Ekoran daripada Filem 'Anu Dalam Botol'... Isu 'Comolot' kini di Kosmo...

Ekoran daripada filem 'Anu Dalam Botol' yang bakal diterbitkan oleh Raja Azmi tidak lama lagi, tempiasnya masih terkena pada filem 'comolot' arahan aku, Amy Ikram. Kata mereka selepas 'comolot', keghairahan produser dan pengarah filem untuk mengetengahkan isu 'songsang' dalam filem masih membuak-buak. Apakah dengan terhasilnya filem 'comolot', maka ada di antara mereka para produser mahu membikin genre sedemikian?. Jom.. mari kita baca petikan artikel mengenai budaya songsang dalam akhbar kosmo, edisi Selasa 17 Mac 2009..


Filem Kisah Gay, Lesbian makin digemari Produser Malaysia, Budaya Songsang jadi trend..

oleh : Faizal Saharuni, Feride Hikmet Atak dan Jessabell Soo


KUALA LUMPUR- Adakah budaya songsang sudah menjadi satu trend atau ia sekadar kontroversi murahan tanpa mengira sensitiviti masyarakat?. Demikianlah persoalan yang timbul ekoran semakin banyak penerbit filem dan drama Malaysia ghairah menerbitkan karya yang menjurus kepada kehidupan sesama sejenis, baik gay mahupun lesbian. Babak-babak seks, adegan ranjang atau ciuman mulut ke mulut antara sesama lelaki atau wanita kini bukan lagi perkara yang 'dilarang' dalam penghasilan karya seni tempatan yang nampaknya dihalalkan sejak kebelakangan ini. Malah penerbit dan pengarah seronok dan berbangga dengan penghasilan karya-karya seumpama itu sehingga sanggup mempromosikan hasil idea mereka dengan gah sekali. Mereka membuatkan seolah-olah budaya gay atau lesbian sesuatu yang boleh diterima oleh rakyat Malaysia tanpa mengira sensitiviti adab dan agama.

Filem pendek terbaru berjudul comolot, misalnya mengangkat jalan cerita berkaitan golongan homoseksual sehingga ia dilabelkan sebagai Filem Gay Malaysia Pertama. Comolot di ambil daripada perkataan bahasa pasar yang merujuk kepada erti 'cium mulut'. Filem arahan Mohd Ikram Ismail atau Amy Ikram Ismail yang dihasilkan pada 2007 itu dikatakan menjadi pencetus kepada fenomena filem seks sesama jenis di negara ini. Dilakonkan oleh Remy Ishak sebagai Daniel dengan Ben Quariel yang melakonkan watak Aiman, filem pendek itu menjadi perbualan panas segelintir peminat filem yang pernah menyaksikan tayangan filem itu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada Julai 2007.

Sebuah lagi filem yang turut mencetuskan kontroversi ialah filem Histeria arahan James Lee yang ditayangkan pada pertengahan 2008. Filem yang sama turut memaparkan aksi ciuman mulut antara sepasang kekasih lesbian yang dilakonkan oleh Scha Al-Yahya dan pendatang baru, Reanna.

Sementara itu, penerbit yang cukup terkenal dengan kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman pula sedang dalam usaha menerbitkan sebuah filem bertemakan hidup golongan gay yang menjalani kehidupan terlarang melalui filem Anu Dalam Botol. Perkataan 'anu' dalam filem itu merujuk kepada kemaluan lelaki. Melalui satu watak filem itu, Raja Azmi memperlihatkan kehidupan seorang lelaki yang sanggup menjalani pembedahan membuang kemaluannya hanya kerana mahu menjadi kekasih kepada seorang lelaki lain.

Terbaru, penerbit drama yang kini tampil dengan imej bertudung, Sheila Rusly juga bakal menayangkan sebuah drama yang berjudul 'Mabuk Astrogen' yang memaparkan kehidupan lelaki yang jatuh cinta dengan kaum sejenisnya. Ia dilakonkan oleh Roslan Shah dan Fizz Fairuz.


apa kata selebriti mengenai isu ini?

Roslan Shah, Pelakon dan Pengacara
'Penonton harus ingat ia sekadar lakonan semata-mata .
Ia bukan diri sebenar seorang pelakon'


Fizz Fairuz, Pelakon
' Kalau orang nak gelarkan saya gay, saya tak kisah
kerana dalam dunia filem, mesej adalah penting'



Scha, Pelakon
' Saya tak malu berlakon watak lesbian dan ia sedikitpun
tidak menjejaskan reputasi saya sebagai seorang pelakon.


* berita selanjutnya mengenai filem Anu Dalam Botol, sila dapatkan akhbar kosmo hari ini.

p/s: Susah jika kita membikin filem secara jujur, kerana kejujuran dalam berkarya sering di salah ertikan. Jadi nantikanlah juga kesinambungan kisah comolot antara kesemua watak tersebut, akan datang.... Persoalan akan terungkai satu demi satu.. tepuk dada tanya selera.


Catat Ulasan

1 Ulasan

Paan Lee berkata…
for me, we have to look into the positive side of each film produced... simple je, be open mindedla skit.. :D