AZEVA PERTARUH 'TANPA RASA JEMU' SEBAGAI SINGLE SULUNG & OST 'BISIKAN NAFSU'

Selepas mencipta populariti menerusi program Talk To My Manager terbitan Astro beberapa bulan lalu, penyanyi muda Azeva yang juga anak kepada penerbit drama dan filem terkenal, Datuk A. Aida, tampil mempertaruhkan single sulung berjudul Tanpa Rasa Jemu.

Lagu ciptaan Zulkefli Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Zul 2By2, bersama Aiman dan Madi Mulyadi, dengan lirik nukilan Datuk A. Aida itu bukan sekadar menjadi titik permulaan perjalanan seni Azeva dalam industri muzik tempatan, malah turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) filem Bisikan Nafsu.

Mengangkat tema kasih sayang dan kesetiaan tanpa syarat, karya berkenaan turut mempunyai kaitan dengan jalan cerita filem Bisikan Nafsu yang mengisahkan seorang lelaki tetap setia mencintai pasangannya walaupun berdepan pelbagai ujian dan cabaran.

Filem berkenaan dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 1 Oktober depan. Menurut Azeva, Tanpa Rasa Jemu berjaya menarik perhatiannya sejak kali pertama mendengar karya berkenaan, sekali gus meyakinkannya untuk memilih lagu itu sebagai taruhan sulung dalam perjalanan seninya.

Katanya, kekuatan susunan muzik, lirik yang menyentuh jiwa serta keseluruhan dinamik lagu itu menjadi antara faktor yang membuatkan dirinya tertarik.

“Daripada semua lagu yang saya dengar, Tanpa Rasa Jemu benar-benar menyentuh hati saya. Saya jatuh cinta dengan susunan muzik, lirik dan keseluruhan dinamik lagu ini.

“Setiap kali mendengarnya, saya rasa tidak puas. Lagu ini juga sangat istimewa kerana mama turut terbabit dalam proses pembikinannya, manakala Abang Zul, Aiman dan Madi banyak membimbing saya sepanjang proses rakaman.

“Sebagai lagu pertama saya, pengalaman ini sangat bermakna dan saya amat bersyukur kerana mereka membimbing saya dari A hingga Z tanpa pernah berputus asa,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai mesej yang ingin disampaikan, Azeva berkata, Tanpa Rasa Jemu membawa kisah kasih sayang yang tetap teguh dan tidak mudah luntur meskipun berdepan pelbagai dugaan.

Bagi Azeva, mesej yang terkandung dalam lagu berkenaan juga tidak terhad kepada hubungan romantis semata-mata, sebaliknya boleh dikaitkan dengan kasih sayang dalam institusi keluarga.

“Bagi saya, lagu ini bukan sekadar mengenai cinta antara dua insan, tetapi ia juga boleh diterjemahkan sebagai kasih sayang dalam keluarga yang sentiasa menerima dan memberi sokongan tanpa mengenal penat atau jemu,” katanya.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman menyanyi secara profesional sebelum ini, Azeva mengakui proses menghasilkan Tanpa Rasa Jemu menjadi pengalaman pembelajaran yang cukup bermakna buat dirinya.

Sepanjang proses rakaman, katanya, beliau banyak mempelajari aspek teknik vokal, sebutan serta kawalan suara bagi memastikan penyampaian lagu dapat dilakukan dengan lebih baik.

Pengalaman mengikuti kelas vokal juga membantu meningkatkan keyakinannya untuk membuat persembahan secara langsung, selain membentuk dirinya menjadi seorang penyanyi yang lebih matang.

Dalam pada itu, Azeva berharap Tanpa Rasa Jemu mendapat sambutan positif dan mampu meninggalkan kesan tersendiri di hati pendengar.

“Saya berharap semua orang terus mendengar Tanpa Rasa Jemu, tanpa rasa jemu juga. Saya mahu lagu ini kekal di hati pendengar dan menjadi karya yang sentiasa mereka ingati.

“Ini hanyalah permulaan perjalanan saya dalam dunia muzik dan saya berharap dapat terus berkongsi lebih banyak karya selepas ini,” katanya.

Tidak mahu berhenti setakat single pertama, Azeva turut mendedahkan dua lagi projek rakaman sedang dalam perancangan, termasuk versi baharu lagu Sejiwa yang mempunyai nilai sentimental buat keluarganya.

Selain itu, beliau juga bakal terlibat dengan sebuah lagi projek lagu tema untuk karya animasi.

Single Tanpa Rasa Jemu diterbitkan menerusi kerjasama Nova Music Malaysia dan A. Aida Production dan boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman digital.

Muzik video rasmi lagu berkenaan turut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.


Catat Ulasan

0 Ulasan