MANSUR & LIU: ALIFF AZIZ HIDUPKAN SULTAN MANSUR

Sebuah hikayat lama tentang pertemuan dua dunia bakal kembali bernafas di pentas Istana Budaya apabila Teater Muzikal Mansur & Liu membawa kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu ke hadapan khalayak dalam sebuah pementasan berskala besar.

Namun, naskhah yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September depan bukan sekadar sebuah kisah cinta berlatar sejarah.

Di belakang pembikinannya ada sebuah impian lama Dato' M. Nasir untuk mengarahkan teater, puluhan skor muzik yang dicipta khusus untuk pementasan, proses uji bakat yang ketat serta kepercayaan besar penerbit terhadap barisan pelakon yang dipilih untuk menghidupkan hikayat tersebut.

Lebih menarik, watak Sultan Mansur Shah kini diserahkan kepada Aliff Aziz, manakala Puteri Liu pula dijelmakan pelakon Melinda Dadew.

Bagi M. Nasir, Mansur & Liu menjadi peluang yang dinanti-nantikannya sejak sekian lama selepas pengalaman menonton pelbagai pementasan teater tempatan menyemarakkan keinginan untuk menghasilkan karya sendiri.

“Sebenarnya saya sudah sekian lama mahu mengarah teater tetapi peluang itu tidak kunjung tiba. Saya sudah tonton kebanyakan persembahan teater dalam negara dan memang simpan hasrat untuk buat sendiri.

“Jadi, saya sudah tanam dalam diri, jika ada peluang, saya mahu buat betul-betul dan beri persembahan dengan impak yang besar. Itu harapan saya untuk naskhah ini,” katanya.

Hasrat tersebut akhirnya menemukan jalannya menerusi Mansur & Liu, sebuah projek yang sebenarnya sudah berputik kira-kira enam tahun lalu.

Minat M. Nasir terhadap hikayat Melayu lama mula berkembang selepas beliau diberi tanggungjawab membaca buku audio Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang.

Daripada pembacaan itu, lahir keinginan untuk meneroka kisah-kisah sejarah Melayu dan menjadikannya sumber inspirasi kepada sebuah karya persembahan yang mampu berkomunikasi dengan generasi hari ini.

Bagaimanapun, perancangan awal untuk membawa Mansur & Liu ke pentas terpaksa melalui tempoh yang panjang sebelum kembali mendapat ruang untuk direalisasikan, terutama selepas dunia berdepan pandemik COVID-19.

Apabila kesempatan itu muncul semula, M. Nasir memilih untuk memberikan komitmen sepenuhnya.

Hasilnya, sekitar 30 skor dan lagu baharu dicipta khas bagi membentuk jiwa muzik pementasan berkenaan.

“Saya sangat bersemangat. Boleh dikatakan ia disiapkan dalam keadaan pantas kerana saya sangat bersemangat. Jika tiada semangat, mungkin susah untuk menyiapkannya.

“Teater ini berbeza dengan yang ada di luar kerana lagu yang saya cipta semua sedap-sedap,” katanya.

Skor berkenaan akan dipersembahkan dengan iringan orkestra di bawah kendalian pengarah muzik, Mohd Rafi Shafie atau Rafi Suhu, sekali gus memberikan dimensi muzik yang lebih besar kepada penceritaan.

Walaupun kisahnya bersandarkan hubungan antara Melaka dan China serta menampilkan elemen peperangan, M. Nasir melihat cinta sebagai nadi utama yang menggerakkan keseluruhan cerita.

“Pementasan ini menyentuh sejarah Sultan Melaka berkahwin dengan puteri dari China. Ia adalah sebuah fiksyen yang memfokuskan kepada elemen romantik.

“Walaupun ada aksi peperangan dalam teater ini, dasarnya adalah cinta dan lagu-lagu yang dihasilkan juga sangat romantik,” katanya.

ALIFF AZIZ: BUKAN SOAL RUPA, TETAPI TANGGUNGJAWAB

Dalam pada itu, Aliff Aziz mengakui peluang membawa watak Sultan Mansur Shah hadir bersama tanggungjawab besar yang tidak boleh dipandang ringan.

Sebelum dipilih, Aliff terlebih dahulu melalui proses uji bakat yang menguji keupayaannya dalam tiga cabang utama iaitu lakonan, nyanyian dan pergerakan.

Justeru, apabila timbul gurauan M. Nasir mengenai pemilihannya sebagai “pelakon kedua tampan di Malaysia”, Aliff menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak perlu diperbesarkan.

“Saya fikir Dato' M. Nasir hanya bercanda dan bergurau saja. Saya mahu fokus bagaimana untuk hidupkan watak Sultan Mansur Shah.

“Ini tidak semestinya mengenai apa yang watak itu ada atau bagaimana rupa dan sebagainya,” katanya.

Bagi Aliff, pemilihan tersebut lebih kepada kesesuaian dirinya dengan karakter yang diperlukan oleh produksi.

“Pada pendapat saya, di mata mereka, mungkin saya ada rupa yang mereka inginkan untuk watak Sultan Mansur Shah. Jadi, ia bermula dari situ dan sudah semestinya kami perlu menjalani uji bakat untuk nyanyian, lakonan dan pergerakan.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak jelaskan, tetapi saya fikir ini adalah rezeki. Saya sangat berterima kasih kepada Dato' M. Nasir dan Datin Marlia kerana beri kepercayaan untuk saya memainkan watak utama dalam pementasan Teater Muzikal Mansur & Liu ini,” katanya.

Apa yang lebih dihargai Aliff ialah kesempatan untuk bekerja rapat dengan M. Nasir, khususnya dalam proses latihan.

Beliau mengakui pada awalnya berdebar untuk bekerjasama dengan maestro berkenaan, namun pengalaman itu akhirnya menjadi ruang pembelajaran yang sangat berharga.

“Beliau tidak lokek dengan ilmu. Apa saja yang saya tanya, akan diberikan pencerahan. Kadang-kadang ketika kami sedang menjalani latihan, saya tengok beliau tutup mata dan menghayati,” katanya.

M. NASIR TEGAS SOAL PEMILIHAN PELAKON

Jika ada yang menganggap populariti atau rupa menjadi penentu utama, M. Nasir menafikan tanggapan tersebut.

Menurutnya, semua pelakon dipilih melalui uji bakat dan setiap keputusan dibuat berdasarkan sebab tertentu, terutama kesesuaian mereka dengan karakter yang diberikan.

“Semuanya melalui uji bakat. Artis-artis ini telah kami uji bakat dan kalau ditanya mereka dipilih, kami ada sebab-sebab sendirilah.

“Tapi, kalau kita tengok Aliff dan Melinda mereka sangat cocok untuk mengambil watak ini,” katanya.

Perkara itu selari dengan cabaran terbesar yang dihadapi M. Nasir dalam menghasilkan sebuah teater muzikal, khususnya dalam mencari pelakon yang bukan sahaja mampu berlakon, tetapi juga mempunyai keupayaan vokal dan fizikal yang sesuai.

Katanya, tuntutan teater muzikal jauh berbeza daripada lakonan televisyen kerana seseorang pelakon perlu menguasai beberapa kemahiran secara serentak.

“Mencari pelakon muzikal sangat susah sebab kita tidak dilatih begitu. Tidak semua pelakon dilatih menjadi penyanyi sedangkan kedua-duanya adalah kemahiran wajib dalam muzikal.

“Sebenarnya budaya itu sudah ada dalam Bangsawan atau Mak Yong yang mana pelakon mesti tahu bernyanyi.

“Namun, kerana dunia moden, pelakon televisyen tidak perlu menyanyi dan jika seseorang suka bernyanyi, dia lebih fokus menjadi penyanyi sahaja.

“Saya tidak nafikan ada pelakon boleh menyanyi, tetapi teater muzikal memerlukan tahap vokal yang lebih hebat,” katanya.

MARLIA: BUKAN SEKADAR MEMILIH NAMA BESAR

Bagi penerbit, Datin Marlia Musa pula, kekuatan Mansur & Liu tidak seharusnya hanya diukur menerusi nama besar yang berada di atas pentas.

Sebaliknya, proses membina produksi bermula dengan memastikan setiap bakat benar-benar mempunyai keupayaan untuk memenuhi tuntutan sebuah teater muzikal.

Sebagai produksi teater muzikal pertama mereka, proses pemilihan pelakon menjadi antara aspek yang diberi perhatian serius.

“Kami mahu melihat ia menjadi nyata dengan bakat-bakat baharu pada pementasan ini nanti,” katanya.

Pendekatan itu menjelaskan mengapa proses uji bakat menjadi penting dalam pembentukan keseluruhan barisan pelakon Mansur & Liu.

Daripada watak utama hinggalah kepada barisan pendukung, setiap pelakon perlu membawa fungsi tersendiri bagi memastikan dunia Kesultanan Melaka yang dibina di atas pentas kelihatan hidup.

Selain Aliff dan Melinda, pementasan itu turut menampilkan Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.

HIKAYAT MELAKA-CHINA DALAM BAHASA PENTAS

Secara keseluruhannya, Mansur & Liu membawa lebih daripada sebuah kisah hubungan antara seorang sultan dengan puteri dari China.

Ia menjadi ruang untuk mengolah sejarah, diplomasi, cinta dan pertembungan dua budaya dalam bahasa teater muzikal yang lebih dekat dengan penonton masa kini.

Dengan M. Nasir di kerusi pengarah selain menggubah keseluruhan skor muzik, pentas pula bakal menggabungkan lakonan, nyanyian, tarian, orkestra, busana dan elemen visual bagi membentuk suasana sebuah kerajaan Melayu yang pernah menjadi antara pusat perdagangan dan diplomasi penting di rantau ini.

Bagi M. Nasir, peluang tersebut bukan sekadar percubaan pertama mengarah teater.

Ia adalah kesempatan untuk membuktikan bahawa kisah daripada sejarah dan hikayat Melayu masih mempunyai ruang besar untuk diceritakan semula dalam bentuk seni yang segar.

Buat Aliff Aziz, cabaran sebenar kini adalah membuktikan keupayaannya menghidupkan sosok Sultan Mansur Shah, bukan sekadar tampil sebagai dirinya sendiri di atas pentas.

Segala perhatian bakal terarah kepada bagaimana Aliff menterjemahkan watak seorang raja Melaka menerusi lakonan, nyanyian dan penghayatan, sekali gus membawa penonton menyelami kisah yang telah lama tersimpan dalam lipatan sejarah.

Itulah yang cuba ditawarkan Mansur & Liu  ; sebuah hikayat lama yang diberi nafas baharu melalui gabungan teater, muzik dan persembahan pentas, agar kisah pertemuan Melaka dan China terus dekat dengan generasi hari ini.

Teater Muzikal Mansur & Liu bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September 2026, dengan harga tiket antara RM88 hingga RM408.

Catat Ulasan

0 Ulasan