Belum pun membuka tirai tayangan rasmi di pawagam, filem KUDRAT 1968: High Council sudah mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya meraih kutipan RM3 juta menerusi jualan tiket prajualan (advance ticket sales).
Pencapaian memberangsangkan itu bukan sahaja mencerminkan keterujaan peminat terhadap filem berkenaan, malah memperlihatkan impak populariti siri premium KUDRAT 1968: High Council yang sebelum ini mencetuskan fenomena dan menjadi antara topik hangat dalam perbualan di media sosial.
Menerusi perkongsian di akaun media sosial rasmi Astro Shaw, pihak produksi menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sokongan padu peminat yang terus memberikan sambutan luar biasa terhadap karya berkenaan.
tangkap layar di Astro Shaw Threads
“Alhamdulillah dan syukur untuk sokongan korang warga KUDRAT yang memang on top! Beli tiket korang sekarang dan jom kita bermanifesto!”
Keterujaan peminat terhadap filem ini turut diterjemahkan menerusi sambutan hangat bagi acara Mega Fans Screening yang dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober ini. Lebih mengagumkan, tiket acara berkenaan dilaporkan habis terjual dalam tempoh hanya lima minit, sekali gus membuktikan betapa dinantikan kemunculan semula dunia High Council di layar perak.
Menjelang tayangan rasmi, bahang fenomena KUDRAT 1968: High Council juga semakin terasa apabila peminat rancak membincangkan pelbagai teori, spekulasi dan kemungkinan yang bakal menentukan hala tuju jalan cerita filem tersebut.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah persoalan mengenai watak Abbas dan Kuda, sekali gus mencetuskan pelbagai perdebatan dalam kalangan peminat yang tidak sabar untuk mengetahui kesudahan konflik antara watak-watak utama.
Dibintangi barisan pelakon seperti Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith, filem arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff ini dijangka membawa penonton menyelami konflik yang lebih besar dalam dunia High Council.
Pertembungan kuasa, persahabatan dan kesetiaan bakal menjadi antara taruhan utama dalam perjalanan cerita kali ini, sekali gus membuka ruang kepada perkembangan konflik serta hubungan antara watak yang telah mencuri perhatian penonton menerusi siri premium terdahulu.
Selepas mengikuti perjalanan dan pergolakan watak-watak ini di layar kecil, kini peminat berpeluang menyaksikan sendiri kesinambungan kisah mereka dalam skala yang lebih besar menerusi pengalaman sinematik di pawagam.
Persoalannya, mampukah KUDRAT 1968: High Council mengulangi fenomena siri premium terdahulu dan mencetuskan gelombang baharu dalam kalangan penonton filem tempatan?
Segala persoalan itu bakal terjawab apabila KUDRAT 1968: High Council mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula esok, 29 Oktober 2026.
Dengan kutipan prajualan mencecah RM3 juta dan tiket Mega Fans Screening yang habis terjual dalam tempoh lima minit, KUDRAT 1968: High Council kini hadir dengan momentum yang cukup kuat sebelum tayangan rasminya bermula. Mampukah fenomena ini diterjemahkan kepada kejayaan di pawagam? Nantikan.
.png)



0 Ulasan