TUMPANG POPULARITI SITI NURHALIZA? IRENE CATALINA AKHIRNYA BERSUARA

Sejak membuat kemunculan semula dalam industri muzik sekitar September tahun lalu, nama penyanyi Irene Catalina semakin mencuri perhatian, sekali gus menjadi topik perbualan dalam kalangan netizen.

Terbaharu, penampilannya di acara The Music Run by AFFIN yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, turut mengundang pelbagai reaksi. Ada yang memuji, namun tidak kurang juga segelintir pihak yang mempertikai kehadirannya di pentas tersebut.

Mengulas perkara itu, Irene memilih untuk tidak melayan kritikan secara berlebihan, sebaliknya kekal fokus terhadap perkembangan positif dalam kerjayanya.

“Saya ada terbaca komen netizen yang bertanya siapa saya dan mempertikai kenapa saya membuat persembahan di acara itu. Bagi saya, tidak mengapa. Saya lebih memilih untuk kekal tenang dan fokus pada perkara yang positif,” jelasnya.

Menurut Irene, selain komen terbuka di media sosial, dia turut menerima mesej peribadi (DM) yang mempersoalkan kredibilitinya, malah ada yang mendakwa dirinya cuba ‘menumpang populariti’ penyanyi tersohor, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang turut membuat persembahan pada acara sama.

“Ada yang bertanya siapa saya dan mengatakan saya cuba menumpang populariti Tok Ti. Namun, saya harap mereka dapat membuka hati untuk menerima saya dan menghargai usaha saya dalam berkongsi bakat,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Irene mengakui peluang untuk beraksi di pentas berprestij itu sebagai satu rezeki yang amat disyukuri, apatah lagi dapat berkongsi pentas bersama barisan artis ternama.

“Saya percaya setiap rezeki itu datang daripada Allah SWT. Saya rasa bertuah dapat berkongsi pentas dengan artis-artis hebat, khususnya Tok Ti. Pengalaman ini memberi semangat untuk saya terus melangkah ke hadapan,” ujarnya.

Pada malam tersebut, Irene mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Golden (Huntrix), Mahu Apa Lagi serta Tabola Bale (Silet Open Up), yang berjaya menyerlahkan versatiliti serta potensinya sebagai penyanyi solo.

Walaupun mengakui perasaan gemuruh sebelum naik ke pentas, Irene tetap memberikan persembahan terbaiknya.

“Sejujurnya saya memang gementar, tetapi saya hanya fokus untuk memberikan yang terbaik. Sewaktu bersama kumpulan Angels dahulu, saya pernah membuat persembahan di acara besar, namun ini merupakan pengalaman pertama saya kembali ke pentas besar sejak bergerak solo,” jelasnya.

Kini, Irene dilihat semakin aktif mengorak langkah dalam industri muzik tempatan. Selain memenuhi undangan persembahan korporat sekitar ibu kota, beliau juga sedang giat mengumpul material bagi penghasilan lagu baharu yang dijangka bakal menemui peminat dalam masa terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan