DVD Geng Penggembaraan Bermula : Awas Jangan Tertipu!!!


sumber : Berita Harian

DVD Geng: Pengembaraan Bermula jadi mangsa pemalsuan

AWAS kepada peminat karektor Upin dan Ipin yang mahu mendapatkan cakera video digital (DVD) Geng: Pengembaraan Bermula.

Apa yang wujud ketika ini bukan saja DVD cetak rompak tetapi juga pemalsuan daripada pihak tidak bertanggungjawab. Sekali pandang, DVD palsu memang tidak banyak berbeza dengan yang tulen. Ini kerana kulit DVDV hampir sama. Malahan lanun rompak DVD palsu ini juga tidak ada rasa malu dan bersalah langsung apabila turut mencetak iklan peraduan yang menyediakan hadiah sehingga RM75,000.

Kegiatan itu ternyata sangat mengecewakan Pengarah Urusan Les’Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi yang menganggap ia sebagai penipuan secara terang-terangan dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan wajar kepada pihak tidak

“Sejak filem ini ditayangkan Februari lalu, alhamdulillah halangan daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk mencetak rompak filem ini berjaya disekat hanya untuk tujuh bulan saja.

“Sebaik filem ini dihasilkan dalam bentuk DVD dan mula dipasarkan seminggu sebelum Aidilfitri, kita menyedari pada masa yang sama filem ini mula dicetak rompak dan mula berlambak di pasaran gelap.

“Perkara ini masih biasa buat saya. Saya cuba melihatnya masalah ini secara positif walaupun ia perlu dibanteras. Secara positifnya aktiviti cetak rompak ini sedikit sebanyak membantu mempromosi dan mempopularkan penjenamaan Upin & Ipin.

“Lebih lagi saya percaya peminat setia filem ini cukup mengenali barangan palsu dan tulen berdasarkan kualiti dari segi semua aspek penghasilannya. Ratanya mereka memilih yang tulen sebagai tanda sokongan mereka terhadap kita.

“Namun apa yang membuatkan saya begitu kecewa, mereka bukan saja mencetak rompak filem ini malah lebih berani sehingga menipu semua pihak termasuk peminat filem ini dengan memalsukan hampir keseluruhan penghasilan DVD yang asli,” katanya pada sidang media yang diadakan di pejabatnya di Shah Alam, Jumaat lalu.

Hadir sama Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang juga Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah.

Burhanuddin berkata, apa yang mengejutkan ialah penjualan DVD filem Geng: Pengembaraan Bermula yang dipalsukan disedari berada di kedai pengedar yang sah seminggu yang lalu, terutama di Kota Bharu, Kuantan dan Johor Bahru.

Katanya, pemalsuan itu membabitkan hampir keseluruhan penghasilan DVD seperti pembungkusan, borang peraduan, pencetakan dan hologram iaitu tanda pengesahan daripada daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Jika diperhatikan betul-betul di kedai yang mengedar, memang kita sukar untuk mengenal pasti barangan yang tulen dengan yang palsu kerana penghasilannya sama saja.

“Namun kita boleh mengenal pasti apabila pihak mereka tidak dapat memalsukan Sijil Perakuan B yang diperoleh dari Lembaga Penapisan Filem (LPF). Pelekat sijil ini terdapat di belakang kotak DVD.

“DVD tulen dijual dengan harga RM35.90 dan kita beri poster percuma. Kalau membeli DVD ini dengan harga murah dan tidak disediakan poster percuma, DVD itu palsu. Penjual menurunkan harga sehingga RM29.90 dengan alasan tidak menyediakan poster kerana sudah habis.

“Saya harap peminat yang ingin mendapatkan DVD filem ini dapat perhatikan perkara yang disebut agar tidak tertipu,” katanya.

Selain itu, Burhanuddin berkata, beliau sudah membuat laporan polis dan Cyber Security Malaysia berhubung dengan aktiviti memuat turun (down load) karya filem Geng: Pengembaraan Bermula yang kini secara haram berleluasa di internet.

Beberapa laman yang menyediakan perkhidmatan muat turun secara tidak sah ini melakukan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dengan menyalin semula karya filem ini tanpa mendapat apa-apa atau mana-mana kebenaran dari pihak Les' Copaque Production Sdn Bhd iaitu pemilik sah karya filem itu.

Aktiviti menjahanamkan industri filem

SEMENTARA itu, Ahmad Puad berkata, perkara tidak berperikemanusiaan ini dibimbangi akan melumpuhkan industri perfileman negara.

“Sekiranya perkara ini tidak disekat, berkemungkinan pihak yang tidak bertanggungjawab ini lebih berani untuk melakukan perkara yang sama pada filem tempatan yang lain.

“Pemalsuan ini adalah satu penipuan membabitkan banyak pihak, mereka berani menipu kerajaan dengan menggunakan hologram yang asli. Apabila kita membawa contoh hologram ini kepada KPDNKK untuk disiasat, mereka mendapat kesan bahawa hologram ini adalah dikeluarkan untuk filem Hindi pada tahun 2006.

“Menurut pihak KPDNKK mereka kini sedang membuat siasatan untuk mengetahui syarikat yang pernah menerima holygram ini dan perkara ini boleh diselesaikan.

“Pihak KPDNKK berjanji akan mengenakan tindakan yang berat mengikut beberapa pertuduhan yang terdapat di dalam akta hak cipta,” katanya.
..........................................................................................................................................................................
p/s: Yang peliknya, cover DVD cetak rompak boleh sama dengan cover DVD tulen.. Kepada anda peminat filem tentunya anda akan mendapatkan yang original, cuma yang cintakan pada cetak rompak, mungkin anda akan download percuma atau beli yang private. sepatutnya pihak kerajaan mengenakan hukuman SEBAT pada semua penjual DVD cetak rompak dan hukum GANTUNG pada semua pembekal cetak rompak. Kalau tak.. nasib penggiat dan karyawan filem akan hancur... cuba anda bayangkan seandainya kerja titik peluh anda dicuri dan diplagiat?. Tentunya anda rasa nk lempang kan!!!. okaylah.. apa2 pun saya belum lagi mendapatkan DVD Geng yang tulen ini lagi.. insya allah akan saya beli nanti okay...

Catat Ulasan

2 Ulasan

comic_fanz berkata…
tak tengok pun lagi cerite geng.. cd pun x beli.. kat umah xde dak kecik nak tengok sama.. nak tengok ngan sepupu bleh gak kan..

tengok ar.. nanti beli kalo de time.. definitely ori..
syafiq berkata…
dragon jester sebenarnya bapak cetak rompak!