PEREKA POSTER FILEM 'SUMPAHAN JERUNAI' DICARI

Penerbit filem seram Sumpahan Jerunai sedang mencari artis berbakat dari Sarawak yang dapat menghasilkan poster bagi filem seram itu sebelum ia ditayangkan kepada orang ramai hujung Julai depan. Pengarah Eksekutif Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd, Dr Wendy Wong berkata poster yang terbaik akan diangkat untuk dipertandingkan di FIN Atlantic International Film Festival.

“Kita mahu menonjolkan bakat terpendam anak Sarawak di peringkat antarabangsa selain mahu mereka menghayati adat dan budaya salah satu kaum minoriti Sarawak yang kian dilupakan itu. Setakat ini enam buah institusi pendidikan tinggi (IPT) di Sarawak menyertai pertandingan poster filem ini dan Sekolah Seni Kuching juga turut menyertai,” katanya pada sidang media Pertandingan Poster Sumpahan Jerunai di sini, pada awal bulan April yang lalu.

Enam IPT itu terdiri Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Technologi Mara, Segi University Sarawak, Cosmopoint College Kuching dan Limkokwing Institute of Creative Technology.

Filem genre seram Sumpahan Jerunai itu memaparkan kisah benar mengenai sejarah kaum Melanau berkaitan adat pengebumian bangsawan pada zaman sebelum pemerintahan Rajah Putih Sarawak. Sementara itu, Pengarah Eksekutif syarikat produksi itu Datuk Nancie Foo berkata pengambaran filem seram yang melibatkan budaya Melanau itu turut dilakukan di lokasi sebenar tiang Jerunai di Kampung Telian Mukah.

“Selain itu, kita juga menampilkan waris yang merupakan keturunan ketujuh bangsawan itu dalam filem ini bagi menghasilkan karya yang asli di samping melakonkan semula peristiwa berkenaan menggunakan kostum asal,”katanya.

Filem itu menampilkan barisan pelakon terkenal dan berpengalaman antaranya Bront Palarae, Syafie Naswip, Amerul Affendi, Tony Eusoff, Uqasha Senrose dan Ruminah Sidek. 

admin by wajib tonton
sumber berita: Bernama

Catat Ulasan

0 Ulasan