Impian Qilo dan Aliff Kimiey untuk melangkah ke pentas akhir Big Stage X Rocketfuel tidak kesampaian apabila kedua-duanya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada minggu separuh akhir, malam tadi.
Penyingkiran itu menyaksikan Qilo diumumkan sebagai peserta pertama yang terkandas, sebelum Aliff Kimiey turut terpaksa akur meninggalkan pentas pertandingan yang sudah berlangsung selama tujuh minggu.
Dalam perkembangan sama, Danial Kifli mencipta kejutan apabila menjadi peserta pertama yang mengesahkan tempat ke pentas akhir selepas menerima U Mobile ‘Priority Pass’, meskipun hanya menduduki tempat keenam dalam kedudukan keseluruhan.
Turut menempah tiket ke minggu akhir ialah Ranisha, Adam Nazmie, Yad-Z dan Hussain selepas keempat-empat peserta terbabit menerima undian tertinggi daripada barisan juri.
Sementara itu, Danny menarik nafas lega apabila diumumkan sebagai peserta terakhir yang layak beraksi pada pentas akhir Big Stage X Rocketfuel.
Dengan keputusan itu, kesemua peserta yang berjaya mara kini bakal berentap pada minggu akhir, Ahad depan, bagi merebut gelaran juara Big Stage X Rocketfuel.
Lebih menarik, tiga pemenang utama musim ini turut berpeluang membawa pulang Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.
Kontrak berkenaan merangkumi pelbagai bentuk pembangunan kerjaya seni termasuk penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Musim ini menyaksikan seramai 11 bintang bersaing merebut tempat terbaik, terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina, duo Adam & Nazmie serta Hussain yang dipilih menerusi ‘Exclusive Spot’.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, Big Stage X Rocketfuel bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria. Penonton juga boleh mengikuti episod penuh program berkenaan menerusi platform Astro GO dan Sooka.
.png)



0 Ulasan