Selepas mencipta kontroversi menerusi naskhah Bidaah yang ditayangkan di platform Viu, pengarah dan penerbit wanita terkenal, Erma Fatima sekali lagi bakal mencetuskan keresahan penonton sepanjang Ramadan kali ini menerusi naskhah terbarunya berjudul Walid.
Siri yang diarahkan oleh Pali Yahya ini tampil sebagai sebuah karya berani yang mengangkat pergolakan kepercayaan, kuasa dan manipulasi di sebalik topeng keimanan, sekali gus mengajak penonton menilai realiti secara lebih kritis dan berlapang dada.
Mengikuti kejayaan besar Bidaah tahun lalu, siri 12 episod ini bakal ditayangkan secara eksklusif di Viu bermula 26 Februari 2026. Diterbitkan oleh Rumah Karya Citra, Walid sekali lagi menyatukan gandingan kreatif Erma Fatima selaku pencipta dan penulis skrip bersama Pali Yahya, yang kedua-duanya cukup dikenali menerusi kejayaan Bidaah.
Pergelutan Kuasa di Sebalik Topeng Keimanan
Walid mengisahkan watak Walid lakonan Faizal Hussein, bekas pemimpin ajaran sesat Jihad Ummah yang melarikan diri daripada pihak berkuasa sebelum bersembunyi di kawasan pergunungan bagi membina semula pengaruhnya. Percubaannya untuk bangkit menemukan beliau dengan Habiburrahman (Aqasha), seorang pendakwah berkarisma yang menyembunyikan niat sebenar di sebalik kata-kata indah.
Namun, pakatan yang terjalin bertukar menjadi pertarungan senyap apabila kedua-duanya mula bersaing untuk menguasai kepercayaan, kesetiaan dan kuasa pengikut. Terperangkap di tengah konflik ini ialah Ummi Hafizah (Marisa Yasmin), bekas isteri Walid yang bertekad mengembalikan ajaran sebenar, serta Ustaz Fateh (Dato’ A. Tamimi Siregar), bekas mentor Walid yang pulang dari Kaherah dalam usaha terakhir menyelamatkan anak muridnya yang telah tersasar.
Pertembungan perjalanan watak-watak ini mendedahkan garis halus antara ketaatan dan penipuan, sebelum membawa kepada konfrontasi sarat emosi yang menyentuh soal ego, taubat dan penebusan.
Erma Fatima: Walid Bukan Sekadar Tontonan Tempatan
Ketika ditemu bual bersama media, Erma Fatima menjelaskan bahawa Walid bukan sekadar sebuah karya yang ditujukan untuk penonton Malaysia semata-mata. Malah, siri ini turut bakal ditayangkan di Viu Indonesia, sekali gus memperluaskan capaian karya tempatan ke peringkat serantau.
Menurutnya, Walid menampilkan pembaharuan dari segi naratif penceritaan, namun masih berpijak di bumi nyata. Sebagai penonton yang semakin matang, Erma berharap karya ini dapat diterima secara terbuka meskipun terdapat pendekatan baharu yang diketengahkan.
“Ini bukan magis kosong. Apa yang dipaparkan ialah jurang realiti antara dua golongan yang sering dihormati dalam masyarakat, namun pada masa sama perlu diperhatikan dengan penuh waspada kerana setiap manusia pasti melakukan kesilapan,” jelasnya.
Tambah Erma lagi, terdapat beberapa adegan yang mungkin dilihat berani, namun ia tetap mematuhi etika penyiaran. Beliau turut berharap penonton dapat menilai Walid secara seimbang dengan membuka ruang pemikiran melalui sudut pandang pro dan kontra.
Faizal Hussein: Karya Wajib Tonton Sepanjang Ramadan
Sementara itu, Faizal Hussein yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik FFM25 menerusi naskhah Bunohan mengakui tidak sabar menantikan reaksi penonton terhadap Walid. Menurutnya, karya ini wajar ditonton sepanjang Ramadan kerana mesej serta persoalan yang diketengahkan amat dekat dengan realiti dan cabaran masyarakat hari ini.
“Saya sememangnya teruja untuk melihat reaksi penonton kali ini. Walaupun karya ini signifikan dari segi perjalanan cerita, naratif dan isu yang diketengahkan, saya percaya penonton yang matang mampu melihatnya dari sudut pandang berbeza. Ambillah yang positif dan jadikan yang keruh sebagai pengajaran,” jelasnya.
Barisan Pelakon Mantap Malaysia dan Indonesia
Selain Faizal Hussein dan Aqasha, siri ini turut dibintangi pelakon veteran Dato’ A. Tamimi Siregar sebagai Ustaz Fateh, bintang Indonesia Olla Ramlan sebagai Raras Kartika, Marisa Yasmin sebagai Ummi Hafizah serta Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul.
Gabungan kepakaran kreatif, kekuatan produksi serta perspektif penceritaan dari Malaysia dan Indonesia menjadikan Walid bukti komitmen Viu dalam mengetengahkan karya tempatan berkualiti yang berpotensi menembusi pasaran global.
Walid bakal menemui penonton bermula Khamis, 26 Februari 2026, dengan episod baharu ditayangkan setiap Khamis dan Jumaat, eksklusif di Viu.
.png)

0 Ulasan