MICHELLE YEOH MAHU BEKERJASAMA DENGAN PENGKARYA TEMPATAN?

Walaupun hadir hanya seketika, namun kemunculan Superstar Tan Sri Michelle Yeoh pada sidang media di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur dinanti-nantikan seluruh pengamal media tempatan. 

Melambai penuh senyuman ke arah barisan jurufoto yang sempat merakam momen-momen penting tersebut, Michele Yeoh anggun mengenakan blaus putih dan jeans longgar berdiri sambil menguncup trofi yang dimenanginya di Anugerah Akademi baru-baru ini. Nyata aura beliau sebagai bintang legenda tersohor di peringkat antarabangsa menjadi inspirasi buat anak seni dan penggiat industri hiburan dan filem tempatan.

Ketika berucap dalam sidang media tersebut, Michelle Yeoh berharap kejayaannya baru-baru ini sebagai pemenang pelakon Oscar pertama di Asia dapat membantunya menyokong bakat pembikinan filem di negara asalnya Malaysia. Kejayaan Yeoh membuktikan anak Malaysia sepertinya mampu terbang jauh ke persada dunia dalam industri perfileman antarabangsa sebagai seorang pelakon yang disegani. 

Michelle, 60, memenangi Oscar untuk wataknya sebagai pemilik kedai dobi Cina Amerika Evelyn Wang dalam komedi kung fu sains fiksyen, "Everything Everywhere All at Once". Lakonan beliau yang bersahaja telah menewaskan beberapa nama besar dalam kategori yang sama seperti Cate Blanchett, Ana De Armas, Andrea Riseborough, dan Michelle Williams. 
"Saya dimaklumkan ada pembikin filem yang hebat di sini, kita perlu memberikan mereka peluang, dan mencipta platform bagi mempamerkan bakat mereka agar boleh berdaya saing", kata Michelle optimis mengharapkan satu hari nanti beliau dapat bekerjasama dengan orang penting dalam industri perfileman di Malaysia bagi membawa sinema di sini agar mampu terbang jauh ke persada dunia. 

Sejam kemudian, Michelle kelihatan meninggalkan majlis untuk bergerak ke sesi berikutnya bersama peminat di ruang legar Pavillion Kuala Lumpur. Setibanya beliau di situ, sorakan peminat bergema sambil mengerumuni Michelle Yeoh bagaikan seorang puteri raja. 

Memulakan kerjaya seawal tahun 1984 menerusi filem The Owl and Bumbo, kemudian membintangi hampir 40 buah filem termasuk Memoirs Of A Geisha, The Lady, Crazy Rich Asian, dan banyak lagi, Michele Yeoh terus menerokai sinema dunia dengan pelbagai karektor dan watak, membuktikan anak seni kelahiran Ipoh, Perak ini berada di kelasnya yang tersendiri. 

'Tomorrow Never Dies', yang diterbitkan pada tahun 1997 bergandingan bersama aktor Pierce Brosnan, Michele Yeoh menempa kejayaan di Hollywood sebagai gadis Bond etnik Cina pertama dalam  filem arahan Roger Spottiswoode itu. 
Walaupun mencipta karier sebagai pelakon ternama di pentas Hollywood, kunjungan Michele Yeoh ke Pejabat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bertujuan bagi berkongsi pengalaman, suka-duka dan kerjaya bagaimana beliau mencipta populariti di negara luar dalam bidang filem dan hiburan sehingga mengharumkan nama Malaysia.

Berkongsi tentang kunjungan itu di Facebook, Anwar berkata Michelle Yeoh antara seniwati tersohor dunia yang menitip pesan bahawa kejayaan gemilang anugerah Oscar itu cukup bermakna bagi dirinya, keluarga dan juga rakyat Malaysia seluruhnya.

"Pencapaiannya itu berjaya mengangkat nama negara di persada antarabangsa dan dengan itu saya mengucapkan semoga beliau terus berjaya dan gemilang", ujar Datuk Seri Anwar optimis berharap kejayaan ini menjadi inspirasi buat karyawan seni tempatan agar terus berusaha menggapai bintang di langit dan menjadi insan seni yang disegani dalam karier masing-masing.

Dikenali sebagai pelakon antarabangsa, rata-rata peminat mengharapkan satu hari nanti Michelle Yeoh muncul sebagai pelakon dalam filem Malaysia, sekaligus melengkapkan profail seninya yang hampir 4 dekad. 

Amy Ikram by wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan