan penonton Malaysia menikmati kekayaan budaya Jepun, selain memperkukuhkan persefahaman dan pertukaran antara rakyat kedua-dua negara.

JFF Filmmaking Workshop Kembali Untuk Tahun Ketiga

Selain tayangan filem, JFF 2026 turut meneruskan usaha dalam membangunkan bakat pembikin filem muda menerusi JFF Filmmaking Workshop yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Program itu dianjurkan bersama Canon Malaysia dan berlangsung selama tiga hari dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Fakulti Seni Sinematik, Multimedia University (MMU). Lebih 25 pelajar filem daripada lima institusi pengajian tinggi tempatan menyertai bengkel tersebut.

Mereka dibimbing oleh barisan pembikin filem daripada pasukan di sebalik filem Imaginur, iaitu pengarah Nik Amir Mustapha, sinematografer Idham Mad Din dan penyunting Johan Arif Mazlan.

Peserta dicabar untuk menghasilkan sebuah treler khas bagi JFF 2026, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mendalami proses pembikinan filem serta mendapatkan pendedahan secara langsung daripada profesional industri.

Institusi yang mengambil bahagian ialah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), New Era University College (NEUC), Sunway University, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hasil karya peserta akan dipertontonkan sebagai pratonton sempena pembukaan festival sebelum dimuat naik ke saluran YouTube JFKL sebagai platform untuk mengetengahkan kreativiti dan bakat pembikin filem muda tempatan.

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan JFKL dalam menyokong pembangunan generasi baharu pembikin filem, selain memperkukuhkan hubungan antara industri kreatif dan institusi pendidikan.

Jelajah Lima Wilayah Hingga 18 Oktober

JFF 2026 berlangsung di beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia. Di Lembah Klang, festival berlangsung di GSC Mid Valley, GSC 1 Utama dan GSC MyTOWN dari 10 hingga 16 September.

Tayangan kemudian diteruskan di GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang dari 17 hingga 20 September, sebelum menuju ke GSC Paradigm Mall JB, Johor Bahru dari 24 hingga 27 September. 

Festival itu turut menjelajah ke Malaysia Timur dengan tayangan di GSC CityONE Megamall, Kuching dari 8 hingga 11 Oktober, diikuti GSC Suria Sabah, Kota Kinabalu dari 15 hingga 18 Oktober. Semua filem ditayangkan dalam bahasa Jepun dengan sari kata bahasa Inggeris.

Tiket JFF 2026 berharga RM10, manakala tayangan khas Kokuho ditawarkan secara percuma dengan tempahan awal diperlukan.

Selain menikmati pelbagai karya sinema Jepun, pengunjung turut berpeluang menyertai JFF Stamp Rally dengan mengumpul cop sepanjang festival untuk menebus cenderahati eksklusif dan hadiah menarik.

Untuk maklumat lanjut mengenai senarai penuh filem, jadual tayangan dan aktiviti sepanjang festival, layari laman rasmi JFF 2026, The Japan Foundation, Kuala Lumpur serta GSC.

Catat Ulasan

0 Ulasan