APA SUDAH JADI DENGAN 'FILEM MELAYU'?


MELIHATKAN perkembangan serta penerbitan filem Cina tempatan yang hebat, timbul persoalan apa sudah jadi dengan filem Melayu? Filem Melayu tidak berubah ke tahap yang sedikit lebih baik, tetapi filem Cina sudah jauh ke depan. Filem Melayu riuh rendah dengan imej janaan komputer (CGI) filem Cina menyajikan isi kandungan tentang budaya dan jati diri. Filem Melayu lebih dikenali sebagai "tak laku" walaupun menyumbatkan sekian banyak yang membodohkan penonton, filem Cina mengaut kutipan yang besar dan untung berganda. Pencapaian filem Cina merupakan satu perkembangan positif kepada industri filem tempatan. Ini terbukti melalui jumlah kutipan tiket terkini oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) apabila kutipan tertinggi dimonopolikan oleh filem Cina.

Filem The Journey terbitan Astro Show walaupun para pelakonnya tidak menjadi bahan gosip murahan di media telah mencatatkan kutipan tertinggi dalam sejarah filem negara ini. Jauh meninggalkan filem KL Gangster yang dikatakan tertinggi sebelum ini. The Journey telah mendapat hasil kutipan tiket sebanyak RM17.17 juta sepanjang tempoh tayangannya, satu jumlah yang cukup besar dalam sejarah filem tempatan. Bukan itu sahaja filem komedi berjudul Ah Beng The Movie berada pada tangga kedua pungutan tertinggi filem-filem tempatan sehingga Mac lalu apabila berjaya mengutip RM4.08 juta. Tangga ketiga pungutan juga dikuasai oleh filem Cina berjudul Huat Ah! Huat Ah! Huat! yang ditayangkan pada Februari lalu dengan hasil sebanyak RM3.60 juta.


Filem Melayu Balistik terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. hanya mampu berada di tangga keempat mengutip sebanyak RM2.27 juta. Ini menunjukkan dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini tiga tangga teratas kutipan tiket dikuasai oleh filem Cina. Sedangkan yang banyak heboh dan riuh rendah adalah filem Melayu. Tidak mustahil dengan perkembangan ini filem Cina akan menjadi dominan dan filem Melayu akan 'bungkus'. Tambahan pula filem Melayu tidak membawa agenda agama, bangsa dan budaya sedangkan filem Cina ada semua ciri-ciri itu. Kehilangan filem Melayu akan menjadi kenyataan apabila agenda mencari duit mengatasi agenda bangsa terus disumbatkan dalam filem Melayu. Ketika ini kita mungkin boleh berbangga dengan filem arahan pengarah Mamat Khalid, Zombi Kilang Biskut yang masih ditayangkan namun kutipan tidak seperti yang diharapkan walaupun telah melepasi angka RM1 juta.

Isu dan jalan cerita
Jika diperhatikan gaya yang dibawa oleh filem-filem Cina cukup mudah, isu serta jalan cerita yang diterapkan cukup rapat dengan penonton. Sebagai contoh, The Journey yang cukup ringkas iaitu mengenai budaya Cina yang tidak luput walaupun berada di luar China. Isu ringkas ini apabila diolah dengan baik boleh menjadi satu karya yang cukup hebat seperti yang dibuktikan oleh filem tersebut.Bukan sahaja The Journey, filem-filem Cina yang lain turut memaparkan perkara serta isu yang selalu bermain dalam lingkungan kehidupan seharian masyarakat. Sebelum ini Kepong Gangster merupakan sebuah filem Cina yang boleh dibanggakan. Walaupun berkonsepkan gengster namun isu persahabatan yang diangkat sebagai teras. Tidak seperti sesetengah filem Melayu yang lebih menerapkan dunia gengster berbanding pemikiran positif yang hendak ditonjolkan. Filem Melayu mengajar orang menjadi gengster, filem gangster Cina mengajar orang Cina berbaik-baik. Jarang sekali kita tonton filem Melayu yang memaparkan realiti sosial seperti yang dilakukan oleh filem-filem Cina tempatan.


Nampaknya filem Cina tempatan lebih dahulu berjaya memaparkan budaya masyarakat di negara ini. Mereka juga tidak mengikut musim, tidak seperti filem Melayu. Misalnya kalau musim filem seram dan gengster maka berduyun-duyunlah penerbit filem Melayu membikin genre itu. Nampaknya penonton kita sudah mula membuka minda mereka untuk menonton filem-filem yang berkelas tinggi, tidak seperti yang berlaku sebelum ini apabila penonton hanya suka kepada filem-filem lawak sengal atau seram yang basi. Bila agaknya karyawan (kalau boleh diistilahkan karyawan) filem Melayu serta penerbit akan berubah tidak berterusan memberikan sajian yang meracuni penonton? Tepuk dada tanya selera.

Artikel ini telah diterbitkan Utusan Malaysia pada 4 Mei 2014. Ia sekadar perkongsian menarik khusus buat warga filem. Hak Cipta sepenuhnya Utusan Malaysia.

Catat Ulasan

1 Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Yaz,

Nanti kalau tanya pengarah-pengarah filem Melayu(xlah semua),..... jangan diorang salahkan penonton pulak yang tak nak sokong filem-filem Melayu.....hehehe