SITI KHADIJAH BAWA 'GENG MASJID' KE PERBARISAN HARI KEBANGSAAN 2026

Selepas 17 tahun membina nama sebagai antara jenama tempatan yang dekat dengan masyarakat, Siti Khadijah melakar satu lagi detik istimewa apabila tampil buat pertama kali dalam Perbarisan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.

Menariknya, kemunculan sulung itu hadir menerusi konsep ‘Geng Masjid’, sebuah tema yang mengambil inspirasi daripada rutin dan budaya masyarakat Malaysia ketika ke masjid.

Seramai 47 warga kerja Siti Khadijah menyertai kontinjen berkenaan dengan mengenakan pakaian yang sinonim dengan suasana ke masjid, termasuk telekung, sarung suri, kain pelikat dan kurta.

Pilihan konsep tersebut bukan sekadar memberi identiti kepada kontinjen, malah mengetengahkan sisi budaya dan nilai kehidupan masyarakat Malaysia yang telah diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Penyertaan Siti Khadijah dalam sambutan Hari Kebangsaan tahun ini hadir atas jemputan agensi kerajaan bagi mewakili Sektor Ekonomi di bawah Kluster 5: Kesejahteraan dan Ekonomi Rakyat.

Bagi jenama yang diasaskan pada 2009 itu, peluang untuk berada dalam perbarisan nasional membawa makna yang lebih besar daripada sekadar sebuah penampilan korporat.

Ia menjadi ruang untuk meraikan perjalanan sebuah perniagaan tempatan yang bermula daripada usaha seorang suri rumah pada usia 46 tahun, sebelum berkembang menjadi organisasi yang kini mempunyai lebih 600 warga kerja tempatan dan 65 buah kedai di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah, Mohammad Munzir Aminuddin, menyifatkan jemputan tersebut sebagai satu bentuk penghargaan terhadap perjalanan panjang yang dibina hasil kepercayaan masyarakat serta usaha seluruh warga kerja.

“Kami melihat jemputan ini sebagai satu simbolik kepada kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat. Siti Khadijah bermula dengan langkah kecil pada 2009, dan hari ini kami berdiri di sini untuk meraikan semangat keusahawanan tempatan yang dibina oleh anak bangsa sendiri.

“Apa yang kami bawa dalam perbarisan hari ini bukan sekadar nama organisasi, tetapi adalah kisah azam dan usaha warga kerja kami serta sokongan masyarakat yang membolehkan sebuah idea tempatan berkembang memberi manfaat kepada ekonomi rakyat,” katanya.

Bagi memastikan penampilan mereka di pentas Hari Kebangsaan berlangsung dengan baik, kesemua anggota kontinjen terlebih dahulu menjalani tujuh sesi latihan sebagai persediaan menghadapi perbarisan.

Selepas 17 tahun berkembang daripada sebuah perniagaan kecil kepada sebuah organisasi yang menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan warga tempatan, penyertaan ini menjadi satu lagi titik penting dalam perjalanan Siti Khadijah.

Lebih daripada membawa nama sebuah jenama, kontinjen ‘Geng Masjid’ membawa bersama kisah tentang usaha, kepercayaan masyarakat dan semangat keusahawanan anak tempatan yang terus berkembang seiring dengan perjalanan Malaysia.

Kemunculan mereka di Dataran Putrajaya pada Hari Kebangsaan ke-69 akhirnya menjadi simbol tersendiri, bahawa sebuah jenama yang lahir daripada masyarakat juga mampu kembali berdiri bersama masyarakat dalam meraikan hari paling bermakna buat negara.

Catat Ulasan

0 Ulasan