SITI & KAK ANI BERSATU DI GEMA BUMANTARA

Hasrat Dato' Sri Siti Nurhaliza Tarudin untuk merealisasikan Konsert Tradisional Gema Bumantara sebagai sebuah pementasan yang meraikan keindahan muzik warisan tidak akan lengkap tanpa kehadiran Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris.

Bagi Biduanita Negara itu, Noraniza bukan sekadar artis jemputan, sebaliknya antara figura yang paling banyak menyumbang dalam memperjuangkan irama tradisional tanah air. Justeru, penyanyi yang mesra disapa Kak Ani itu menjadi individu pertama yang terlintas di fikirannya sebaik sahaja perancangan konsert berkenaan dimulakan.

Menurut Siti Nurhaliza, impiannya bukan hanya mahu mempersembahkan sebuah konsert tradisional berskala besar, malah menghimpunkan insan yang selama ini menjadi tulang belakang dalam memartabatkan muzik warisan negara di atas satu pentas.

"Sejak awal lagi saya memang mahu Kak Ani bersama-sama dalam konsert ini. Bagi saya, beliau antara pejuang irama tradisional yang banyak berjasa kepada industri muzik negara.

"Saya juga tahu ramai yang merindui Hati Kama versi asal. Alhamdulillah, Kak Ani menerima pelawaan ini dan saya sangat bersyukur ia akhirnya menjadi kenyataan," katanya ketika sidang media pengumuman artis jemputan Konsert Tradisional Gema Bumantara.

Ketika berkongsi mengenai pementasan yang bakal berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan, Siti Nurhaliza tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan konsert itu mungkin menjadi antara peluang terakhir untuk merealisasikan sebuah persembahan tradisional dalam skala sedemikian.

Beliau mengakui tidak pasti sama ada akan berpeluang menghasilkan lagi konsert tradisional sebesar itu pada masa akan datang. Justeru, beliau mahu memastikan Gema Bumantara menjadi pentas yang menyatukan ikon serta pejuang irama tradisional sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.

"Saya tidak tahu bila lagi saya berpeluang menghasilkan konsert tradisional sebesar ini. Sebab itu saya mahu mereka yang banyak berjasa dalam memperjuangkan irama tradisional turut bersama-sama menjayakannya," katanya.

Tambah Siti Nurhaliza, legasi Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sentiasa menjadi nadi dalam setiap pembikinan konsertnya. Segala idea, ilmu dan pendekatan kreatif yang pernah dikongsikan komposer legenda itu terus dijadikan rujukan bagi memastikan setiap persembahan mempunyai identiti tersendiri.

Sementara itu, Noraniza mengakui sama sekali tidak menyangka akan menerima pelawaan untuk berkongsi pentas bersama Siti Nurhaliza. Malah, beliau sebelum ini sudah merancang membeli tiket kerana ingin hadir sebagai penonton bagi menyaksikan sendiri konsert berkenaan.

"Saya sangka Kak Rozi menghubungi saya untuk menjemput hadir sebagai tetamu. Rupanya saya diajak menyanyi bersama Siti. Sudah tentu saya terkejut dan terus bersetuju kerana sudah lama merindui peluang menyampaikan Hati Kama bersama beliau," katanya.

Dalam masa sama, Noraniza mengakui berasa gementar untuk kembali mendendangkan Hati Kama bersama Siti Nurhaliza selepas hampir 25 tahun, apatah lagi persembahan itu bakal diiringi orkestra di hadapan ribuan penonton.

"Saya memang berasa seram untuk menyanyi dengan Siti. Walaupun sudah lama berada dalam industri, perasaan itu tetap ada kerana kami sudah lama tidak bergandingan di pentas sebesar ini," ujarnya.

Gandingan semula Siti Nurhaliza dan Noraniza menerusi Hati Kama dijangka menjadi antara momen paling dinanti-nantikan pada malam konsert itu. Lagu ciptaan Allahyarham Pak Ngah yang dimuatkan dalam album Seri Balas terbitan 1999 kekal menjadi antara karya paling ikonik dalam sejarah muzik tradisional moden negara.

Selain Noraniza, Konsert Tradisional Gema Bumantara turut menampilkan Haziq Rosebi serta dua penyanyi popular Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar, sekali gus menjanjikan sebuah malam yang meraikan keindahan muzik tradisional dan warisan Nusantara dalam skala yang lebih gemilang.

Catat Ulasan

0 Ulasan