Jenama kasut tempatan, Fipper, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri kasut dan gaya hidup menerusi perasmian ibu pejabat baharu di Balakong Jaya, Selangor, sempena ulang tahun ke-18 penubuhannya, selain melancarkan inisiatif Kuala Lumpur Travel Passport bagi menyokong promosi pelancongan ibu negara.
Majlis perasmian itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dengan kehadiran Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Faizal Mahmod, barisan pengarah Fipper, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jee Von, serta wakil kerajaan, rakan perniagaan, pemegang francais, pembekal dan warga kerja syarikat berkenaan.
Ditubuhkan pada 2008, Fipper kini mempunyai rangkaian 150 cawangan utama di 20 negara, sekali gus mencerminkan perkembangan jenama tempatan itu dalam menembusi pasaran antarabangsa. Perkembangan tersebut turut disokong pembukaan 40 cawangan baharu di Indonesia sejak pertengahan 2025.
Ibu Pejabat Baharu Lambang Evolusi Jenama
Perasmian ibu pejabat baharu itu bukan sekadar menandakan pertambahan kemudahan operasi, sebaliknya menjadi simbol perjalanan Fipper dalam membina jenama yang berteraskan kualiti, keselesaan dan penggunaan getah asli sejak hampir dua dekad lalu.
Bangunan berkenaan turut menempatkan Fipper Experience Centre, ruang interaktif yang mengetengahkan sejarah, pencapaian serta identiti jenama menerusi pendekatan kreatif. Antara elemen yang mencuri perhatian ialah penggunaan tapak selipar Fipper sebagai sebahagian daripada reka bentuk lantainya, sekali gus memberikan sentuhan unik yang mencerminkan karakter produk keluaran syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Fipper, Jee Von, berkata pencapaian berkenaan merupakan hasil usaha bersama warga kerja, rakan perniagaan dan pelanggan yang terus memberikan sokongan kepada jenama itu.
“Ketika Fipper bermula 18 tahun lalu, impian kami cukup sederhana, iaitu menghasilkan kasut yang tahan lasak, selesa dan berkualiti tinggi berasaskan getah asli. Hari ini, Fipper telah berkembang dengan rangkaian 150 cawangan utama di 20 negara. Ibu pejabat baharu ini menjadi simbol perjalanan dan usaha bersama seluruh warga Fipper,” katanya.
Kuala Lumpur Travel Passport Perkukuh Tarikan Pelancongan
Selain meraikan pencapaian korporat, Fipper turut memperkenalkan Kuala Lumpur Travel Passport, inisiatif yang dirangka untuk mempromosikan tarikan pelancongan, menggalakkan pengunjung meneroka pelbagai lokasi di ibu negara serta menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan.
Dilancarkan oleh Hannah, inisiatif itu memanfaatkan rangkaian peruncitan Fipper sebagai platform untuk memperkenalkan pengalaman pelancongan Kuala Lumpur kepada pengunjung, selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pendekatan berkenaan memperlihatkan potensi kerjasama antara sektor peruncitan dan pelancongan dalam mewujudkan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pelancong, selain membuka ruang kepada perniagaan tempatan untuk mendapat manfaat daripada kehadiran pengunjung domestik dan antarabangsa.
Hannah menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai usaha positif sebuah jenama tempatan dalam membina pengalaman yang mampu meninggalkan kenangan bermakna kepada pelancong.
“Kadangkala, perkara kecil yang membuatkan seseorang mengingati sesebuah bandar. Mungkin kerana makanan yang enak, layanan mesra peniaga, sesuatu yang dibeli ketika melancong, malah sepasang selipar.
“Inisiatif seperti ini menunjukkan bagaimana perniagaan tempatan boleh memainkan peranan dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah destinasi yang terus diingati oleh para pengunjung,” katanya.
Beliau turut menyambut baik usaha menghubungkan pengalaman membeli-belah dengan promosi pelancongan, sekali gus memberikan nilai tambah kepada ekosistem pelancongan dan perniagaan tempatan.
Perluas Penawaran ke Arah Gaya Hidup
Dalam usaha memperluas penawaran melangkaui produk kasut, Fipper turut memperkenalkan Fipper Monster Resort Blind Box, konsep koleksi karakter yang menggabungkan elemen kejutan dengan pengalaman permainan digital interaktif.
Jenama itu juga melancarkan kolaborasi Fipper | Montigo Tumbler, sekali gus memperlihatkan usaha meneroka kategori produk gaya hidup yang berpotensi mendekati segmen pengguna lebih luas.
Gabungan pelancaran ibu pejabat baharu, inisiatif pelancongan dan kolaborasi produk ini mencerminkan usaha Fipper untuk terus mengembangkan identiti jenama dalam landskap perniagaan yang semakin kompetitif.
Selepas 18 tahun membina reputasi dalam industri kasut berasaskan getah asli, Fipper kini melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya dengan memberi penekanan kepada pengalaman pelanggan, kepelbagaian produk dan peluang kerjasama strategik.
Perkembangan itu bukan sahaja memperkukuh aspirasi Fipper untuk bersaing di peringkat antarabangsa, malah memperlihatkan bagaimana jenama tempatan berupaya meneroka peluang baharu yang menghubungkan perniagaan, gaya hidup dan pelancongan.
Perasmian ibu pejabat baharu dan pelancaran Kuala Lumpur Travel Passport menandakan satu lagi fasa penting dalam perjalanan Fipper. Daripada jenama kasut tempatan kepada pemain yang meneroka ruang gaya hidup dan pelancongan, Fipper memperlihatkan potensi jenama Malaysia untuk berkembang melalui inovasi serta kerjasama strategik.







0 Ulasan