‘Ayat Ayat Cinta’ Ungkap Erti Cinta dan Persahabatan..Assalamualaikum semua..
Ini mungkin ulasan yang sudah terlewat merentasi masa.. tapi tak apa kan.. saya baru tengok.. ini lah yang saya dapat komentarkan..
‘Tidak rugi dan perlu ditonton oleh semua wanita muslim!’, itulah yang boleh saya katakan menerusi filem ‘
Ayat Ayat Cinta’, sebuah karya terbaik arahan Hanung Bramantyo serta lakonlayar oleh Salman Aristo dan Ginatri S. Noer. Ini kisah cinta yang luar biasa yang perlu pengamatan anda dan ia penuh dengan dramatik insiden yang mengujakan perasaan dan minda anda.. Sesuai dijadikan tontonan anda pada bulan Ramadhan yang mulia ini.
Plot Ia berkisar sebuah kisah cinta yang agak kronik melalui perwatakan Fahri Abdillah ( Fedi Nuril ) yang merupakan pelajar Indonesia yang menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir dalam menyambung masternya. Di Mesir, Fahri bersahabat baik dengan Maria Girgis (Carissa Putri) dan persabahatan mereka ditunjangi dengan erti persahabatan yang tulus apatah lagi Fahri amat menghormati kemuliaan hati seorang wanita yang suci. Maria di sini amat mengkagumi budi pekerti Fahri yang disifatkan seorang pemuda muslim yang baik dan amat patuh pada ajaran agamanya. Maria dari segi perwatakannnya adalah seorang wanita beragama Kristian yang amat mengkagumi Ayat Ayat Suci Al Qur’an dan dari situlah pertemuannya dengan Fahri terungkap sedikit erti persahabatan yang ikhlas dan tersemat jua perasaan cinta pada mereka. Ini tidak digambarkan secara langsung oleh Maria, cuma ia hanya terungkap di dalam sebuah diari cinta yang penuh misteri tanpa pengetahuan Fahri. Dan persoalan ini cuba diungkap dan dileraikan oleh Aisyah, permata jiwa Fahri.
Pertemuan Fahri bersama Aisya (Rianti Cartwright) di satu persimpangan antara pergolakan permasalahan dunia di antara protagonist keagamaan yang menentang keras puak bukan Islam daripada kehidupan di dunia Arab, ini terjadi di dalam sebuah tren, lantas memaksa perkenalan pertama Aisya dengan Fahri akan berakhir kepada satu tahap yang akan mengujakan minda dan perasaan anda. Maruah wanita dihormati oleh Fahri yang membuatkan segenap perasaan setiap wanita terpaut pada ketampanan dan kemuliaan hati Fahri. Permasalahan besar yang pasti mengujakan minda anda apabila melihatkan kesanggupan seorang wanita bernama Aisya, yang sanggup mencari satu demi satu bukti siapa sebenarnya Fahri apabila Fahri difitnah dan dipenjarakan. Kesetiaan cinta Aisya pasti membuatkan anda menangis apabila kesanggupan wanita ini berkongsi rasa cinta dengan wanita lain dalam membebaskan Fahri dari hukuman gantung, ini terjadi dalam menyatukan cinta Maria dan suaminya Fahri.
Kekejaman cinta dan permasalahan kekeluargaan memaksa Noura Bahadur lakonan (Zaskia Adya Mecca) yang dirogol bapa angkatnya di Mesir membuatkan Fahri tidak senang duduk melihat wanita diseksa begitu rupa. Ini tidak dibalas budi oleh Noura yang sememangnya menyintai Fahri dalam diam dan dengan rasa dendam bapa angkatnya yang mengupah pembunuhan Maria, telah mengheret Fahri ke muka pengadilan atas pertuduhan yang dirancang , fitnah merogol Noura. Konflik demi konflik yang berlaku membuatkan saya teruja sedetik dengan pelbagai persoalan ‘adakah Fahri akan terlepas dari hukuman gantung’ akibat sistem kehakiman Mesir yang terlalu keras sifatnya.
Nurul Ja'far Abdur Razaq, (Melanie Putria) adalah rakan baik dari Indonesia yang sememangnya menyintai Fahri dan beliau tampil menceritakan perihal sebenar Fahri dari kaca matanya, walaupun terpaksa menipu yang dirinya juga menyintai Fahri.
Naratif ‘
Ayat Ayat Cinta’, boleh diungkap sebagai sebuah kisah yang penuh trilogik dan amat complicated untuk dihayati, dan ia memerlukan pemerhatian yang lebih sempurna apabila anda menonton filem ini. Kisah cinta remaja yang berlandaskan hukum agama dihalusi dengan begitu indah menjadikan ‘
Ayat Ayat cinta’ sebuah naskhah yang wajib ditonton terutamanya buat peminat filem di Malaysia, dan wajar dijadikan wadah anda dalam bulan Ramadhan ini. Pergaulan antara lelaki dan perempuan dengan batasan yang mengikut lunas-lunas islam ditampilkan begitu indah di dalam filem Ayat Ayat Cinta dengan barisan pelakon yang cukup versatile menjadikan ia sebuah karya yang perlu dihormati. Saya boleh katakan yang filem ini seperti filem Iran atau filem dari negara timur tengah yang cukup bagus dari segi naratif penceritaannya, apatah lagi pencahayaan sinematografinya dan muzik skornya cukup membantu perjalanan cerita filem ini yang menggunakan bahasa pengantar Indonesia dan sedikit dicampurkan bahasa Arab. Bagi anda yang menonton Ayat Ayat Cinta, anda seolah-olah meletakkan diri anda di dalam kelompok masyarakat tersebut yang penuh dengan ranjau dan duri terutama di tengah-tengah Bandar Mesir yang penuh dengan segala pergolakan. Kaum wanita dilayan begitu istimewa dan adakalanya tidak dan ini digambarkan pada pemikiran Fahri yang tidak sanggup melihat titisan air mata seorang wanitapun dihadapannya. Ini membuatkan ramai wanita terpaut pada ketampanan dan kemuliaan hati Fahri yang sememangnya dilahirkan mempunyai perasaan sedemikian. Rasa cinta dalam persahabatan terjadi pada Maria, yang sukar melafazkan bait-bait cinta melalui kata-kata dan hanya diadaptasikan melalui gerak hati yang diukirkan di dalam sebuah diari merah miliknya, yang akhirnya hanya tinggal kenangan walaupun impian memiliki Fahri hanya sedetik cuma. Layanan terhadap wanita hanya mulia disisi Fahri, tetapi ia terjadi amat kejam pada Noura yang menjadi mangsa habuan seks bapa angkatnya. Lantaran itu, memaksa Noura berdusta di Mahkamah bahawa Fahri memperkosanya, dan ini tidak dapat direalisasikan dendam bapa angkatnya apabila Maria muncul di muka pengadilan di saat-saat getir perbicaraan tersebut bagi membuktikan yang Fahri tidak bersalah. Ini merisaukan bapa angkatnya yang gagal merancang pembunuhan Maria dan akhirnya ia terjerat dengan sikap ketamakkannya sendiri. Perasaan demi percintaan yang memaksa Aisya mencari bukti sebenar adakah suaminya, Fahri bersalah atau strategi yang dirancang bapa angkat Noura?. Semuanya akan terjawab dalam sebuah filem yang pasti membuatkan anda menitis air mata menghayati bait-bait lirik lagu dengan sebuah kisah yang menyayat hati.. Ayat-Ayat Cinta semestinya resepi anda dan wajib ditonton oleh semua gadis muslim diluar sana..
Salam keikhlasan.. Ramadhan Al Mubarak
Amy Ikram Ismail
0 Ulasan