25 TAHUN BERKARYA HAFIZ HAMIDUN KEMBALI DENGAN SALAWAT THE BELOVED

Selepas 25 tahun mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi, komposer dan penerbit muzik terkenal, Hafiz Hamidun kembali dengan sebuah karya yang cukup dekat dengan perjalanan seninya menerusi album terbaharu, Salawat The Beloved.

Diterbitkan Sony Music Malaysia, album berkenaan bukan sekadar himpunan karya selawat, sebaliknya menjadi manifestasi kecintaan Hafiz terhadap Rasulullah SAW, selain memperlihatkan sisi kematangan muziknya selepas lebih dua dekad berkarya.

Menurut Hafiz, penghasilan Salawat The Beloved tercetus daripada keinginannya untuk kembali kepada sesuatu yang sudah sebati dengan jiwa dan perjalanan muziknya iaitu selawat serta karya-karya yang memupuk rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

“Selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya, saya mahu menghasilkan sebuah karya yang kembali kepada sesuatu yang sangat dekat dengan jiwa saya iaitu selawat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW,” katanya.

Menariknya, Hafiz mengambil pendekatan berbeza dalam mengangkat karya-karya selawat yang sudah begitu dekat dengan masyarakat.

Selawat yang biasa diamalkan sejak sekian lama diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik lebih sinematik, kontemporari dan berskala besar, namun masih mengekalkan roh serta keindahan asalnya.

“Selawat-selawat dalam album ini kebanyakannya yang sudah kita kenal dan amalkan sejak sekian lama. Ia diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik yang lebih sinematik, kontemporari dan berskala besar, tetapi masih mengekalkan roh serta keindahan asalnya.

“Saya mahu orang mendengarnya bukan sebagai sebuah album, tetapi sebagai satu perjalanan spiritual dan emosi,” jelasnya.

Dari segi muzik, Salawat The Beloved mengetengahkan konsep cinematic devotional music, dengan Hafiz menggabungkan elemen orkestra, ambient, world music, percussion serta sentuhan kontemporari.

Pendekatan itu membolehkan karya-karya selawat tradisional dibawa ke dalam ruang bunyi yang lebih luas, tanpa mengorbankan identiti dan melodi asal yang sudah dikenali pendengar.

Album berkenaan menghimpunkan 10 karya termasuk Ishfa’ Lana, Salawat Badriyah, Cinta Rasul, Nuril Anwar, Salawat Syifa, Salawat Adnani, Salawat Jibril, Salawat Tafrijiyyah, Salawat Asyghil dan Ya Nabi Salam Alaik.

Walaupun hadir dengan karakter muzik yang berbeza, keseluruhan album itu mempunyai satu benang merah yang sama iaitu mengangkat asa cinta, kerinduan dan penghormatan kepada Rasulullah SAW.

Bagi memastikan setiap karya mempunyai identiti tersendiri, proses pembikinan album mengambil masa kira-kira setahun, merangkumi pemilihan lagu, susunan muzik, rakaman, produksi sehinggalah kepada pembangunan visual dan penggambaran video muzik.

“Saya memang mengambil masa kerana saya tidak mahu menghasilkan album selawat sekadar untuk memenuhi jadual penerbitan. Setiap lagu perlu mempunyai identiti dan mood tersendiri, tetapi apabila digabungkan, semuanya masih terasa seperti berada dalam satu dunia yang sama, dunia Salawat The Beloved,” katanya.

Uzbekistan jadi latar utama

Keunikan Salawat The Beloved turut diterjemahkan menerusi aspek visual apabila Hafiz memilih Uzbekistan sebagai antara lokasi utama penggambaran video muzik.

Pemilihan itu bukan sekadar kerana keindahan destinasi berkenaan, tetapi mempunyai kaitan rapat dengan sejarah dan tamadun Islam.

Samarkand dan Bukhara, misalnya, merupakan antara pusat ilmu penting dalam sejarah dunia Islam, selain mempunyai kaitan dengan tokoh ilmuwan besar seperti Imam al-Bukhari.

“Pada masa sama, dari sudut visual pula, Uzbekistan mempunyai seni bina, warna, tekstur dan landskap yang sangat unik. Apabila kita melihat Registan di Samarkand, seni bina madrasah, kota lama Bukhara ataupun kawasan pergunungan, semuanya mempunyai karakter yang sangat kuat.

“Jadi saya rasa ia sangat sesuai dengan konsep album ini. Kita membawa karya yang berakar daripada tradisi Islam, tetapi dipersembahkan melalui visual yang cinematic dan bersifat antarabangsa,” ujarnya.

Hafiz turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan dan kerjasama Uzbekistan Tourism Committee sepanjang menjayakan projek tersebut.

Sepanjang berada di Uzbekistan, pasukannya menjalankan penggambaran di beberapa lokasi termasuk Samarkand, Bukhara, Tashkent serta kawasan pergunungan.

Bagi Hafiz, projek itu turut membuka ruang kepada pertukaran budaya antara Malaysia dan Uzbekistan menerusi muzik dan visual.

Selain Uzbekistan, Hafiz turut memilih Istanbul, Turki dan Al-Ula, Arab Saudi sebagai lokasi penggambaran video muzik bagi Ishfa’ Lana dan Salawat Badriyah.

Aspek fesyen juga tidak diketepikan apabila Hafiz berpeluang mengetengahkan rekaan daripada jenama fesyen dan gaya hidup tempatan, koleksi Teman oleh Siti Khadijah.

Gambaran Wajib Tonton album Salawat The Beloved dlm bentuk vinyl

Bakal hadir dalam bentuk fizikal

Selain pelancaran digital, Salawat The Beloved turut mempunyai perancangan untuk diterbitkan dalam bentuk fizikal.

Hafiz berkata, edisi fizikal itu akan hadir dengan kandungan yang sedikit berbeza berbanding versi digital, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih istimewa kepada peminat yang mahu memiliki album berkenaan secara fizikal.

“Album ini memang berada dalam perancangan kami untuk mengeluarkan album terbaharu Hafiz Hamidun dalam bentuk fizikal. Kandungannya sedikit berbeza, ada lirik, gambar dan sebagainya.

“Jadi, bukan sekadar muzik sahaja, tetapi kita mahu memberikan sesuatu yang lebih lengkap kepada mereka yang membeli versi fizikal album ini,” katanya.

Perancangan tersebut dilihat selari dengan konsep Salawat The Beloved yang bukan hanya dibina sebagai sebuah karya audio, tetapi turut mempunyai dunia visual dan nilai koleksi tersendiri.

Harapan untuk terus menemani pendengar

Bagi Hafiz, kejayaan album berkenaan bukan semata-mata diukur menerusi angka penstriman atau pencapaian komersial.

Sebaliknya, beliau berharap lagu-lagu yang terkandung di dalamnya dapat terus dimainkan dan menjadi sebahagian daripada rutin pendengar dalam mencari ketenangan serta mengingati Rasulullah SAW.

“Saya mahu album ini menjadi sebuah karya yang orang boleh dengar berkali-kali, bukan hanya ketika ia dilancarkan.

“Kalau lagu-lagu dalam album ini boleh menemani seseorang ketika memandu, berada di rumah, ketika mencari ketenangan, atau membuatkan seseorang kembali berselawat dan mengingati Rasulullah SAW, bagi saya itu sudah menjadi satu pencapaian yang sangat besar,” katanya.

Dalam masa sama, Hafiz berharap Salawat The Beloved dapat membuka ruang lebih luas untuk muzik Islamik dari Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa.

Selepas 25 tahun berada dalam industri muzik, album itu dianggap Hafiz bukan sekadar satu lagi judul dalam katalog kerjayanya, tetapi karya yang merangkum perjalanan, kecintaan serta legasi yang mahu ditinggalkan melalui muzik.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sony Music Malaysia merangkap Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong, berkata pihaknya berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan penting Hafiz yang kini memasuki tahun ke-25 dalam industri.

Menurut Kenny, Salawat The Beloved memperlihatkan kemampuan Hafiz untuk meneroka pendekatan baharu tanpa mengetepikan nilai dan identiti muzik yang sudah sebati dengan dirinya.

“Salawat The Beloved merupakan sebuah projek yang sangat bermakna, bukan sahaja buat Hafiz, tetapi juga buat kami di Sony Music.

“Selepas 25 tahun dalam industri, Hafiz terus mencari pendekatan baharu untuk berkembang sambil kekal setia kepada muzik dan nilai-nilai yang dekat dengan dirinya,” katanya.

Kenny turut melihat kekuatan album berkenaan menerusi cara Hafiz memberikan nafas baharu kepada karya-karya selawat yang sudah dikenali ramai, tanpa menghilangkan esensi asalnya.

Sony Music berharap album berkenaan dapat mendekatkan hati pendengar daripada pelbagai generasi, selain memperkenalkan muzik Islamik Malaysia kepada khalayak yang lebih luas di luar negara.

Salawat The Beloved dilancarkan secara rasmi pada 21 Ogos 2026 dan kini boleh distrim serta dimuat turun menerusi semua platform digital.

Catat Ulasan

0 Ulasan