Jika kebanyakan filem aksi bergantung kepada kecanggihan teknologi visual untuk menghidupkan babak letupan dan tembakan, Chelot memilih pendekatan yang jauh lebih berisiko apabila menghasilkan sebahagian besar aksi berkenaan secara praktikal di hadapan kamera.
Bagi pengarahnya, Adrian Teh Kean Kok, 41, realisme menjadi taruhan utama dalam menghidupkan Chelot, sekali gus memastikan setiap letupan, kesan tembakan dan kemusnahan yang dipaparkan mempunyai berat serta impak fizikal tersendiri.
Lebih daripada sekadar menjanjikan aksi berskala besar, naskhah terbitan ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro Shaw, SunStrong Entertainment dan Marvelous Culture & Film itu turut mencipta sejarah apabila meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori The Longest Single-Take Action Sequence in a Movie.
Babak berkenaan dirakam secara berterusan menggunakan satu kamera, merentasi jarak kira-kira 1.9 kilometer dengan durasi lima minit 19 saat tanpa sebarang potongan.
Menurut Adrian, keputusan untuk menggunakan kesan praktikal bukan dibuat sekadar mengejar spektakel, sebaliknya bagi memberikan pengalaman aksi yang lebih meyakinkan kepada penonton.
“Hampir semua letupan yang bakal ditonton adalah letupan sebenar. Semua babak tembak-menembak dan letupan ini dirancang dengan sangat terperinci.
“Malah, saiz lubang peluru yang perlu dibuat juga perlu dirancang berdasarkan jenis senjata yang digunakan. Selepas perancangan dibuat, barulah pasukan saya akan memulakan proses menebuk lubang pada kereta dan dinding.
“Selepas ditebuk, mereka akan meletakkan peranti letupan ‘pyro’ sebelum ditutup semula menggunakan simen dan dicat mengikut warna asal. Bagi saya, penggunaan CGI untuk kesan peluru hanyalah kerja pascaproduksi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem berkenaan, baru-baru ini.
Pendekatan itu memperlihatkan betapa telitinya produksi Chelot dalam membina dunia aksinya. Setiap kesan tembakan bukan sekadar dicipta selepas penggambaran, sebaliknya dirancang terlebih dahulu berdasarkan jenis senjata, lokasi dan keperluan adegan sebelum kamera mula merakam.
1.9 kilometer, lima minit 19 saat — tanpa ‘cut’
Namun, cabaran terbesar Chelot mungkin bukan terletak pada letupan atau tembakan, sebaliknya pada sebuah sekuens aksi yang perlu dilaksanakan tanpa satu pun potongan.
Babak berkenaan bermula dari Quill City Mall sebelum bergerak sehingga ke tingkat tiga Pertama Kompleks, membabitkan jarak keseluruhan kira-kira 1.9 kilometer.
Apa yang kelihatan seperti hanya beberapa minit aksi di layar sebenarnya menuntut persediaan luar biasa di belakang tabir.
Produksi memerlukan kira-kira lima bulan persediaan, selain pembabitan sekitar 300 tenaga kerja dan penutupan jalan raya selama tujuh hari. Laporan terdahulu turut merekodkan 60 jam raptai serta penggunaan 50 kereta prop bagi merealisasikan sekuens berkenaan.
Adrian mengakui idea untuk menghasilkan one long take tercetus daripada keinginannya mencari sesuatu yang benar-benar berbeza untuk ditawarkan kepada penonton.
“Ketika berada dalam fasa persediaan, saya cuba memikirkan bagaimana untuk menjadikan sekuens aksi ini sesuatu yang istimewa. Dari situlah timbulnya idea untuk menghasilkan ‘one long take’.
“Ini merupakan babak paling rumit dan mencabar yang pernah saya buat sepanjang karier saya. Walaupun babak ini sudah sedia rumit, aspek ketelitian dan perancangan terperinci tetap digunakan.
“Memikirkannya sahaja sudah memenatkan, tetapi hasilnya benar-benar berbaloi,” katanya.
Bagi memastikan aksi yang dipaparkan bukan sekadar kelihatan gah tetapi mempunyai ketepatan teknikal, Adrian turut mengambil peluang bekerjasama dengan Unit Tindakan Khas (UTK), selain menerima sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya tidak boleh melepaskan peluang dan menolak idea untuk bekerjasama dengan Unit Tindakan Khas (UTK), iaitu salah satu unit pasukan khas paling elit Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami juga mendapat sokongan yang sangat baik daripada PDRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Disebabkan sokongan padu daripada semua pihak, kami berjaya mencipta sejarah menerusi babak ini,” katanya.
Kisah pegawai polis terperangkap antara hutang dan nyawa keluarga
Di sebalik segala ledakan, tembakan dan aksi berintensiti tinggi itu, Chelot berpusat pada Haqqim, seorang pegawai polis operasi khas yang berada dalam keadaan terdesak.
Haqqim dipaksa menjadi pemberi maklumat kepada sebuah sindiket jenayah bagi melangsaikan masalah hutang yang menghimpit dirinya, selain memastikan keselamatan keluarganya terus terpelihara.
Namun, keputusan yang dibuat demi menyelamatkan orang tersayang itu akhirnya meletakkan Haqqim dan keluarganya dalam bahaya yang jauh lebih besar.
Konflik tersebut menjadi nadi kepada sebuah thriller aksi yang bukan hanya mempertaruhkan kekuatan fizikal, tetapi turut menguji kesetiaan, keberanian dan batas moral seorang anggota penguat kuasa apabila dirinya terperangkap di antara tanggungjawab dan kelangsungan hidup.
Menerajui naskhah ini ialah Shukri Yahaya sebagai Haqqim, bersama Beto Kusyairy, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar dan Alicia Amin. Barisan pelakon turut diperkuatkan Azhan Rani, Theebaan G, Mustaqim Bahadon, Hannah Delisha, Amir Nafis, Shaza Bae, Arena Wan, Maya Fathia serta beberapa pelakon lain.
Shaheizy Sam membawakan watak Dato Bakri, Nadhir Nasar sebagai Chacko, Alicia Amin sebagai Zahra, manakala Azhan Rani tampil sebagai ACP Zafran.
Adrian Teh kembali dengan taruhan lebih besar
Buat Adrian, Chelot hadir selepas beliau meneroka pelbagai pendekatan dan genre, termasuk menerusi MALBATT: Misi Bakara pada 2022.
Beliau melihat perkembangan filem aksi tempatan sejak kejayaan PASKAL The Movie pada 2018 sebagai satu perkembangan positif yang secara tidak langsung mencetuskan persaingan sihat dalam kalangan pembikin filem untuk terus mempertingkatkan standard produksi tempatan.
“Trend ini memberi motivasi kepada kami sebagai pembikin filem untuk terus menghasilkan filem aksi yang lebih mantap dan berkualiti. Bagi saya, ini adalah persaingan sihat yang sememangnya diperlukan oleh industri kita.
“Semua pembikin filem kini sedang bekerja keras dan memikirkan jalan terbaik untuk menghasilkan babak aksi yang lebih besar, menarik dan segar untuk pasaran tempatan.
“Secara peribadi, selepas menghasilkan filem MALBATT: Misi Bakara pada 2022, saya sendiri tertanya-tanya apa lagi kelainan yang boleh dibawa kepada penonton bagi genre aksi yang mampu membuatkan mereka teruja. Sehinggalah kisah Chelot ini hadir kepada saya tahun lalu,” ujarnya.
Selepas beberapa tahun bereksperimen dengan bentuk penceritaan berbeza, Adrian kini kembali ke genre yang cukup sinonim dengan namanya — tetapi kali ini dengan sasaran yang lebih tinggi.
Chelot bukan sekadar cuba menjadi sebuah lagi filem aksi tempatan. Melalui penggunaan kesan praktikal, penglibatan pasukan khas, skala produksi yang besar serta sekuens ‘one long take’ sejauh 1.9 kilometer, naskhah ini membawa satu pertaruhan jelas: sejauh mana filem aksi Malaysia mampu menolak batas teknikal dan kreativiti di layar sendiri.
Dibintangi Shukri Yahaya, Beto Kusyairy, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar, Alicia Amin, Azhan Rani, Theebaan G, Mustaqim Bahadon dan barisan pelakon lain, Chelot bakal menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 27 Ogos 2026.
.png)





0 Ulasan