Benarkah '2 Alam'... tidak diluluskan tayangannya oleh LPF Malaysia?



Tinggal beberapa hari lagi, filem terbitan Dr. Rozmey akan menjengah pawagam tempatan di seluruh semenanjung tanah air termasuk Sabah dan Sarawak mulai 27 Mei 2010. Filem yang dijangkakan akan mengutip kutipan RM 12 juta oleh penerbitnya, Dr. Rozmey kini di katakan filem yang tidak diluluskan tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia ( LPF). Benarkah andaian yang dikupas oleh Akmal Abdullah, wartawan Berita Harian tersebut?. Mari kita lihat apa yang ditulis beliau dalam akhbarnya itu..

amyikram: Sampai sekarang.. Tayangannya pada Media belum diputuskan lagi. Apakah tarikh 26 Mei ini dikatakan Malam Gala Night?. nantikan sahaja okay.

LPF belum lulus Tayangan 2 Alam?

oleh: Akmal Abdullah ( Beita Harian : 21 Mei 2010)

FILEM sulung terbitan dR Movie Production Sdn Bhd, 2 Alam yang dihebahkan oleh penerbitnya bakal menemui penonton bermula Khamis depan sehingga hari ini masih belum diluluskan tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF). Penerbit filem itu baru saja menghantar salinan filem berkenaan kepada LPF pada Isnin lalu selepas persoalan mengenai tapisan filem berkenaan dibangkitkan menerusi akhbar ini (menerusi ruangan Hip) pada minggu sebelumnya menyebabkan pihak LPF menghubungi syarikat pengeluaran filem itu bagi mengetahui kesahihan tarikh tayangan dan keperluan tapisan sebelum tayangan kepada umum.

Ini bererti mungkin jika tidak didedahkan menerusi media massa, pihak penerbitan syarikat itu belum menghantar filem mereka kepada LPF untuk permohonan kelulusan sedangkan waktu tayangan yang dihebahkan semakin dekat. Jurucakap LPF ketika dihubungi kelmarin, mengakui pihaknya baru saja menerima salinan penuh filem 2 Alam daripada syarikat penerbitannya pada 17 Mei lalu apabila badan penapisan itu sendiri yang memintanya berbuat demikian dengan kadar segera.

“Kami sendiri hubungi mereka selepas meneliti laporan dalam media massa mengenai filem ini yang belum meminta kelulusan LPF sedangkan mahu ditayangkan pada 27 Mei seperti dihebahkan penerbitnya. Kita hubungi mereka dan memberi teguran supaya tidak menghebahkan tarikh tayangan kepada umum selagi filem tidak mendapat kelulusan LPF sebab bimbang kemungkinan sesuatu berlaku jika contohnya filem tidak mendapat kelulusan atau perlu dibuat potongan babak. Sehingga hari ini (Rabu), pihak kami belum menapis dan meneliti isi filem itu tetapi mengikut kebiasaan tempoh tapisan akan dilakukan selama lima hari dan kemudian barulah surat kelulusan diberikan. Ia bergantung kepada isi dan cerita filem yang dipaparkan, jika tidak ada apa-apa yang perlu dipotong dan Pengerusi LPF berpuas hati, barulah ia diberi kelulusan,” katanya kepada Hip.

Minggu lalu, ruangan Epilog (Hip - 13 Mei 2010) membangkitkan persoalan mengenai sama ada 2 Alam sudah memohon kelulusan LPF atau sebaliknya kerana penerbit filem itu tidak mahu menggunakan skim Syarat Wajib Tayang (SWT) yang dikendalikan Finas seperti kebiasaan yang dibuat oleh penerbit filem lain.
Hebahan mengenai tayangan filem itu yang dikatakan akan bermula 27 Mei ini dibuat secara meluas iaitu menerusi pembelian iklan dalam akhbar dan radio, selain menerusi temu bual bersama media massa.

Bagaimanapun, penerbit filem itu, Datuk Dr Rozmey Che Din, dalam kenyataannya kepada Harian Metro kelmarin, memberitahu filem itu sudah siap sepenuhnya dan hanya menunggu tarikh tayangan di panggung pada 27 Mei ini, selain mengatakan apabila pihaknya tidak mengambil pinjaman daripada Finas maka mereka tidak perlu terikat dengan skim SWT. Dr Rozmey yang yakin 2 Alam mampu mencapai sasaran kutipan tiket RM12 juta juga berkata, pihaknya tidak nampak masalah terhadap proses keizinan LPF kerana pihaknya sentiasa patut kepada peraturan ditetapkan. “Sebagai rakyat saya mematuhi segala prinsip kenegaraan dalam berkarya.” kata Dr Rozmey. Mengulas lanjut mengenai kelewatan menghantar filem untuk tapisan, jurucakap itu menjelaskan, apa yang dilakukan pihak dR Movie Production Sdn Bhd adalah tidak sewajarnya berlaku kerana ia boleh mengundang masalah.

“Sepatutnya mana-mana penerbit filem hendaklah menghantar permohonan untuk kelulusan filem mereka lebih awal sebelum memilih dan mengumumkan tarikh tayangan kepada orang ramai. Kita bimbang berlaku masalah jika filem itu tidak diberi kelulusan seperti dijangka penerbit kerana mungkin ada masalah untuk membuat pemotongan babak atau mungkin jika tidak lulus tayangan, ia akan menyusahkan penerbit filem itu sendiri sedangkan mereka sudah menghebahkan tarikh tayangan. Seperti filem terbitan dR Movie Productions Sdn Bhd ini, sepatutnya mereka memohon kelulusan lebih awal. Apabila ditegur mereka kata cuma nak buat gimik. Kami nasihatkan penerbit filem lain juga supaya mengikut prosedur dan peraturan sekalipun hendak buat gimik kerana kelulusan hendaklah diperoleh sebelum mengumumkan tarikh tayangan.

“Kami akui sebelum ini penerbit 2 Alam tidak menghantar salinan filem itu kepada LPF dan hanya menghantarnya pada 17 Mei selepas diminta berbuat demikian, itu pun selepas kami mengetahui hal ini menerusi laporan dalam akhbar. Sepatutnya penerbit filem ini kena hantar kepada LPF dulu untuk tapisan sebelum promosi dan radio diadakan. Syarikat ini juga baru saja mendaftar dengan LPF kira-kira minggu lepas , sebelum ini mereka guna nama syarikat lain untuk terbitkan filem berjudul Jalang,” kata jurucakap itu.

p/s: Apakah benar ia boleh pecah panggung menjadi RM 12 juta. Nantikan sahaja okay. Jika ada pi tonton maka anda juga turut melabur menjadi RM 12 juta. hhehehe. Filem yang dinanti-nantikan tayangannya...

Catat Ulasan

0 Ulasan