Kumpulan band popular tempatan insomniacks kembali dengan sebuah karya yang lebih berani dan emosional menerusi single terbaharu berjudul “Bersuara”, hasil kolaborasibersama Yonnyboii. Lagu ini menandakan satu fasa baharu buat kedua-dua artis, bukan sahaja dari sudut bunyi yang lebih berat dan agresif, malah dari segi mesej yang dibawa, tentang keberanian untuk menyuarakan perasaan dan mempertahankan harga diri.
“Bersuara” lahir daripada pengalaman peribadi, rasa tidak didengari, serta tekanan emosi yang sering dipendam. Menurut insomniacks, lagu ini tercetus daripada perasaan apabila pandangan dan suara seseorang seakan-akan diketepikan. “Lagu ini tentang berdiri untuk diri sendiri, terutama apabila berdepan dengan penindasan atau buli. Ia tentang tahu nilai diri dan berani bersuara,” jelas mereka.
Dari sudut muzik, “Bersuara” menampilkan sisi lebih ‘heavy’ dan gritty, berbeza daripada identiti balada yang sering dikaitkan dengan insomniacks sebelum ini. Walaupun masih mengekalkan elemen emosi yang kuat, lagu ini membuka ruang kepada eksplorasi bunyi yang lebih tegas dan lantang, menandakan perkembangan semula jadi dalam perjalanan muzik mereka.
Kolaborasi bersama Yonnyboii pula menjadi nadi utama kepada keseluruhan lagu. “Yonny ialah jiwa kepada lagu ini. Dia menulis hook dan membawa satu energi yang mentah dan berani. Di tambah ‘grittiness’ yang menjadikan ‘Bersuara’ lebih hidup,” kata insomniacks. Bagi Yonnyboii, “Bersuara” merupakan luahan peribadi yang sangat dekat dengan dirinya.
“Lagu ni terhasil bila saya rasa saya tak didengari oleh sekelompok orang. Jadi saya buat
lagu ni sebagai satu keyakinan untuk bersuara tentang apa-apa kesusahan yang saya lalui,” kongsinya.
Menariknya, Yonnyboii turut memperlihatkan sisi vokal yang lebih berteraskan rock dan alternatif, berbeza daripada gaya rap yang sinonim dengan namanya. “Saya sebenarnya lebih lama menjiwai muzik alternatif berbanding rap. Jadi bila masuk ke genre rock ni, saya rasa lebih selesa. Untuk saya, ini ‘fresh start’ untuk kongsi sisi lain diri saya dengan pendengar,” katanya.
Proses kolaborasi bersama insomniacks juga disifatkan sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan bebas tekanan. “Kerja dengan mereka sangat fun. Tak stress langsung. Saya harap dapat bekerjasama lagi dengan mereka pada masa akan datang,” tambah Yonnyboii.
Secara peribadi, “Bersuara” membawa makna yang mendalam buat Yonnyboii. “Lagu ni tentang meluahkan apa yang kita pendam. Kalau simpan, sakit dia lagi dalam. Jadi bersuara je,” katanya jujur.
Melalui “Bersuara”, insomniacks dan Yonnyboii berharap lagu ini dapat memberi impak kepada pendengar hari ini, menjadi ruang selamat untuk meluahkan emosi dan sebagai peringatan tegas terhadap isu buli. “Kami harap pendengar lebih berani mengekspresikan perasaan mereka dan lepaskan tekanan. Dan paling penting, stop bullying,” tegas mereka. “Bersuara” sudah boleh didengari di semua plaform perstriman digita. JOM!

.jpg)
.jpg)

0 Ulasan