ISTANA BUDAYA KEMBALI DIBUKA, NADI SENI BERTARAF DUNIA

Selepas lebih dua tahun tirainya ditutup, Istana Budaya (IB) kini kembali bernafas, bukan sekadar sebagai sebuah bangunan ikonik seni persembahan negara, tetapi dengan aspirasi lebih besar untuk kembali menjadi nadi dan hab utama seni, budaya serta hiburan bertaraf dunia di Malaysia.

Pembukaan semula Panggung Sari IB selepas tempoh penutupan sejak Januari 2024 bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan dan naik taraf bumbung menjadi detik penting dalam perjalanan institusi seni berkenaan, apatah lagi ketika negara meraikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Lebih signifikan, kebangkitan semula Panggung Sari sebagai Panggung Nasional Malaysia bakal diserikan dengan rangkaian persembahan yang merentasi genre, generasi dan sempadan budaya, sekali gus memperlihatkan kesediaan IB untuk kembali menjadi destinasi utama penggiat seni tempatan serta produksi antarabangsa.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah penganjuran Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke 35 (FFM35) pada 21 November depan di Panggung Sari, yang bakal menghimpunkan insan seni dan karyawan filem tanah air bagi meraikan pencapaian industri perfileman Malaysia.

Pemilihan IB sebagai lokasi acara kemuncak FFM35 dilihat cukup simbolik. Ketika Panggung Sari kembali membuka tirainya, pentas ikonik itu turut menjadi tempat industri filem negara meraikan karya, bakat dan pencapaian terbaiknya.

Ia seolah olah memperlihatkan satu kesinambungan antara dunia seni persembahan dengan perfileman, dua cabang utama industri kreatif yang selama ini saling melengkapi dalam membentuk wajah hiburan Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Istana Budaya, Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin, berkata pembukaan semula IB bukan sekadar mengembalikan operasi sebuah bangunan ikonik, sebaliknya menandakan kesiapsiagaan institusi itu untuk memenuhi keperluan industri seni persembahan yang semakin dinamik.

Menurutnya, transformasi yang dilakukan tidak hanya tertumpu kepada prasarana fizikal, malah turut memperkukuh ekosistem teknologi pentas supaya lebih responsif terhadap tuntutan produksi moden serta perkembangan inovasi dalam seni kreatif dan persembahan pentas.

"Ini satu detik bersejarah dan amat bermakna buat seluruh warga IB apabila kami bersedia membuka semula tirai sebagai lokasi seni persembahan bertaraf antarabangsa untuk penggiat seni sama ada tempatan ataupun luar negara.

"Pembukaan semula ini bukan sekadar menandakan kembalinya operasi bangunan ikonik di ibu kota, tetapi melambangkan kesiapsiagaan institusi yang sentiasa berevolusi bagi memenuhi keperluan industri seni persembahan yang semakin dinamik," katanya.

Langkah berkenaan turut mendapat sokongan besar kerajaan apabila sebanyak RM80 juta diperuntukkan bagi menaik taraf fasiliti Istana Budaya, merangkumi pemodenan teknologi pentas, kemudahan teknikal, infrastruktur sokongan serta projek menaik taraf sistem overstage.

Pelaburan itu menjadi isyarat jelas bahawa pembukaan semula IB bukan sekadar usaha mengembalikan operasi selepas kerja pembaikan, sebaliknya sebahagian daripada agenda lebih besar untuk memastikan institusi berkenaan kekal berdaya saing dan memenuhi piawaian industri persembahan antarabangsa.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, berkata kebangkitan semula Panggung Sari sebagai Panggung Nasional Malaysia turut menyokong agenda Kerajaan MADANI menerusi pengisian rantaian seni persembahan bertaraf dunia sempena VM2026.

Katanya, seni persembahan bukan sekadar medium hiburan, sebaliknya mempunyai peranan penting sebagai instrumen diplomasi budaya yang mampu memperkenalkan identiti Malaysia, mengeratkan hubungan antarabangsa serta menjadi daya tarikan pelancongan berimpak tinggi.

Dalam konteks itu, Istana Budaya dilihat mempunyai kedudukan strategik bukan sahaja sebagai gedung persembahan, tetapi sebagai platform pembangunan bakat, pemuliharaan warisan dan pemangkin industri kreatif negara.

Bagi 2026, Istana Budaya sendiri menyediakan lima program terbitan yang merangkumi dua siri Laman Santai Seni Budaya, Nuansa Urban Rohani 2026, NSO with Aubrey Suwito: Pops meets Symphony serta Teater Muzikal Kanak Kanak Pengembaraan Sang Kancil.

Pada masa sama, Panggung Sari turut membuka ruang kepada pelbagai produksi luar, memperlihatkan pendekatan lebih dinamik dalam memperkayakan kalendar persembahan.

Antara yang bakal menghidupkan pentas berkenaan ialah Douglas Lim: Vital Stats, Beyond Words: L. Shankar & Samuel J. Dass Live In Concert, Teater Muzikal Mansur & Liu, Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz 3 Dekad, Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah II: Hikayat Dewa Mahkota, Four Generations In One House, FFM35, Magnum Opus M. Nasir Dekad Ke 5, RUMI 819: Souls Across Civilizations, A Malaysia Iran Cultural Celebration serta Teater Legenda Puteri Santubong.

Rangkaian tersebut memperlihatkan wajah baharu IB yang lebih inklusif, merangkumi komedi, muzik, muzikal, teater tradisional, persembahan kebudayaan, acara perfileman dan produksi berskala besar.

Malah, peranan IB tidak lagi terhad kepada penganjuran persembahan di dalam bangunannya sendiri.

Institusi itu turut mendapat kepercayaan untuk membawa kepakaran dan kekuatan artistiknya ke pentas luar, termasuk menerusi The Lion King Live in Concert bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di Kuala Lumpur Convention Centre, selain penglibatan Orkestra Tradisional Malaysia dalam Konsert Gema Bumatra Dato’ Sri Siti Nurhaliza di TM Stadium Nasional Bukit Jalil.

Barisan Artistana atau Artistari IB pula terus diberi kepercayaan untuk membuat persembahan dalam program yang melibatkan lawatan pembesar dan tetamu utama negara, sekali gus membuktikan bahawa kepakaran seni institusi itu mempunyai nilai tersendiri di luar pentas Panggung Sari.

Kebangkitan IB juga disokong pencapaian terdahulu apabila institusi berkenaan berjaya melaksanakan 14 program sepanjang 2025 menerusi kempen "Gerak", yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Dalam masa sama, kerajaan melalui MOTAC memperuntukkan RM70 juta bagi pemerkasaan sektor kebudayaan pada 2026, termasuk RM50 juta untuk Acara Seni dan Budaya serta RM20 juta melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), dengan RM3.2 juta diperuntukkan khusus kepada Istana Budaya bagi mempergiat aktiviti kesenian negara.

Keselamatan dan kelestarian turut menjadi sebahagian daripada transformasi IB.

Sebagai Panggung Negara, aspek keselamatan sistem mekanikal pentas diberi perhatian menerusi khidmat nasihat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), manakala agenda kelestarian pula diterapkan melalui penggunaan sistem penjimatan tenaga, pencahayaan lebih efisien serta kawalan operasi pintar.

Pendekatan itu memperlihatkan perubahan definisi sebuah panggung moden, bukan lagi semata mata dinilai berdasarkan seni bina dan sejarahnya, tetapi turut melalui tahap keselamatan, kecanggihan teknologi, kecekapan produksi, kelestarian serta keupayaan menyokong karya berskala besar.

Menariknya, pembukaan semula IB turut diserikan dengan kehadiran “Timber Flow: The Folded Crest”, struktur seni bina kayu hasil Malaysian Timber Council (MTC) yang memenangi Gold Winner Curated Booth Award sempena ARCHIDEX 2025.

Diinspirasikan daripada tanjak tradisional Melayu, instalasi berkeluasan kira kira 60 meter persegi itu mengetengahkan identiti dan warisan Malaysia melalui pendekatan seni bina kayu kontemporari.

Penggunaan kayu tempatan seperti Kembang Semangkok dan Chengal, digabungkan dengan teknik lenturan wap serta sistem pasak kayu tanpa paku, menjadikan karya berkenaan bukan sekadar sebuah instalasi seni bina, tetapi simbol pertemuan antara warisan, kreativiti, inovasi dan kelestarian yang kini menghiasi ruang Istana Budaya.

Keseluruhan perkembangan itu memperlihatkan bahawa pembukaan semula IB bukan sekadar sebuah acara rasmi, sebaliknya menandakan bermulanya fasa baharu buat sebuah institusi yang kembali memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem seni, budaya dan hiburan negara.

Dengan pelaburan besar kerajaan, fasiliti yang terus diperkasa, kemasukan produksi tempatan dan antarabangsa serta rangkaian acara berprestij termasuk FFM35, Istana Budaya kini bersedia untuk kembali mengangkat peranannya sebagai antara destinasi utama seni persembahan di rantau ini.

Dan apabila tirai Panggung Sari kembali dibuka, yang hadir ke pentas bukan sekadar sebuah persembahan, sebaliknya menandakan kebangkitan semula Istana Budaya sebagai nadi seni persembahan Malaysia yang membawa karya, bakat dan kreativiti tempatan untuk terus menyinari persada antarabangsa.

Catat Ulasan

0 Ulasan