Selepas hampir dua dekad menanti, legenda Puteri Gunung Ledang The Musical kembali membuka tirainya dengan sebuah produksi baharu yang dijangka menjadi antara kemunculan teater paling dinantikan tahun ini.
Lebih menarik, keterujaan terhadap pementasan berkenaan sudah mula dirasai sebelum jualan tiket dibuka kepada umum, apabila pengumuman barisan pelakon mencetuskan reaksi hangat dalam kalangan peminat di media sosial.
Diterbitkan Enfiniti dengan kerjasama Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, Puteri Gunung Ledang The Musical bakal dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Sunway City Kuala Lumpur.
Produksi ini bukan sekadar mengembalikan sebuah karya yang pernah mencipta sejarah dalam dunia teater tempatan, malah membuka lembaran baharu untuk memperkenalkan legenda tersebut kepada generasi penonton yang lebih muda.
Sambutan awal terhadap produksi itu juga cukup memberangsangkan apabila pertanyaan mengenai tiket mula membanjiri Threads, Instagram, TikTok serta talian tiket JCPAC sejurus pengumuman dibuat.
Malah, beberapa syarikat korporat dilaporkan sudah membuat tempahan awal bagi persembahan berkumpulan sebelum musim persembahan awam bermula.
Bagi Penerbit Eksekutif Bersama merangkap Pengarah, Puan Sri Datin Sri Tiara Jacquelina, berkata sambutan berkenaan menghidupkan kembali debaran yang dirasainya ketika Enfiniti menghasilkan produksi muzikal berskala besar.
“Ini adalah detik yang cukup emosional buat saya. Sudah lapan tahun sejak Enfiniti kali terakhir mementaskan OlaBola The Musical, dan saya hampir terlupa betapa mengujakannya tempoh menjelang pembukaan sebuah produksi besar. Ada debaran, keterujaan, pelbagai perbualan dan perasaan yang sukar digambarkan apabila melihat penonton mula menghitung hari menuju malam pembukaan.”
“Melihat semua komen di Threads, Instagram dan TikTok benar-benar mengharukan. Telefon kami hampir tidak berhenti berdering dan kami juga sudah menerima pertanyaan daripada syarikat yang mahu menempah persembahan korporat,” katanya.
10 Hari Menyelami Budaya Jawa
Di sebalik perhatian yang semakin memuncak, produksi Puteri Gunung Ledang The Musical sebenarnya sudah melalui persiapan yang cukup rapi sejak beberapa bulan lalu.
Awal tahun ini, barisan pelakon menjalani Bengkel Imersi Budaya Jawa selama 10 hari bagi mendalami latar budaya, adat dan tradisi yang menjadi sebahagian daripada dunia kisah legenda berkenaan.
Persiapan kemudian diteruskan pasukan kreatif dan teknikal dengan memberi tumpuan kepada setiap perincian produksi, termasuk muzik, koreografi, rekaan pentas, kostum, kesan khas dan elemen visual yang bakal membentuk pengalaman baharu di pentas.
Latihan penuh akan bermula secara rasmi pada 17 Ogos, sekali gus menandakan fasa penting menuju malam pembukaan.
“Sejak para pelakon menamatkan imersi budaya Jawa awal tahun ini, pasukan kreatif dan teknikal kami telah memberikan sepenuh perhatian kepada pra-produksi, memperhalusi setiap perincian daripada muzik dan koreografi hingga set, kostum dan kesan khas.
“Dengan latihan bermula pada 17 Ogos, keajaiban sebenar akan bermula. Seluruh pasukan bertekad untuk menghasilkan sebuah produksi yang akan diingati penonton sepanjang hayat mereka,” kata Tiara.
Aisha Retno, Mila Mohsin Jadi Puteri Gunung Ledang
Dari segi pelakon, produksi kali ini menghimpunkan gabungan bakat generasi baharu dan nama yang sudah mempunyai pengalaman dalam industri seni tanah air.
Aisha Retno dan Mila Mohsin akan bergilir-gilir membawa watak utama, Puteri Gunung Ledang, manakala Aqasha diberi tanggungjawab menghidupkan watak Hang Tuah. Turut menyertai barisan pelakon ialah Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim.
Pemilihan barisan pelakon berkenaan dijangka memberikan dimensi berbeza kepada kisah yang selama ini dekat dengan masyarakat Malaysia, khususnya menerusi kisah cinta, pengorbanan dan takdir antara Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah.
Tempahan Keutamaan Bermula 18 Ogos
Bagi peminat yang tidak mahu ketinggalan, tempahan keutamaan selama 72 jam untuk pemegang kad AFFIN akan dibuka bermula 8 malam, 18 Ogos, manakala jualan tiket kepada umum dibuka pada 21 Ogos 2026.
Dengan permintaan awal yang sudah mula diterima sebelum jualan umum bermula, Puteri Gunung Ledang The Musical dilihat mempunyai momentum tersendiri untuk menjadi antara produksi pentas yang mendapat perhatian besar tahun ini.
Hampir dua dekad selepas legenda itu pertama kali mencuri perhatian pentas tempatan, Puteri Gunung Ledang The Musical kini kembali membawa kisah yang sama, tetapi dengan wajah, tenaga dan sentuhan baharu untuk generasi hari ini.
“Undangan Diraja” sudah diterima. Kini, pentas menanti untuk membuka kembali pintunya.
Untuk maklumat tiket dan perkembangan terkini produksi, ikuti @PGLTheMusical dan @EnfinitiMakesMagic di platform media sosial rasmi.
.png)





0 Ulasan