SITI KHADIJAH ANGKAT SENI BATIK FARAH MOHAN MENERUSI EMBUN FAJAR

Walaupun terdapat pelbagai jenama di pasaran, Telekung Siti Khadijah antara produk tempatan yang berjaya membina identiti tersendiri dalam kalangan wanita Muslimah menerusi rekaan yang elegan, kualiti premium dan sentuhan seni yang konsisten.

Lebih dua dekad membina nama, Siti Khadijah kini membuka satu lagi lembaran menerusi Embun Fajar by Siti Khadijah, koleksi eksklusif hasil kolaborasi bersama artis batik kontemporari, Farah Mohan, yang menyatukan kehalusan seni tempatan dengan estetika fesyen premium.

Tidak sekadar menampilkan telekung dengan rekaan baharu, Embun Fajar hadir membawa naratif yang lebih mendalam apabila ketenangan selepas waktu Subuh dijadikan sumber inspirasi utama.

Suasana hening awal pagi yang sinonim dengan rasa syukur dan refleksi diterjemahkan sebagai simbol permulaan baharu, harapan, kesyukuran dan kedamaian, lalu menjadi roh kepada keseluruhan koleksi.

Menurut Pengasas Telekung Siti Khadijah, Puan Hajah Fadzilah Endah Sulaiman, Siti Khadijah sejak awal penubuhannya memilih pendekatan tersendiri dalam mengetengahkan produk tempatan, khususnya buat wanita Muslimah dengan memberi penekanan terhadap seni rekaan serta kualiti sentuhan.

Katanya, prinsip berkenaan terus menjadi sebahagian daripada identiti jenama dan diterjemahkan secara lebih eksklusif menerusi Embun Fajar melalui gabungan kehalusan rekaan, nilai warisan dan kreativiti Farah Mohan.

“Elemen seni dengan kehalusan rekaan serta gabungan kreativiti Farah Mohan diterjemahkan secara eksklusif menerusi Embun Fajar yang menggabungkan seni, warisan dan fungsi dalam sebuah koleksi yang dekat dengan jiwa wanita serta keluarga Malaysia,” katanya.

Kolaborasi itu memperlihatkan bagaimana kepakaran Siti Khadijah dalam menghasilkan telekung premium dapat disatukan dengan pendekatan batik kontemporari Farah Mohan, sekali gus menghasilkan koleksi yang mempunyai nilai seni selain fungsi.

Motif alam semula jadi menjadi nadi visual Embun Fajar, dengan bunga lili dan tulip dipilih sebagai simbol kelembutan serta kekuatan wanita.

Elemen alur dan dedaunan pula disusun bagi memberikan dimensi dan karakter kepada setiap rekaan. Meskipun mengambil akar daripada estetika Melayu tradisional, motif berkenaan diberikan nafas kontemporari supaya tampil lebih moden, sophisticated dan dekat dengan cita rasa generasi hari ini.

Bukan Sekadar Telekung

Embun Fajar turut memperlihatkan evolusi Siti Khadijah sebagai jenama gaya hidup apabila koleksi ini tidak terhad kepada telekung semata-mata. Ia merangkumi telekung, busana wanita, busana lelaki, tudung dan sejadah, sekali gus menawarkan pendekatan gaya hidup yang lebih menyeluruh buat seisi keluarga.

Lebih menarik, pilihan busana wanita dan lelaki turut hadir dengan motif yang sepadan, membolehkan keluarga menggayakan penampilan sedondon menerusi bahasa seni yang sama. Dalam konteks fesyen premium, antara karya yang paling mencuri perhatian ialah Telekung Deco Sutera Mekar, edisi terhad yang hanya dihasilkan sebanyak 100 pasang.

Menggunakan fabrik 100 peratus sutera, setiap helaian menampilkan motif yang dicanting tangan oleh artisan tempatan bertauliah, sebelum dilengkapkan dengan taburan batu permata sebagai sentuhan mewah pada rekaan. Telekung Deco Sutera Mekar ditawarkan pada harga RM1,888, menjadikannya antara karya eksklusif yang mengangkat nilai seni tangan tempatan ke dalam sebuah produk premium.

Turut diperkenalkan ialah Alur Sarung Suri, kain batik yang mengambil inspirasi daripada kain sarung nostalgia yang sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia sejak turun-temurun.

Ditawarkan pada harga RM88, ia boleh dipadankan bersama telekung atau digayakan secara berasingan mengikut kreativiti dan keselesaan pemakai.

Dari Malaysia Ke Pentas Nusantara

Di sebalik penghasilan Embun Fajar, Siti Khadijah turut melihat potensi lebih besar untuk membawa identiti dan kreativiti Malaysia ke pasaran serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah, Muhammad Munzir Aminuddin, berkata pihaknya yakin jenama itu mampu mengembangkan sayap ke pasaran Nusantara termasuk Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.

Menurutnya, koleksi baharu berkenaan turut mempunyai kaitan istimewa dengan sambutan kemerdekaan Malaysia, menjadikan Embun Fajar bukan sahaja sebuah koleksi fesyen tetapi turut membawa mesej mengenai identiti dan warisan negara.

“Ini adalah masa yang cukup menarik buat kumpulan kami dan kami sememangnya mahu terus berkembang menerusi koleksi akan datang, khususnya ke rantau Nusantara,” katanya.

Komitmen terhadap identiti Malaysia itu turut diterjemahkan menerusi penyertaan Siti Khadijah dalam Perbarisan Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos, yang menjadi penampilan sulung jenama berkenaan dalam kontinjen perbarisan.

Sebulan selepas itu, Siti Khadijah turut dijadualkan menyertai Kereta Api Sarong 2026, sekali gus memperkukuh usaha jenama berkenaan meraikan budaya, warisan dan identiti Malaysia bersama masyarakat.

Koleksi Embun Fajar by Siti Khadijah dibuka untuk pra-tempahan bermula 13 hingga 23 Ogos 2026, dengan tawaran diskaun 10 peratus menerusi platform rasmi Siti Khadijah.

Jualan rasmi pula bermula 21 Ogos 2026 dan boleh didapati di semua butik Siti Khadijah serta platform digital rasmi.

Bagi Siti Khadijah, Embun Fajar bukan sekadar koleksi baharu, sebaliknya menjadi kesinambungan kepada usaha mengangkat seni, warisan dan kreativiti tempatan menerusi rekaan yang menghormati tradisi tetapi kekal relevan dengan kehidupan moden.

Daripada ketenangan selepas Subuh kepada kehalusan seni batik Farah Mohan, Embun Fajar memperlihatkan bagaimana sebuah produk tempatan mampu berkembang menjadi karya gaya hidup premium yang membawa wajah, jiwa dan identiti Malaysia ke pentas lebih luas.

Catat Ulasan

0 Ulasan