CIKGU VS HANTU, AGAK SANTAI TAPI....

Mempertaruhkan elemen komedi seram, Cikgu Vs Hantu antara karya terbaharu Liyana Jasmay yang bakal menemui penonton dan peminat filem tanah air bermula 8 September 2022. Memilih Astro First sebagai platform tayangan, Cikgu VS Hantu antara karya komedi seram Liyana Jasmay yang pertama arahannya selepas drama The Gadis dan Life Lila. Berkisarkan kisah kematian misteri di sebuah sekolah, Cikgu Vs Hantu antara karya Liyana yang mengajak penonton untuk mengimbau kenangan yang sememangnya wujud di persekitaran kita, lebih lebih lagi ia sebuah kisah misteri yang menyeramkan.

Mengisahkan tentang permusuhan antara Cikgu Daud dan Cikgu Samad dalam merebut untuk menjadi cikgu terbaik. Namun, persaingan tersebut telah merapatkan hubungan mereka tanpa sedar apabila muncul hantu Cikgu Syima dan Ismail. Kematian Cikgu Syima dan Ismail di sekolah mereka meninggalkan tanda tanya siapakah yang membunuh mereka. Persoalan demi persoalan terungkai dalam Cikgu Vs Hantu antara karya seram tempatan yang agak ringan dan santai. 

Namun, apa yang mengecewakan sedikit dalam cerita ini adalah penampilan Dato' Afdlin Shauki dan Che Puan Juliana Evans yang dirasakan tidak sesuai dengan karektor yang ditampilkan. Afdlin yang terkenal dengan lakonan dan pengarahannya menerusi filem-filem hebat seperti Buli, Buli Balik, Papadom, Setem dan banyak lagi seumpamanya; tidak wajar menggalas peranan sebagai Cikgu Daud walaupun Afdlin menegaskan bahawa penampilannya dalam Cikgu Vs Hantu adalah sekadar menghargai persahabatannya dengan Liyana Jasmay. Begitu juga dengan keterlibatan pelakon Juliana Evans yang dirasakan tidak menjadi walaupun lakonannya dalam filem ini bersifat santai, namun Liyana selaku pengarah filem ini wajar memilih pelakon bukan berdasarkan persahabatan yang terjalin, tetapi kesesuaian karektor yang dibina bahkan boleh menjadi lebih baik sekiranya diberikan kepada pelakon lain. 

Walaupun begitu, filem ini cukup menghiburkan dan menampilkan beberapa pelakon lain, antaranya Khir Rahman, Shuk Sahar, Zahiril Adzim, Fathil Dani, Mohd Fadhli Masoot, Muhamad Muntazar Ghani dan penampilan cukup istimewa dari Syafiq Kyle. 

Bagi peminat karya komedi seram yang bersifat santai, filem ini mungkin sesuai untuk anda. Saksikan di pawagam rumah anda melalui Astro First bermula 8 September 2022. 

Ulasan keseluruhan: 3/5

Catat Ulasan

0 Ulasan