Tidak semua perpisahan berpunca daripada kecurangan, dan tidak semua cinta yang berakhir meninggalkan ruang untuk mencari siapa yang bersalah. Ada kalanya, dua hati memilih haluan berbeza bukan kerana hadirnya orang ketiga, tetapi kerana takdir tidak lagi menemukan mereka pada penghujung perjalanan yang sama.
Mengangkat sisi cinta yang jarang diperkatakan secara terbuka, penyanyi Ara Johari kembali dengan single terbaharu berjudul Kisah Yang Hampir Sempurna, sebuah balada yang menyelami realiti perpisahan tanpa pengkhianatan, sekali gus membawa pendengar menelusuri sisi emosi sebuah hubungan yang tidak kesampaian.
Selepas mencuri perhatian menerusi Menjaga Jodoh Orang Lain dan Terlalu Bodoh, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie binti Johari, 29, meneruskan kesinambungan muzik bernuansa galau menerusi karya yang mengetengahkan perspektif berbeza tentang cinta, kehilangan dan penerimaan.
Dicipta oleh Aepul Roza dan Daus Drama Band, dengan lirik hasil kolaborasi Aepul Roza bersama Ara sendiri, Kisah Yang Hampir Sempurna mengetengahkan kisah dua insan yang pernah membina harapan untuk bersama, namun akhirnya terpaksa menerima bahawa hubungan mereka tidak ditakdirkan berpanjangan.
Keistimewaan lagu ini terletak pada penceritaannya yang mengetengahkan sisi perpisahan dari sudut berbeza. Ia menggambarkan bagaimana sesebuah hubungan boleh menemui penghujungnya apabila dua hati menyedari bahawa mereka tidak ditakdirkan untuk bersama, meskipun pernah menyimpan harapan untuk membina masa depan bersama.
Bagi Ara, lagu berkenaan sebenarnya sudah lama menantikan masa yang sesuai untuk diperkenalkan kepada pendengar sebelum akhirnya dipilih sebagai taruhan terbaharunya.
“Sudah setahun lebih Aepul mengirimkan lagu ini kepada Ara. Ara menunggu masa yang sesuai untuk melancarkannya, dan sekarang adalah masa yang terbaik untuk Ara berbuat demikian,” katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai mesej yang ingin disampaikan, Ara menjelaskan bahawa tidak semua perpisahan perlu dikaitkan dengan pergaduhan atau kemunculan individu ketiga. Ada hubungan yang berakhir kerana kedua-dua pihak akhirnya perlu menerima kenyataan bahawa mereka tidak ditakdirkan untuk terus bersama.
“Kali ini penceritaan lagu ini tidak cliché kerana Ara rasa tak semua perpisahan itu harus berakhir dengan pergaduhan atau orang ketiga. Ada perpisahan yang tak perlukan alasan kenapa mereka harus berpisah,” ujarnya.
Pendekatan tersebut menjadikan Kisah Yang Hampir Sempurna sebuah karya yang dekat dengan pengalaman sebenar ramai pendengar. Ia berbicara tentang cinta yang pernah dirasakan cukup kuat untuk bertahan, impian yang hampir menjadi kenyataan dan kenangan yang tetap bermakna meskipun hubungan itu tidak berakhir seperti yang diharapkan.
HUN HAQEEM JADI TERUJU MUZIK VIDEO RASMI
Daya tarikan single ini turut diperluas menerusi muzik video rasmi yang menampilkan pelakon popular Hun Haqeem sebagai teraju utama.
Kehadiran Hun memberikan elemen visual kepada penceritaan lagu berkenaan, sekali gus menghidupkan naratif hubungan yang kelihatan hampir sempurna, namun akhirnya tidak menemukan kedua-dua insan pada pengakhiran yang sama.
Dalam perkembangan berkaitan, pelancaran single ini juga hadir selepas Ara menerima pertanyaan berulang daripada peminat yang mengharapkan beliau kembali menghasilkan karya bersama komposer tempatan, khususnya lagu yang berpotensi diketengahkan ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Sejak Ara menghasilkan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain dan Terlalu Bodoh, ramai peminat bertanya bila Ara akan kembali tampil dengan lagu hasil kerjasama bersama komposer tempatan yang berpotensi diketengahkan ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Oleh itu, Ara merasakan inilah masa yang paling sesuai untuk melancarkan lagu ini,” jelasnya.
Diedarkan oleh Universal Music Malaysia, Kisah Yang Hampir Sempurna mula dilancarkan pada Jumaat, 9 Oktober 2026 dan kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman muzik digital.
Menerusi karya terbaharu ini, Ara Johari sekali lagi mempertaruhkan kekuatan balada yang dekat dengan jiwa pendengar, dengan mengetengahkan sisi perpisahan yang tidak semestinya lahir daripada kebencian, sebaliknya daripada penerimaan terhadap sesuatu yang tidak lagi mampu dipertahankan.
Kerana dalam sesetengah kisah cinta, persoalannya bukan lagi siapa yang bersalah atau siapa yang mengkhianati, tetapi bagaimana dua insan yang pernah saling memilih akhirnya perlu belajar untuk melepaskan.
Ada kisah yang hampir sempurna, namun tidak semua yang indah ditakdirkan untuk kekal bersama.
.png)

.png)

.png)

0 Ulasan