'LEBIH SERAM DAN MENGUJAKAN'!. PENGABDI SETAN 2: COMMUNION KARYA 'DARK' TERBAHARU JOKO ANWAR.

Penggemar filem seram harus meletakkan filem ini sebagai naskhah wajib tonton. Ia bukan cerita seram biasa, tetapi kehadirannya lebih kepada sebuah kisah tentang masa depan, keluarga dan dendam. Pengabdi Setan 2:Communion ini adalah rentetan cerita tentang perjanjian alam ghaib yang berhubung kait dengan pemujaan syaitan melalui watak seorang ibu yang taksub akan kerjayanya sebagai seorang penghibur. Akibatnya, seluruh keluarga yang ditinggalkannya mengalami gangguan dan trauma begitu kuat sehingga rumah yang mereka diami itu berpenunggu. 

Rini dan adik-adiknya, Toni dan Bondi serta bapak mereka berhijrah ke sebuah penempatan baharu, di rumah susun itulah kehidupan mereka bermula. Saban hari, waktu dan malam mereka diganggu dengan perkara-perkara aneh bahkan setiap dari penghuni rumah yang ada tidak diketahui siapa. Menurut bapaknya, Bahri Suwono (lakonan Bront Palarae), mungkin di kediaman baharu ini lebih selamat berbanding yang sebelumnya, namun perkara sebaliknya berlaku. 

Diarahkan sutradara tersohor Indonesia, Joko Anwar; Pengabdi Setan 2: Communion ini adalah sekuel kepada Pengabdi Setan yang pernah dihasilkannya pada tahun 2017. Bagi mereka yang berhasrat mahu menonton filem Pengabdi Setan 2 ini, haruslah terlebih dahulu menonton kisah yang pertama kerana jika tidak anda sukar untuk memahami jalan cerita bagi filem sekuel ini. Dibarisi Tara Basro, Andy Arfian, Nasar Anuz, Bront Palarae, Ayu Laksmi, Muhammad Adhiyat dan ramai lagi, 'Pengabdi Setan 2: Communion' ini akan berlegar di pawagam seluruh Malaysia bermula 11 Ogos 2022. Diterbitkan Rapi Films, Sky Media, Brown Entertainment, Legacy Pictures, dan Come and See Pictures, filem ke-21 arahan Joko Anwar ini dibawakan khas ke Malaysia oleh Suraya Filem Production & Distribution. 

Ketika ditemui media pada malam gala yang diadakan di GSC Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menteri KKMM menyifatkan filem arahan Joko Anwar ini adalah karya filem seberang yang amat berkualiti dan menyeramkan bahkan juga lakonan para pelakon yang membintangi filem ini wajar dipuji kerana mereka memberikan lakonan yang bermutu.  Daripada 10 bintang, beliau memberikan 7  untuk filem tersebut.  


Menariknya, Pengabdi Setan 2: Communion ini juga ditayangkan dalam format IMAX di beberapa pawagam terpilih bagi memberikan pengalaman menonton yang lebih baik dan mengujakan.  Pengabdi Setan 2: Communion ini adalah penampilan keenam Bront Palarae dalam sinema Indonesia selepas Headshot, My Stupid Boss, Pengabdi Setan, Ayat-Ayat Cinta 2, dan Gundala.


trailer filem

Catat Ulasan

0 Ulasan