Dato’ Sri
Siti Nurhaliza terus membuktikan pengaruh dan kedudukannya sebagai antara
figura paling berpengaruh dalam industri muzik tanah air apabila mendahului
senarai pencalonan Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) dengan menerima
sebanyak 14 pencalonan.
Pencapaian
luar biasa itu sekali gus meletakkan nama penyanyi tersohor negara berkenaan
sebagai antara calon paling menonjol bagi edisi Jubli Perak anugerah muzik
paling berprestij di Malaysia.
Sebanyak 14 pencalonan diterima Siti merangkumi lapan kategori, daripada
pengiktirafan vokal menerusi kategori Vokal Wanita Terbaik, sehinggalah
kategori lagu, kolaborasi, album, susunan muzik dan rakaman.
Album Gema Bumantara menjadi antara nadi utama kepada pencapaian
membanggakan tersebut, sekali gus memperlihatkan kekuatan karya penyanyi itu
dalam mengetengahkan muzik yang berteraskan identiti serta tradisi tempatan.
Lagu Kesuma menerima tiga pencalonan berbeza menerusi kategori Vokal
Wanita Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Rakaman Lagu Terbaik.
Selain itu, Pesanan Buat Diri turut menyerlah apabila dicalonkan
dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu
dan Rakaman Lagu Terbaik.
Lebih menarik, Siti menguasai empat daripada lima slot kategori Lagu
Tradisional Terbaik menerusi lagu Kesuma, Rencong, Hujung Bumi dan Pesanan
Buat Diri.
Pencapaian itu memperlihatkan kekuatan projek Gema Bumantara dalam
meraikan serta mengangkat elemen tradisi dan identiti muzik tempatan.
Siti turut menerima tiga pencalonan dalam kategori kolaborasi
antarabangsa menerusi Cenderamaya, Kumbang Bunga bersama Lesti dan Jenjang
Cinta, selain turut dicalonkan menerusi lagu raya Raya Nak Ke Mana?
135 CALON DISENARAI
PENDEK MERENTASI 32 KATEGORI
Sementara itu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan Calon
5 Akhir bagi kesemua 32 kategori anugerah AIM25, sekali gus menandakan satu
lagi fasa penting menuju malam kemuncak penganjuran edisi bersejarah tersebut.
Susulan penutupan tempoh pencalonan pada 6 Ogos 2026, RIM
menerima sebanyak 600 pencalonan membabitkan karya rakaman yang
diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
Daripada jumlah itu, sebanyak 135 calon telah disenarai pendek
merentasi 32 kategori anugerah, mewakili gabungan nama terkenal, bakat baharu,
artis bebas, pencipta lagu, penerbit serta penggiat industri muzik dari seluruh
negara.
Calon 5 Akhir dipilih menerusi proses penjurian menyeluruh oleh barisan
pengamal dan pakar industri muzik daripada pelbagai disiplin yang diketuai oleh
Ajai selaku Ketua Juri.
Markah penjurian turut dikumpulkan dan diaudit secara bebas bagi
memastikan proses pemilihan dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelusan dan
kredibiliti.
Pengerusi RIM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin
Hashim, berkata edisi kali ini amat istimewa kerana AIM meraikan sambutan
Jubli Peraknya.
“AIM25 merupakan sebuah edisi yang amat istimewa buat kita semua apabila
kita meraikan Jubli Perak Anugerah Industri Muzik Malaysia. Sepanjang 25 edisi,
AIM terus berkembang seiring dengan perkembangan industri muzik Malaysia,
dengan mengiktiraf kreativiti, bakat dan dedikasi para penggiat muzik kita.”
Menurutnya, penganjuran AIM di Sarawak buat kali pertama juga menjadi
satu detik penting dalam sejarah anugerah berprestij itu.
“Pada tahun ini, kami amat teruja untuk membawa AIM ke Sarawak buat
pertama kali. Pengumuman Calon 5 Akhir merupakan satu lagi pencapaian penting
dalam perjalanan menuju ke malam anugerah, dan kami berbangga melihat
representasi muzik Malaysia yang begitu pelbagai merentasi setiap kategori," katanya.
AIM25 CIPTA SEJARAH DI
SARAWAK
Sempena sambutan Jubli Perak, AIM25 bakal mencipta sejarah apabila buat
pertama kali dianjurkan di Sarawak.
Majlis anugerah berprestij itu akan berlangsung di Borneo Convention
Centre Kuching (BCCK) pada Sabtu, 26 September 2026.
Malam kemuncak AIM25 pula bakal dikendalikan pasangan selebriti popular,
Awal Ashaari dan Scha Alyahya, bersama personaliti TVS, Sheera Abang
Mansur.
Edisi kali ini turut menerima sokongan daripada Kementerian
Komunikasi menerusi peruntukan sebanyak RM950,000 di bawah Dana
Kandungan Digital (DKK), yang akan disalurkan kepada sejumlah 16 pemenang
AIM25 melalui MyCreative Ventures.
Selain itu, AIM25 turut menerima sokongan daripada Kementerian
Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menerusi Geran
Acara Pelancongan bernilai RM1 juta.
TVS pula berperanan sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama, manakala CA
AIM25
turut mendapat sokongan daripada beberapa penaja rasmi termasuk AirAsia
sebagai Syarikat Penerbangan Rasmi, Orkid sebagai Air Minuman Rasmi dan Borneo
Convention Centre Kuching (BCCK) sebagai Lokasi Rasmi.
DUA KATEGORI BAHARU
Edisi
Jubli Perak AIM25 menampilkan sebanyak 32 kategori anugerah, termasuk
dua kategori baharu yang diperkenalkan bagi mencerminkan kepelbagaian budaya
serta perkembangan landskap muzik negara.
Kategori
Lagu Borneo Terbaik diperkenalkan bagi mengiktiraf karya muzik yang
meraikan kekayaan budaya, bahasa, tradisi serta identiti unik Sabah dan
Sarawak.
Sementara
itu, kategori Lagu Perayaan Terbaik pula memberi pengiktirafan kepada
karya muzik yang mengetengahkan kegembiraan, nilai serta tradisi sambutan
pelbagai perayaan di Malaysia.
Pengenalan
kedua-dua kategori itu memperkukuh komitmen AIM dalam meraikan kepelbagaian
industri muzik tempatan serta mengiktiraf identiti budaya yang menjadi
sebahagian daripada kekayaan landskap kreatif negara.
Bagaimanapun,
kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan oleh Artis
Antarabangsa tidak akan dipertandingkan pada AIM25 berikutan jumlah
penyertaan layak yang diterima sepanjang tempoh pencalonan adalah terhad.
Dengan
pelarasan tersebut, AIM25 akan mempertandingkan sebanyak 32 kategori,
selain Anugerah Khas Sri Wirama.
Dengan
Dato’ Sri Siti Nurhaliza mendahului senarai pencalonan menerusi 14 pencalonan
serta barisan calon yang mencerminkan kepelbagaian muzik tempatan, tumpuan kini
beralih kepada malam kemuncak AIM25 yang bakal berlangsung di Bumi Kenyalang.
Edisi Jubli Perak itu bukan sahaja menjadi pentas pengiktirafan terhadap karya dan bakat terbaik industri muzik Malaysia, malah dijangka mencipta satu lagi sejarah apabila AIM buat julung kali dibawa ke Sarawak.
.png)

.png)

.png)


.png)

0 Ulasan