HAFIZ SUIP LANCARKAN "YANG ENGKAU MAHUKAN"

 

Biarpun sudah 17 tahun bergelar penyanyi rakaman suara profesional bermula 2009 selepas menjuarai Akademi Fantasia Musim 7, namun Hafiz Suip mengakui masih berasa gugup tatkala merakamkan suara untuk single terbaharunya, YANG ENGKAU MAHUKAN. 
Single YANG ENGKAU MAHUKAN terbitan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd bersama Sony Music Entertainment Malaysia ini merupakan karya lagu ciptaan Ajai sepenuhnya dan ia sekaligus menyaksikan kolaborasi Hafiz bersama komposer tersohor itu untuk kesekian kalinya. 
Mengulas lebih lanjut mengenai kemunculan single baharunya itu, Hafiz berkata, dia benar-benar bersyukur apabila dikurniakan sebuah karya lagu baharu daripada Ajai. 

“Apa yang saya suka dengan karya lagu   Abang Ajai ini adalah kerana melodinya yang unik. Maksud saya, ia tidak statik dengan melodi atau bunyi yang sama. Sebab, itulah saya masih kekal menggunakan khidmat Abang Ajai sebagai komposer.
“Saya akui saya berasa agak gementar juga untuk membawakan lagu YANG ENGKAU MAHUKAN ini kerana kita tidak tahu apa reaksi dan ekspetasi daripada peminat-peminat. Apatah lagi pada masa sekarang ini, industri muzik kita sudah dipenuhi dengan dengan kemunculan ramai penyanyi solo lelaki sejak kebelakangan ini.
“Ia memang satu cabaran dan pada masa, ia juga imemberikan satu tekanan kecil juga buat saya. Namun, ini adalah hadiah saya khas untuk peminat-peminat yang telah sekian lama menunggu kemunculan single baharu saya dan saya berharap dan berdoa agar peminat akan menyukainya,” katanya membuka suara. 
Hafiz yang baharu saja mendirikan rumahtangga buat kali kedua dengan wanita pilihan hatinya bernama, Fiona Safiya di Petrajaya, Kuching, Sarawak pada 13 Februari 2026 lalu juga turut mengakui bahawa single Yang Engkau Mahukan ini adalah kisah mengenai diri dan kehidupannya. 
“Kisah mengenai diri dan kehidupan saya ini cuba saya sampaikan dalam sebuah lagu. Yang tahu… tahulah dan tergantunglah bagaimana interpretasi peminat terhadap lagu ini,” jelasnya lagi. 

Menceritakan mengenai proses penghasilan lagu ini, Hafiz berkata, sebelum dia merakamkan suara untuk lagu ini, dia terlebih dahulu ‘bertapa’ di dalam studio bersama Ajai. 
“Kami duduk dan berbincang untuk penghasilan lagu ini. Tapi Alhamdulillah, kali ini, ia tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk dilakukan. 
“Namun, rakaman suara untuk lagu ini terpaksa dilakukan sebanyak dua kali disebabkan kita perlu mencari kesesuaian keys suara saya untuk lagu ini. 
“Untuk rakaman suara kali kedua, Abang Ajai telah menaikkan satu ‘key suara’ saya dan akhirnya dia berpuas hati dan memberitahu bahawa barulah hasil rakamannya bersesuaian dengan karektor dan dinamika vokal saya,” katanya yang bakal menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-36 pada esok hari. 
Anak jati kelahiran bumi kenyalang ini juga berharap peminat  akan dapat menerima hasil karya lagu baharunya bersama Ajai ini. 
“Terimalah Yang Engkau Mahukan,” katanya. 
Sementara itu, komposer Ajai pula menyatakan, dia tidak punya masalah untuk bekerja dengan Hafiz menerusi lagu itu kerana penyanyi itu sudah membuat tugasan untuk memahami lagu itu baik dari sudut melodi mahu pun liriknya. 
“Alhamdulllah, dia benar-benar  menjiwai dan memberikan yang terbaik untuk Yang Engkau Mahukan. Dia juga dah faham tugasnya dan apabila masuk studio rakaman dengan saya, dia benar-benar sudah bersedia.  
“Kematangannya dalam setiap sudut aspek muzik juga lebih terserlah. Dia tahu apa yangg dia mahukan. Lebih-lebih dari dari sudut i teknikal dan bunyi-bunyian yang ‘up to date’. 
“Suara dan lunaknya masih ada dan kekal dan paling menarik, penghayatan semakin mendalam, maka dia dapat memberikan nyanyian yang lebih sempurna kepada saya,” katanya. 
Menurut Ajai lagi, single Yang Engkau Mahukan ini mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan bermula dengan perbincangan mengenai hala tuju dan konsep album Hafiz. 
“Bila segalanya sudah difahami dan dipersetujui, baru saya  ilhamkan melodi-melodinya dan akhirnya terhasillah ‘YANG ENGKAU MAHUKAN’.
“Ada banyak jenis kategori lagu-lagu galau tetapi saya memilih sasaran pedengar muzik Hafiz dan saya sendiri. Kami mahukan kematangan dan berharap pendengar dapat menerima ia terima seadanya. Yang penting, mesej lagu sampai, menyentuh rasa di hati dan mampu tersemat dalam jiwa pendengar,” hurainya lagi. 
YANG ENGKAU MAHUKAN yang diterbitkan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd dan Sony Music Entertainment Malaysia telah pun berada di semua platform digital muzik utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music mulai 16 Januari 2026 yang lalu. 

Catat Ulasan

0 Ulasan