FAJAR NOOR MAHU KEMBALI KE MALAYSIA

Sambutan lebih 600 peminat dari Malaysia dan Indonesia pada Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor di Aloft Kuala Lumpur Sentral membuktikan kehadiran penyanyi Indonesia, Fajar Noor, semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Lebih istimewa, kunjungan Fajar ke Malaysia bukan sekadar memenuhi undangan untuk mengadakan persembahan, sebaliknya membuka ruang buat penyanyi itu mendekati peminat secara lebih dekat menerusi beberapa aktiviti promosi sebelum kemuncak showcase.

Antaranya termasuk sesi busking di SOGO Kuala Lumpur dan Bukit Bintang bersama dua penyanyi popular tempatan, Syamel dan Khai Bahar.

Menerusi sesi berkenaan, ketiga-tiga penyanyi saling membawakan lagu popular masing-masing, sekali gus mencipta momen spontan yang mendapat perhatian orang ramai.

Fajar dan Khai Bahar bergandingan menyampaikan lagu Cukup Sekali milik Syamel, sebelum Syamel pula membawakan versinya untuk lagu Salah Apa Aku nyanyian Fajar. 

Fajar kemudiannya membalas dengan menyampaikan Luluh, antara lagu popular Khai Bahar.

Sesi busking berkenaan bukan sahaja menjadi ruang untuk Fajar memperkenalkan karya daripada album sulungnya, Sementara, Selamanya, malah memperlihatkan kemesraan serta sokongan antara penyanyi Indonesia dan Malaysia.

Kemuncak kunjungannya diteruskan menerusi Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor di Aloft Kuala Lumpur Sentral yang menghimpunkan lebih 600 FajarSoul dari seluruh Malaysia, selain peminat dari Indonesia yang turut hadir bagi menyaksikan persembahan istimewa itu.

Di hadapan ratusan peminat, Fajar menghidupkan lagu-lagu daripada album sulungnya dengan persembahan penuh emosi, selain berkongsi kisah di sebalik karya yang banyak berkisar mengenai cinta, kehilangan, penyesalan dan perasaan yang masih tersisa.

Bagi Fajar, peluang untuk akhirnya bertemu dan membuat persembahan di Malaysia secara langsung merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna.

Penyanyi itu mengakui dirinya teruja dengan sambutan yang diberikan peminat tempatan dan berharap kunjungan kali ini bukan menjadi yang terakhir.

Malah, sekiranya diberikan peluang, Fajar menyimpan hasrat untuk kembali ke Malaysia pada masa akan datang bagi mengadakan sebuah konsert yang lebih besar.

“Saya sangat teruja dapat membuat persembahan di Malaysia dan bertemu dengan peminat di sini. Sambutan yang diberikan sangat bermakna buat saya.

“Kalau diberikan peluang, saya memang mahu kembali lagi ke Malaysia dan mengadakan konsert di sini. Saya harap dapat bertemu lebih ramai peminat dan berkongsi muzik saya dengan mereka,” katanya.

Tidak hanya mengimpikan konsert di Malaysia, Fajar turut membuka ruang untuk menjalin kerjasama dengan penyanyi tempatan.

Antara nama yang berada dalam radar Fajar untuk sebuah kolaborasi ialah penyanyi popular, Ernie Zakri.

Menurut Fajar, beliau berharap suatu hari nanti berpeluang menghasilkan karya bersama Ernie, sekali gus menggabungkan identiti muzik Indonesia dan Malaysia dalam sebuah karya.

“Saya juga mahu berkolaborasi dengan penyanyi Malaysia. Kalau diberi peluang, saya sangat mahu berkolaborasi dengan Ernie Zakri.

“Saya rasa akan menarik kalau dapat menghasilkan sebuah lagu bersama Ernie,” katanya.

Hasrat tersebut sekali gus memperlihatkan keterbukaan Fajar untuk mengembangkan perjalanan muziknya di Malaysia, selain membina hubungan lebih erat dengan penggiat seni tempatan.

Album Sementara, Selamanya sendiri mengangkat tema cycle of love, iaitu perjalanan sesebuah hubungan yang melalui pelbagai fasa bermula daripada detik jatuh cinta, konflik, kehilangan, sehinggalah kepada perasaan yang masih tertinggal apabila sesebuah hubungan tidak benar-benar menemukan noktah.

Bagi Fajar, setiap lagu dalam album berkenaan membawa kisah dan emosi tersendiri, sekali gus memberi peluang kepada pendengar untuk menemukan pengalaman mereka sendiri menerusi karya yang dihasilkan.

Sementara itu, Fajar turut merakamkan penghargaan kepada semua peminat yang hadir ke showcase berkenaan dan menjadikan kunjungan sulungnya ke Malaysia satu kenangan yang cukup bermakna.

“Aku mahu terima kasih buat teman-teman semuanya yang udah datang ke showcase Fajar pada hari Jumaat lalu untuk album pertama Fajar, Sementara, Selamanya.

“Semoga malam itu bisa kalian kenangan, kerana kalian buat kenangan yang paling indah untuk Fajar dan semua di Malaysia,” katanya.

Dengan sambutan positif yang diterima, kunjungan Fajar ke Malaysia dilihat sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih besar di negara ini.

Daripada busking di tengah kota Kuala Lumpur hingga tampil di hadapan ratusan FajarSoul, Fajar kini mempunyai satu lagi impian untuk direalisasikan iaitu kembali ke Malaysia dengan sebuah konsert dan, jika berpeluang, menghasilkan karya bersama Ernie Zakri.

Album Sementara, Selamanya kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital.

Catat Ulasan

0 Ulasan