FABIO ASHER KEMBALI GEGARKAN KUALA LUMPUR

Selepas lima bulan menghiburkan peminat di Malaysia, penyanyi Indonesia, Fabio Asher, kembali menerusi Fabio Asher: The Romanticist Live in Kuala Lumpur. Bakal berlangsung pada 22 November 2026 di Megastar Arena, Kuala Lumpur, konsert berkenaan menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang lebih besar dan beremosi menerusi susunan muzik baharu serta iringan orkestra yang lebih gah.

Kepulangan Fabio kali ini hadir dengan pendekatan berbeza apabila The Romanticist memberi tumpuan kepada sisi emosi yang menjadi kekuatan dalam karya-karyanya, merangkumi kisah cinta, kerinduan, luka, kehilangan dan proses untuk bangkit semula.

Konsert solo ketiganya di Malaysia itu turut menyaksikan Fabio mengambil bahagian dalam menentukan konsep persembahan bagi memastikan penampilan kali ini tidak sekadar mengulangi formula yang pernah diketengahkan sebelum ini. 

Pemilik nama lengkap Fabio Fukrer Towolio, 33, cukup dikenali menerusi karya balada romantis seperti Bertahan TerlukaRumah SinggahHati Lain Di Hatimu dan Akhir Yang Manis, selain tampil dengan karya terbaharu, Nikmati Sakitnya, yang terus mengangkat sisi emosional dalam muziknya. 

Jika persembahan terdahulu lebih banyak bergantung kepada iringan band, kali ini Fabio memperluaskan warna muziknya menerusi susunan orkestra yang lebih besar. Menurutnya, perubahan tersebut diharap memberikan pengalaman baharu kepada peminat, termasuk dari segi susunan muzik dan senarai lagu yang bakal dipersembahkan.

“Saya harap peminat yang hadir ke konsert kali ini dapat merasai pengalaman berbeza daripada persembahan sebelum ini.

“Jika sebelum ini lebih kepada persembahan bersama band, kali ini saya tampil dengan susunan orkestra yang lebih besar, tetapi masih mengekalkan suasana intim dan pastinya tidak membosankan.

“Konsert kali ini memang sangat berbeza dari segi susunan muzik mahupun senarai lagu yang bakal dibawakan,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini. 

Dalam memastikan persembahan kali ini mempunyai arah yang tersendiri, Fabio turut terbabit dalam menyusun konsep konsert berkenaan. Katanya, pengalaman daripada persembahan terdahulu termasuk maklum balas peminat menjadi antara perkara yang diberi perhatian untuk menghasilkan sebuah persembahan yang lebih lengkap.

“Saya turut memainkan peranan dalam menyusun konsep persembahan solo ini kerana mahu memastikan ia tampil berbeza daripada sebelum ini. Cabaran itu sudah pasti ada, tetapi saya berharap penonton tidak berasa bosan dengan lagu yang bakal dibawakan.

“Sebelum ini ada peminat yang kurang berpuas hati kerana saya hanya menyampaikan 12 lagu, jadi kali ini saya mahu memberikan persembahan yang lebih lengkap,” katanya.

Seiring dengan konsep The Romanticist, Fabio mahu persembahan tersebut bergerak mengikut perjalanan emosi yang dekat dengan kehidupan manusia. Ia bermula dengan perasaan jatuh cinta dan kerinduan sebelum membawa penonton kepada kenangan, patah hati, ketidakpastian, penerimaan dan akhirnya proses penyembuhan.

Bagi penganjur, Cerita Project & Events Sdn Bhd, pendekatan tersebut mencerminkan keistimewaan Fabio dalam menjadikan pengalaman peribadi sebagai karya yang mudah dikaitkan dengan pendengar.

“Fabio Asher mempunyai keistimewaan dalam menterjemahkan perasaan peribadi menjadi lagu yang dekat dengan hati pendengar, walaupun setiap orang melalui pengalaman dan fasa cinta yang berbeza.

“Jadi, Fabio Asher: The Romanticist Live in Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah konsert atau persembahan tanpa makna, sebaliknya kami mahu membawa penonton melalui sebuah perjalanan emosi yang beragam.

“Kami mahu memaknai romantika itu daripada jatuh cinta, kerinduan, patah hati, kenangan, rasa tidak pasti, sehinggalah kepada proses menerima dan penyembuhan.

“Setiap lagu mewakili satu babak dalam perjalanan cinta, membolehkan penonton menghayati emosi di sebalik muzik dan pada masa sama mengimbas kembali kisah mereka sendiri,” ujar wakil penganjur.

Rakan strategik, Jiwa Kacau, pula melihat The Romanticist sebagai ruang yang menggabungkan muzik dan emosi dalam suasana lebih intim.

“Dengan suasana yang intim dan penuh perasaan, konsert ini mengajak penonton mengenali Fabio Asher bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi sebagai seorang ‘Romanticist’ dan pencerita, seseorang yang mengubah perasaan menjadi melodi dan kenangan menjadi lagu,” katanya.

Fabio dalam pada itu menganggap pertemuan semula dengan peminat Malaysia sebagai satu lagi ruang untuk berkongsi muzik dan menghargai sokongan yang diterima sepanjang perjalanan kerjayanya.

“Selamat bersenang-senang dan menikmati romantisnya pertemuan kita nanti di Fabio Asher: The Romanticist Live in Kuala Lumpur.

“Malam ini kelak akan menjadi yang paling romantis dalam pertemuan kita. Saya punya banyak ‘cinta’ untuk dikongsi dan biar bertebaran di ruang Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 November ini.

“Kalian tahu, kalian sentiasa membuat antusias saya mencipta muzik ‘berapi-api’. Terima kasih kerana telah menyambut cinta, galau lalu sentiasa mahu mendakap kehadiran saya dengan penuh bahagia. Sampai jumpa semua ‘cinta hati’ saya,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan Fabio Asher: The Romanticist Live in Kuala Lumpur ditawarkan pada harga antara RM158 hingga RM1,288, termasuk kategori tempat duduk serta pakej eksklusif yang disertakan sesi Pertemuan & Ramah Mesra bersama Fabio. Tiket mula dijual pada 4 September 2026, jam 3 petang menerusi IlassoTickets.

 Dengan pendekatan muzik yang diperbaharui serta iringan orkestra lebih besar, The Romanticist menjadi pentas yang bakal memperlihatkan Fabio Asher dalam sisi yang lebih matang. Ianya bukan sekadar sebagai penyanyi balada romantis, tetapi sebagai seorang pencerita yang menjadikan emosi sebagai bahasa muziknya.

Catat Ulasan

0 Ulasan