Selepas lebih tiga dekad mengukir nama dalam industri seni tanah air, Penyanyi Nourul Depp kini melangkah berani ke fasa baharu apabila mempertaruhkan kemampuan diri menganjurkan konsert solo, For You Nourul di bawah syarikat miliknya sendiri, ND Entertainment.
Langkah berani itu bagaimanapun tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, khususnya membabitkan soal kewangan, ketakutan serta kebimbangan yang hadir sepanjang proses merealisasikan konsert berkenaan.
Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata keputusan mengambil alih penganjuran konsert bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila namanya sudah digunakan lebih awal bagi tujuan promosi.
“Apabila nama saya sudah digunakan, saya perlu teruskan. Cuma pada waktu itu saya tertanya-tanya bagaimana mahu melaksanakannya.
“Namun, saya bersyukur kerana dikelilingi pasukan, sahabat dan individu yang percaya kepada saya. Peminat juga memberi sokongan apabila mereka membeli tiket sejak awal,” katanya.
Menurut Nourul, perjalanan menjayakan konsert itu menuntut keberanian dalam membuat keputusan, selain usaha berterusan mendapatkan penaja bagi memastikan kelancaran penganjuran.
“Proses mencari penaja dan membangunkan idea bukan mudah, tetapi di situlah saya banyak belajar. Suami juga sentiasa mengingatkan supaya saya tidak terlalu tertekan dan menikmati setiap proses yang dilalui,” katanya yang menerima sokongan penuh suami, Eric Daniel Depp.
Dalam pada itu, Nourul turut berdepan ujian peribadi apabila abangnya disahkan menghidap kanser darah, sekali gus memberi kesan emosi yang mendalam.
“Sudah tentu ia meruntun perasaan, tetapi saya percaya setiap ujian itu hadir dengan hikmah dan menjadikan saya lebih kuat,” katanya.
Konsert For You Nourul yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 17 April lalu kini ditunda ke 30 Mei 2026 bagi memberi ruang kepada perancangan lebih rapi, selain mengambil kira faktor musim perayaan agar peminat dapat membuat persiapan dengan lebih selesa.
Menurut Nourul, perubahan tarikh itu juga memberi kelebihan dari segi penyusunan produksi dan penglibatan artis jemputan.
“Konsert ini adalah satu gambaran awal kepada fasa baharu dalam perjalanan saya. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi satu permulaan dengan pemikiran, tenaga dan visi yang berbeza,” katanya.
Tambahnya, pengambilalihan penganjuran daripada pihak terdahulu menjadi titik penting yang membuka ruang kepada ND Entertainment untuk tampil sebagai penganjur rasmi.
Konsert ini juga membawa makna tersendiri apabila menandakan kemunculan semula Nourul selepas hampir 15 tahun memperlahankan kerjaya seni bagi memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan.
Malam istimewa itu bakal diserikan dengan kehadiran penyanyi Mimifly sebagai artis jemputan, manakala Eddie Slam diberi kepercayaan sebagai pengarah muzik bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap terbaik.
Konsert berdurasi antara satu setengah hingga dua jam itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada jam 8 malam dengan pengisian yang dirancang khusus sebagai tanda penghargaan kepada peminat.
Tiket konsert ditawarkan pada harga RM198 bagi kategori Sehati Sejiwa, RM298 Cinta Azali, RM328 Keliru dan RM388 Kerana Terluka, manakala pakej VIP Box berharga RM6,000. Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U.
“Saya mahu mempersembahkan apa yang telah saya pelajari selama ini. Tajuk For You membawa maksud yang cukup dekat di hati saya, iaitu segala yang dipersembahkan adalah khusus buat peminat dan menggambarkan diri saya sebenar,” katanya.
Dengan sokongan padu daripada peminat serta pasukan produksi, Nourul optimis For You Nourul bakal menjadi detik istimewa yang menggabungkan elemen nostalgia, emosi dan penghargaan terhadap perjalanan seni yang telah dibinanya sekian lama.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(60).png)
.png)
.png)
.png)


0 Ulasan