NABILA RAZALI TAK SABAR NAK RAYA!

Selepas mencetus fenomena menerusi Raya Mana? dua tahun lalu, Nabila Razali kembali menghidupkan semangat Aidilfitri dengan single terbaharu berjudul TAK SABAR NAK RAYA! Namun kali ini, Bella tidak sekadar hadir dengan lagu raya biasa.

Sebaliknya, beliau membina sebuah semesta raya yang lebih tersusun apabila TAK SABAR NAK RAYA! tampil sebagai prekuel kepada Raya Mana?, melengkapkan perjalanan emosi seorang wanita sebelum dan selepas bergelar isteri.

Jika Raya Mana? memaparkan dilema memilih kampung selepas berkahwin, TAK SABAR NAK RAYA! membawa pendengar kembali ke momen lebih awal, ketika Bella masih bujang, tinggal bersama keluarga dan merantau mencari rezeki di kota sebelum pulang menyambut Syawal.

Naratif ini turut diperkuatkan menerusi muzik video yang menggambarkan detik pertemuan awal bersama watak lakonan Aizat Saha, sekali gus menjadikan kedua dua karya ini saling berkait secara kreatif dan emosional.

Menurut Bella, lagu ini lahir daripada perasaan paling jujur menjelang akhir Ramadan.

“Rasa tak sabar itu memang universal. Kita sibuk gosok baju raya, fikir nak pakai apa, bayangkan duit raya dan suasana pagi Syawal walaupun puasa masih berbaki sehari. Itulah momen manis yang Bella mahu rakamkan dalam lagu ini,” ujarnya.

Formula Ceria Yang Direka Khas Untuk Bella

Lagu ini merupakan hasil ciptaan Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li Hsia, Foong Le Xin dan Asyraf Nasir, dengan MFMF sebagai produser dan penyusun muzik.

Menurut Brendan, lagu ini memang dicipta dengan membayangkan karakter vokal Bella yang cerah, manis dan mudah didekati semua peringkat umur.

Struktur lagunya ringkas dan berulang dengan frasa TAK SABAR NAK RAYA! sebagai hook utama agar cepat melekat di ingatan. Bella sendiri mencadangkan elemen joget perlahan bersama sebutan ea ea ea yang kini menjadi antara bahagian paling mencuri perhatian.

Dalam suasana saingan lagu raya yang sentiasa sengit setiap tahun, pasukan produksi memilih untuk tidak terlalu tertekan mengejar status hit. Sebaliknya, mereka memberi fokus kepada kejujuran emosi dan pengalaman sebenar masyarakat Malaysia menjelang Syawal.

Sentuhan Komedi Nabil Ahmad Tambah Warna dan Penggambaran 12 Jam di Hulu Langat

Rakaman vokal disiapkan dalam tempoh kira kira empat jam dengan kehadiran istimewa Nabil Ahmad yang menyuntik elemen humor dalam lagu ini.

Bella menyifatkan Nabil sebagai profesional dan penuh idea kreatif sepanjang sesi rakaman. Gabungan vokal ceria dan sentuhan komedi menjadikan lagu ini bukan sahaja menghiburkan, malah memiliki identiti tersendiri.

Muzik video TAK SABAR NAK RAYA! menjalani penggambaran selama 12 jam di sebuah rumah kampung tradisional di Hulu Langat. Walaupun berdepan cabaran cuaca tidak menentu serta keperluan menyelaraskan tarian berkumpulan, keseluruhan produksi berjaya disiapkan mengikut jadual.

Turut memeriahkan muzik video ialah barisan pempengaruh seperti Aggy, King Oyen, Adik Yusuf dan Shaffiq Erwin yang menghidupkan suasana raya merentas generasi, daripada kanak kanak hingga dewasa.

Dipilih Sebagai Lagu Tema Mini Siri Viu

Menariknya, TAK SABAR NAK RAYA! turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi mini siri 20 episod Di Sebalik Cahaya Raya yang akan mula bersiaran di Viu pada 26 Februari 2026.

Mini siri ini mengangkat kisah seorang penyanyi yang berdepan kecaman netizen apabila single rayanya turut dirakamkan oleh penyanyi indie lain, sebuah naratif yang dekat dengan realiti industri hiburan masa kini.

Diterbitkan oleh Nabila Razali Entertainment bersama Sony Music Entertainment Malaysia serta Malika Entertainment and Management, single ini kini boleh distrim di platform utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 27 Februari 2026.

Dengan naratif yang tersusun, hook yang mudah melekat dan sentuhan emosi yang dekat dengan realiti, TAK SABAR NAK RAYA! berpotensi mengulangi impak Raya Mana? dan sekali lagi menguasai senarai lagu raya pilihan ramai.

Catat Ulasan

0 Ulasan