Penyanyi muda, Zaki Yamani
tampil dengan sisi lebih matang menerusi single terbaharunya berjudul Akur,
sebuah karya yang mengangkat kisah tentang perubahan hati, kekecewaan dan
keberanian menerima pengakhiran sebuah hubungan.
Lagu ciptaan Amzar Razqa dan
Bunga itu memperlihatkan perkembangan muzik anak kepada penyanyi legenda tanah
air, Dato' Jamal Abdillah, yang semakin selesa menyampaikan karya dengan
penceritaan serta penghayatan emosi yang lebih mendalam.
Dengan lirik hasil tulisan
Bunga, Zaki Yamani dan Amzar Razqa, Akur bukan sekadar
berkisar mengenai patah hati, sebaliknya membawa pendengar menyelami perasaan
seseorang yang masih menyimpan rasa, namun akhirnya perlu menerima kenyataan
apabila tidak lagi menjadi pilihan insan yang dicintai.
Antara kekuatan utama lagu
tersebut adalah persoalan “Apa kurang ku di matamu?”, yang
menggambarkan keresahan seseorang apabila segala usaha dan pengorbanan yang
diberikan dalam sesebuah hubungan seakan-akan masih tidak cukup untuk
mempertahankan cinta.
Menurut
Zaki, cabaran terbesar dalam membawakan Akur adalah memastikan
setiap emosi yang disampaikan kedengaran jujur dan tidak dibuat-buat.
“Memang
mencabar untuk membawa emosi Akur kerana saya tak mahu terlalu
memaksa rasa sedih itu. Saya cuba sampaikan dengan sejujur mungkin.
“Bagi saya,
apabila kita benar-benar kecewa, kadang-kadang kita tak perlu pun terlalu
menunjukkan kesedihan itu. Ada rasa yang lebih kuat apabila kita pendam dan
cuba terima dengan tenang,” katanya.
Bagi penyanyi berusia 19 tahun itu, lirik lagu "Apa kurang ku di matamu?" membawa makna yang lebih mendalam, menggambarkan perasaan seseorang yang telah memberikan segala yang terbaik dalam sebuah hubungan, namun akhirnya tetap tidak menjadi pilihan.
“Saya rasa
ramai pernah berada dalam situasi apabila kita sudah cuba memberikan yang
terbaik dalam sesuatu hubungan, tetapi akhirnya kita tetap bukan orang yang
dipilih. Masa itu kita mula tertanya-tanya apa yang kurang pada diri kita.
“Sebab itu
bagi saya, Akur lebih kepada melepaskan bukan kerana kita
sudah tidak cinta, tetapi kerana kita sedar kita sudah tidak lagi dipilih.
Sampai satu tahap, kita kena belajar menerima walaupun bukan itu pengakhiran
yang kita mahukan,” jelasnya.
Menggambarkan
keseluruhan perjalanan emosi dalam Akur, Zaki memilih tiga perasaan
utama iaitu keliru, kecewa dan reda.
Menurutnya,
perjalanan emosi itu bermula dengan pelbagai persoalan yang bermain dalam
fikiran sebelum seseorang itu berdepan dengan realiti bahawa hubungan yang
pernah dibina sudah berubah dan akhirnya perlu menerima kenyataan.
“Pada
awalnya kita keliru dan banyak persoalan bermain dalam fikiran. Kemudian datang
rasa kecewa apabila kita sedar keadaan sudah tidak sama. Tetapi akhirnya, kita
sampai kepada reda.
“Bagi saya,
itulah Akur. Bukan bermaksud kita terus hilang rasa atau melupakan
semuanya, tetapi kita memilih untuk menerima dan terus berjalan,” katanya.
Melodi Indah, Kisah Penuh Kesedihan
Menariknya,
kekuatan Akur bukan hanya terletak pada lirik yang sarat
dengan emosi, malah susunan melodinya turut memainkan peranan penting dalam
menyampaikan kisah di sebalik lagu tersebut.
Amzar Razqa
yang bertanggungjawab menghasilkan muzik lagu itu menggunakan pendekatan
berbeza apabila memilih major chord bagi membentuk melodi yang kedengaran
indah, namun tetap membawa nuansa kesedihan kepada pendengar.
Menurut
Amzar, pertembungan antara melodi yang indah dengan kisah penuh kekecewaan
menjadi antara karakter utama Akur.
“Melodi Akur memang
saya bina dengan niat untuk memberikan rasa yang lebih sedih, tetapi saya
memilih untuk menggunakan major chord.
“Bagi saya,
kombinasi itu menghasilkan satu perasaan yang unik, sesuatu yang kedengaran
indah, tetapi dalam masa yang sama menyakitkan,” katanya.
Amzar
berkata, sejak awal proses penciptaan, dia mahu pendengar bukan sekadar
mendengar kisah yang disampaikan menerusi lagu tersebut, tetapi turut merasakan
konflik emosi seseorang yang terpaksa menerima sesuatu yang bertentangan dengan
kehendak hatinya.
“Saya mahu
pendengar merasakan bagaimana rasanya apabila kita terpaksa akur dengan sesuatu
perkara yang sebenarnya kita tidak mahu.
“Kita
terpaksa menerima satu keadaan yang mungkin akan sentiasa meninggalkan kesan
dalam hidup, walaupun kita tahu kita tidak mampu mengubahnya,” katanya.
Menurut
Amzar, mesej yang dibawa menerusi Akur juga lebih luas dan
tidak hanya terhad kepada kisah percintaan kerana setiap pendengar mempunyai
pengalaman hidup serta tafsiran tersendiri.
“Kadang-kadang
melepaskan bukan bermaksud kita kalah. Sebaliknya, ia adalah cara kita menerima
bahawa ada perkara yang memang tidak mampu kita ubah,” katanya.
Terbuka Terima Tawaran Berlakon
Dalam
perkembangan lain, Zaki yang merupakan anak kepada penyanyi tersohor Dato' Jamal Abdillah turut mengakui dirinya terbuka untuk mencuba bidang lakonan
sekiranya menerima tawaran yang sesuai pada masa hadapan.
Penyanyi
itu berkata, dia tidak menolak peluang untuk membintangi filem atau drama,
namun akan mempertimbangkan terlebih dahulu watak serta jalan cerita yang
ditawarkan oleh pihak penerbit.
Menurut
Zaki, sebagai anak seni, dia sentiasa bersedia untuk mengembangkan potensi diri
dalam bidang lain, namun mempunyai prinsip dan batas tertentu dalam memilih
watak.
“Saya
terbuka sekiranya ada tawaran berlakon sama ada dalam filem atau drama. Kalau
watak dan jalan ceritanya sesuai, saya tidak ada masalah untuk mencuba kerana
saya juga mahu belajar dan mengembangkan diri dalam bidang seni.
“Cuma, saya
akan melihat terlebih dahulu watak yang ditawarkan. Saya tidak mahu membawa
watak yang terlalu kontroversi, sensitif atau melanggar norma masyarakat,”
katanya.
Zaki turut
menegaskan terdapat jenis watak yang tidak akan diterimanya sekiranya
ditawarkan untuk menjayakan sesebuah naskhah.
Antaranya
ialah watak lelaki songsang yang menurutnya tidak bersesuaian dengan prinsip
serta batas peribadi yang ditetapkan.
“Saya rasa
setiap pelakon mempunyai hak untuk menentukan watak yang sesuai dengan diri dan
prinsip masing-masing.
“Bagi saya,
saya tidak akan menerima watak lelaki songsang. Itu adalah pendirian dan batas
yang saya tetapkan untuk diri sendiri,” katanya.
Bagaimanapun,
Zaki berkata, pendiriannya itu tidak bermakna dia menutup terus peluang untuk
menceburi dunia lakonan kerana masih terdapat pelbagai karakter dan cabaran
yang boleh diterokainya.
Perjalanan Muzik Terus Berkembang
Sementara
itu, Akur turut dilihat sebagai satu lagi langkah penting
dalam perjalanan muzik Zaki dalam membentuk identiti dan kematangannya sebagai
seorang artis.
Menurut
Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam dan Projek Khas Asia
Tenggara, Kenny Ong, perkembangan seseorang artis tidak seharusnya hanya diukur
menerusi sebuah lagu atau pencapaian semata-mata.
Sebaliknya,
keberanian untuk terus berkembang, mencuba sesuatu yang berbeza dan membentuk
identiti tersendiri menjadi antara perkara penting dalam perjalanan seseorang
penggiat seni.
“Kami
melihat potensi yang besar dalam diri Zaki dan Akur merupakan
satu lagi langkah penting dalam perjalanan tersebut.
“Kami
berharap karya ini dapat membuka ruang kepada lebih ramai pendengar untuk
mengenali Zaki bukan sekadar sebagai seorang penyanyi muda, tetapi sebagai
seorang artis yang mempunyai suara, karakter dan perjalanan muziknya sendiri,”
katanya.
Pengasas A
Cap Records, Kimmy Khir pula menyifatkan Akur sebagai sebuah
karya yang menjadi sebahagian daripada perjalanan Zaki untuk terus berkembang
dalam industri muzik.
“Akur bukan
sekadar sebuah lagu, tetapi sebuah perjalanan. A Cap menjadi jambatan yang
menghubungkan Zaki Yamani dengan ilmu, pengalaman dan jaringan bersama Sony
Music Malaysia.
“Setelah
menyaksikan sendiri semangat dan keberaniannya berkarya, kami akur, Zaki
sememangnya dilahirkan untuk ini. It's your time to fly high!”
katanya.
Secara
keseluruhannya, Akur memperlihatkan perkembangan Zaki Yamani
sebagai seorang penyanyi yang semakin matang dalam menyampaikan karya dan
membentuk identiti tersendiri dalam industri muzik tempatan.
Karya
tersebut juga membawa mesej bahawa melepaskan sesuatu yang tidak lagi mampu
dipertahankan bukanlah tanda kekalahan, sebaliknya sebahagian daripada proses
menerima kenyataan dan meneruskan kehidupan dengan lebih tenang.
Single Akur nyanyian Zaki Yamani kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)

.png)


0 Ulasan